Utusan Online - Utara |
- Teksi sapu semakin berleluasa
- Teluk Bahang mempunyai keistimewaan alam semula jadi
- Nasib 13 beranak miskin dapat perhatian UMNO
Posted: Teksi sapu semakin berleluasa Oleh ZABRY MOHAMAD Perkhidmatan teksi limousin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas terjejas akibat 'ulat teksi' mencuri pelanggan mereka. PULAU PINANG 8 April - Seramai 300 pemandu limousin yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas di sini kerugian kira-kira RM10,000 sehari berikutan kegiatan teksi sapu yang semakin berleluasa. Pengerusi Koperasi Pemandu Limo Lapangan Terbang Pulau Pinang Berhad (Koplimo), Noor Ashikin Amman berkata, ancaman tersebut disifatkan serius kerana mereka menggunakan khidmat 'ulat teksi' bagi mencuri pelanggan limousin. Menurutnya, 'ulat teksi' secara bebas menghampiri penumpang di lapangan terbang itu bagi menawarkan khidmat teksi sapu tanpa disekat oleh pihak berkuasa. "Selalunya kegiatan ini aktif pada sebelah pagi terutama penumpang penerbangan dari Medan, Indonesia yang ramai datang ke negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau ditemui semasa meninjau operasi kaunter baru Koplimo di luar bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya meletakkan anggota mereka secara tetap di situ bagi memantau kegiatan haram tersebut. Pada perkembangan lain, Noor Ashikin menjelaskan, pihaknya akan membeli 30 van bagi menampung jumlah kedatangan pelancong asing yang semakin meningkat ke negeri ini. Katanya, buat permulaan, sebanyak 10 van dijangka memulakan perkhidmatan Jun ini manakala selebihnya selewat-lewat hujung tahun ini. Beliau memberitahu, kenderaan tersebut disediakan khusus bagi menampung mereka yang datang ke negeri ini di bawah pakej pelancongan perubatan yang kebanyakannya dari Indonesia. "Tahun depan pula kami merancang membeli empat buah bas bagi menyediakan perkhidmatan untuk pelancong yang datang secara berkumpulan," katanya. Noor Ashikin menambah, sejak ditubuhkan pada Disember 2009, Koplimo sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan para pemandunya yang berbilang bangsa termasuk wanita. Beliau memberitahu, antara kemudahan kebajikan yang disediakan adalah pembiayaan perubatan secara percuma untuk pemandu, isteri dan anak masing-masing. "Kami juga menyediakan penyata pendapatan yang selama ini tiada bagi membolehkan mereka membuat pelbagai urusan seperti memohon pinjaman bank. "Kami juga menyediakan tempat rehat selesa kepada mereka," katanya. Ditanya kenapa kebajikan diberikan perhatian nombor satu oleh Koplimo, Noor Ashikin menjelaskan, ia kerana beliau begitu memahami nasib golongan tersebut memandangkan dirinya sendiri pernah berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pemandu teksi. |
Teluk Bahang mempunyai keistimewaan alam semula jadi Posted: Teluk Bahang mempunyai keistimewaan alam semula jadiBALIK PULAU 8 April - Teluk Bahang yang terletak dalam daerah barat daya negeri ini menikmati kemudahan infrastruktur yang baik sejak tahun 1990 lagi melalui usaha berterusan yang dijalankan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, walaupun kedudukan geografinya 'di hujung' pulau, penduduk di situ tidak terpinggir daripada arus pembangunan yang dinikmati negara. "Saya masih ingat lagi, dahulu jika berlaku gangguan bekalan elektrik, penduduk sering mengeluh kerana ia mengambil masa hampir setengah hari untuk dipulihkan tetapi kini dalam masa setengah jam sahaja ia berjaya dipulihkan. "Seiring dengan perkembangan pesat negara, kini Teluk Bahang telah mengalami satu transformasi yang mana kehidupan rakyat di sini lebih selesa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Menurut Hilmi, Teluk Bahang juga dikenali kerana keistimewaan alam semula jadi yang terdapat di situ, malahan ia menarik kehadiran puluhan ribu pelancong setiap tahun. "Pada 2010, Taman Negara Teluk Bahang telah diiktiraf sebagai taman negara terkecil di dunia dan ia mula menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat keindahan alam semula jadi di sini. "Atas faktor itu juga, ia telah mewujudkan aktiviti ekonomi baru apabila banyak kedai makanan dan menjual kraf tangan oleh penduduk tempatan dibuka yang mana mendapat sambutan menggalakkan," katanya. Teluk Bahang dan laut seolah-olah tidak dapat dipisahkan kerana kedudukan yang dekat. Oleh itu, ramai penduduknya menjadikan laut sebagai punca mencari rezeki dengan kegiatan menangkap ikan dan hasil perikanan lain. "Sehubungan itu, sebuah jeti milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LIM) dibina di sini dan memberi manfaat kepada lebih 1,000 nelayan yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu dan Cina. "Pembinaannya memudahkan lagi aktiviti memunggah dan pengedaran hasil tangkapan nelayan," jelasnya. Dari aspek sosial pula, Hilmi berkata, kerajaan Pusat menunjukkan komitmen dengan membina Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang bagi menampung keperluan pendidikan penduduk. "Selain itu, terdapat juga balai polis dengan kekuatan lebih 20 anggota bagi memastikan keamanan terpelihara. "Di Teluk Bahang juga terdapat sebuah balai bomba yang dilengkapi dengan teknologi terkini bagi kerja-kerja menyelamat jika berlaku kecemasan," katanya. Menurutnya, usaha kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) membaiki rumah penduduk juga giat dilakukan. "Sehingga kini, lebih 400 rumah di kawasan ini diberi peruntukan antara RM3,000 hingga RM13,000 untuk dibaiki. "Bagi penduduk memiliki tanah sendiri pula, mereka diberi bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin sebanyak RM33,000 untuk membina rumah dan kini lebih 100 rumah dibina," katanya. Dalam pada itu, Hilmi berkata, UMNO sentiasa mengadakan program untuk mendekati rakyat bagi mengetahui masalah dihadapi mereka. |
Nasib 13 beranak miskin dapat perhatian UMNO Posted: Nasib 13 beranak miskin dapat perhatian UMNOKUBANG PASU 8 April - Tiga belas beranak daripada dua keluarga yang hidup dalam serba kemiskinan di sebuah rumah usang di Kampung Baru Padang Perahu di sini, boleh menarik nafas lega apabila keperitan hidup mereka mendapat perhatian UMNO Kubang Pasu. Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Mohd. Johari Baharum menyatakan persetujuan menyalurkan peruntukan segera yang bersesuaian bagi meringankan beban kewangan serta membaiki bumbung rumah dan alang kayu yang rosak. Setiausaha Sulit Ahli Parlimen itu, Zulfitri Yaacob berkata, kerja-kerja membaiki rumah tersebut dijangka bermula minggu depan manakala Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Kedah juga dirujuk untuk bantuan keperluan lain memandangkan keluarga itu tersenarai dalam e-Kasih sejak lapan bulan lalu. "Kami juga akan menyediakan perbelanjaan pakaian dan peralatan sekolah kepada tiga anak termasuk seorang cucu keluarga ini yang masih bersekolah bagi membolehkan mereka belajar dengan baik," katanya kepada pemberita selepas meninjau rumah keluarga itu, di sini semalam. Rabu lalu, Utusan Malaysia menyiarkan penderitaan 13 beranak itu yang hidup dalam keadaan ketakutan kerana tinggal di sebuah rumah pusaka usang yang boleh roboh pada bila-bila masa sahaja. Keadaan rumah berusia 30 tahun itu cukup daif apabila beberapa kayu alang didapati patah, sebahagian tiang rumah reput dimakan anai-anai manakala bumbung pula terpaksa diikat dengan tali bagi mengelak diterbangkan angin jika ribut. Rumah tiga bilik itu didiami oleh Ahmad Mad Saman, 59, bersama isteri, Fatimah Doon, 56, serta anak perempuannya yang sudah berkahwin, Hasnita, 29, serta suaminya, Mohd. Rafi Halim, 24, bersama dua anak mereka. Tujuh lagi anak pasangan itu yang menetap di rumah sama ialah Harun Ridzuan, 25, Siti Hajar, 22, Siti Hawa, 19, Hasanuddin, 16, Mohd. Hakimi, 15, Marina, 13, dan Husin Al-Hafiz, 11, manakala dua anak yang sudah berkahwin, Hamidah, 34, dan Halimatun, 32, tinggal berasingan. Menurut Zulfitri lagi, masalah Siti Hawa yang gagal memperoleh slip Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga akan diselesaikan dengan pengurusan Sekolah Menengah Pulau Nyior tidak lama lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan