Selasa, 10 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tragedi cinta enam hari

Posted: 09 Apr 2012 12:06 PM PDT

KLANG: Perkenalan yang baru berputik selama enam hari bertukar tragedi buat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun apabila dirogol teman lelakinya yang berusia 16 tahun, di sebuah unit pangsapuri kosong di Taman Sementa, di sini.

Dalam kejadian jam 8 malam Jumaat lalu itu, mangsa sedang berbual bersama adik dan rakannya yang lain di sebuah taman permainan berhampiran pangsapuri tempat tinggalnya sebelum didatangi pelajar lelaki itu yang mengajaknya bersiar-siar.


Mangsa yang baru saja berpindah di perumahan pangsapuri berkenaan dari Teluk Intan, Perak sebelum itu baru saja mengenali pelajar itu yang juga tinggal di kawasan sama sejak enam hari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu hanya mengikut saja ajakan itu sebelum suspek mengajak ke sebuah unit pangsapuri kosong.


"Suspek mengajak dan memujuk mangsa ke sebuah rumah kosong kira-kira jam 11 malam selepas bersiar-siar. Di premis itu, suspek mula memujuk mangsa melakukan perbuatan tidak bermoral bagaimanapun mangsa enggan.


"Bengang apabila ajakannya untuk melakukan seks ditolak, suspek berusia 16 tahun yang juga pelajar tingkatan empat yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa bertindak memperkosa mangsa.

"Mangsa kemudian pulang ke rumahnya bersendirian sebelum bersama keluarganya membuat laporan polis. Mangsa dirawat di hospital berikutan kejadian," katanya.


Susulan laporan itu, Mohamad Shukor berkata, suspek ditahan sehari selepas kejadian di rumahnya dan kini direman selama tujuh hari sehingga 13 April ini. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol. Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Mohamad Shukor yang ditemui pada Kempen Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berkata, lebih 100 anggota polis dan penduduk sekitar menderma darah, semalam.

"Program ini selaras tema 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami' dan sempena Hari Polis ke-205. Ia sebagai amal jariah untuk mengisi tabung darah negara.


"Banyak lagi program kemasyarakatan akan dianjurkan untuk mendekatkan kami dengan masyarakat," katanya.




Macau Scam dipantau individu sama

Posted: 09 Apr 2012 12:04 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kegiatan beberapa sindiket penipuan melalui telefon atau 'Macau Scam' yang berjaya dibongkar dan ditumpaskan polis baru-baru ini, dikesan mempunyai kaitan antara satu sama lain serta didalangi organisasi terancang yang menyasarkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat operasi mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, beberapa sindiket ditumpaskan termasuk di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Selangor baru-baru ini daripada kumpulan berbeza, namun polis percaya mereka diuruskan dan dipantau oleh individu atau organisasi jenayah yang sama.


Menurutnya, ahli sindiket Macau Scam dianggotai warga Taiwan dan China serta menyasarkan mangsa dari negara asal mereka saja, namun tidak beroperasi di negara sendiri dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tempatan.

"Sindiket penipuan ini memang memilih luar dari negara mereka untuk beroperasi dan antara negara menjadi tumpuan adalah sekitar rantau Asia Tenggara.


"Ketika kita buat operasi menumpaskan sindiket Macau Scam di Pulau Pinang pada 6 Januari lalu, operasi sama turut diadakan di Indonesia, Thailand, Kemboja serta Filipina secara serentak dan ini menunjukkan sindiket berkenaan mempunyai organisasi atau rangkaian yang besar," katanya di sini, semalam.


Katanya, modus operandi sindiket yang menggunakan perkhidmatan voice over Internet protokol (voip) seperti Skype untuk menjalankan aktiviti penipuan melalui talian menyebabkan kegiatan mereka sukar dikesan.

"Setakat ini, kita hanya menahan kumpulan yang beroperasi di negara ini saja, namun 'orang besar' atau 'dalang' tidak beroperasi di sini, mereka tinggal di negara mereka dan sukar dijejaki.


"Kumpulan yang diberkas mempunyai ketua masing-masing yang menyelia segala aktiviti penipuan supaya berjalan lancar," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan