Isnin, 9 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Mayat lelaki ditemui dalam longkang

Posted: 09 Apr 2012 02:21 AM PDT

Mutakhir

NIBONG TEBAL: Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman dan luka di badannya ditemui dalam sebuah longkang di tapak pembinaan di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, dekat sini semalam.

Mayat M Paranjothi, 30-an, yang bekerja di sebuah kedai pertukangan di Bukit Mertajam, dekat sini, ditemui dalam longkang di tapak pembinaan berkenaan pada jam 3.25 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafien Mamat, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang masih bujang dan berasal dari Yong Peng, Johor itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di kawasan tapak pembinaan berkenaan. "Pekerja kontrak di tapak pembinaan itu kemudiannya menghubungi polis. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan berdasarkan laporan patologi mangsa dipercayai dibunuh enam jam sebelum ditemui," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shafien berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian 04-5824222 atau mana-mana balai polis berdekatan. - BERNAMA

Pemandu didakwa pecah amanah barangan coklat RM45,000

Posted: 09 Apr 2012 02:18 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Seorang pemandu sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah iaitu tidak menghantar dan menyerahkan barangan coklat bernilai RM45,000 kepada pelanggan, pada Disember tahun lalu.

Mohd Herman Abdul Latib, 28, dari Sungai Buloh dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Litt Tatt Enterprise Sdn Bhd, No 9, Jalan Laksamana 1A/KS7, Taman Sentosa, Klang dekat sini, kira-kira jam 11.50 malam pada 13 Disember tahun lalu. Mohd Herman yang ditangkap pada 3 April lalu, didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam membenarkannya dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma Nadiah Abdul Rahman, sementara Mohd Herman diwakili peguam Mohd Jamil Yacob. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan