Sabtu, 7 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Peniaga kecewa dipinggirkan

Posted:

Peniaga kecewa dipinggirkan

Peniaga kecewa dipinggirkan

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


Lau Cheik Tuan (tengah) bersama beberapa peniaga menunjukkan tapak penjaja yang tidak sesuai untuk urusan perniagaan di Pasar Awam Taman Selamat, Bukit Mertajam, semalam. - utusan/Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 6 April - Seramai lima peniaga di Pasar Awam Taman Selamat di sini merayu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menawarkan tapak kepada mereka untuk berniaga di premis tersebut.

Ini kerana kebanyakan mereka telah berniaga di sekitar pasar itu lebih empat tahun lalu, namun tidak mendapat tapak yang sesuai selepas ia dibaik pulih pada 2009.

Menurut seorang peniaga pakaian, Ng Hock Lie, 66, dia berniaga di situ sejak empat tahun lalu, namun sehingga kini tidak mendapat tapak yang sesuai.

"Saya berniaga secara berpindah-pindah di pasar ini tapi biarpun sudah lama berniaga, saya tidak ditawarkan tempat yang sesuai serta tidak mendapat lesen yang dikeluarkan MPSP.

"Saya harap MPSP dapat luluskan lesen untuk kami kerana pada awalnya ada 16 peniaga tidak dapat lesen tapi kini hanya tinggal lima selepas 11 yang lain diluluskan bulan lalu," katanya ketika ditemui di pasar tersebut hari ini.

Turut senasib dengannya ialah peniaga tuala, Tan Kim Chooi, 28.

"Saya kecewa apabila hanya 11 daripada kami yang dapat tapak manakala lima lagi tercicir. Saya tidak tahu kenapa masalah sebegini boleh timbul," ujarnya.

Jelasnya, mereka pernah mengadu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Alam Sekitar negeri, Chow Kon Yeow yang melawat pasar berkenaan hujung tahun lalu dan dijanjikan masalah akan selesai.

Bagaimanapun, tambah beliau, sehingga kini janji tersebut hanya tinggal janji.

Sementara itu Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Mertajam Lau Chiek Tuan berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang diminta tidak pilih kasih dalam urusan mengeluarkan lesen dan tapak di situ.

"Saya dimaklumkan ada di antara mereka yang mendapat tapak merupakan peniaga baharu sedangkan peniaga lama dipinggirkan.

"MPSP diharap dapat menyiasat semula rayuan peniaga ini dan mereka diberikan tapak niaga yang sesuai serta mendapat lesen daripada MPSP," katanya.

420 pelajar SMK Baling berkampung di UUM ikuti program motivasi

Posted:

420 pelajar SMK Baling berkampung di UUM ikuti program motivasi

420 pelajar SMK Baling berkampung di UUM ikuti program motivasi


MOHAMED Mustafa Ishak (tengah) bersama calon SPM, STPM dari SMK Baling yang gembira mengikuti program motivasi di UUM, Kubang Pasu, kelmarin.


KUBANG PASU 6 April - Seramai 420 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling 'berkampung' di Universiti Utara Malaysia (UUM) mulai semalam hingga esok bagi mengikuti program motivasi.

Program anjuran Dewan Penginapan Pelajar Bank Simpanan Nasional (DPP BSN) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar SMK Baling itu dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak di Dewan Mu'adzam Shah, Sintok semalam.

Beliau berkata, program berkenaan perlu dilihat sebagai satu medium bagi meningkatkan tahap keyakinan diri selain menanam usaha dan cita-cita yang tinggi di kalangan pelajar terbabit.

"Kita berharap para pelajar telah mula menanam azam untuk masuk ke menara gading ini dan seterusnya memperoleh ijazah kelas pertama, bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan SPM dan STPM sahaja," katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Tegas Mohamed Mustafa, para pelajar hanya perlu berusaha menggapai apa yang diimpikan memandangkan peluang pendidikan tinggi kini lebih terbuka luas kerana kerajaan sememangnya sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan untuk rakyat, khususnya generasi muda.

"Sesiapa sahaja boleh maju hari ini asalkan berusaha, tidak kiralah anak petani, penoreh getah, pesawah, nelayan atau buruh kasar. Tidak perlu untuk membezakan taraf hidup masing-masing dan menjadikannya ukuran untuk mencapai suatu kejayaan.

"Jika dibandingkan dengan negara yang lain, hanya anak orang kaya, anak usahawan dan anak pegawai tinggi kerajaan sahaja yang boleh masuk universiti sebab mereka ada peluang dan kemampuan," katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia sebuah negara yang bertuah kerana kerajaan banyak memberi bantuan pendidikan bermula dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat tertinggi.

"Sebab itu, kita jangan mensia-siakan peluang yang diberikan, sebaliknya tanamkan azam dan kesungguhan untuk berjaya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pelajar SMK Baling, Alias Hamid berkata, pihak sekolah amat berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan UUM dalam menjayakan program yang julung kali diadakan oleh sekolah ini.

"Saya berharap pelajar yang mengikuti program motivasi selama tiga hari di UUM dapat menimba sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu sepanjang program ini.

"Pihak kami juga percaya program seumpama ini boleh dijadikan program tahunan demi memastikan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah ini. Usaha ini juga merupakan satu dorongan kepada pelajar dalam memotivasikan diri di samping merasai sendiri pengalaman berada di menara gading," katanya.

Dalam majlis tersebut, hadirin turut dihiburkan dengan deklamasi sajak oleh wakil Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar.

RM1.5 juta diperuntukkan atasi banjir di Manjoi

Posted:

RM1.5 juta diperuntukkan atasi banjir di Manjoi

RM1.5 juta diperuntukkan atasi banjir di Manjoi

Oleh ROKIAH ABDULLAH dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 6 April - Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan program jangka pendek mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan Manjoi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, usaha itu termasuklah pemasangan pam baharu, membina dan membaiki sistem saliran air sedia ada.

Selain itu, kata Ramly, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga giat menjalankan kerja-kerja penyelengaraan seperti mendalam, melebarkan dan mencuci aliran sungai daripada sebarang halangan pokok dan ranting kayu.

"Bagi jangka masa panjang pula, JPS negeri telah mengemukakan semula Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kinta untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Skop kerja dicadangkan adalah pembinaan kolam takungan banjir Klebang dan Sungai Pinji serta menaik taraf Sungai Pari dengan kos RM50 juta," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab lisan soalan Datuk Nadzri Ismail (BN-Manjoi) yang bertanya tentang usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Menurut Ramly, kerajaan negeri turut mengambil langkah bukan struktur dengan memberi khidmat nasihat dan penjelasan teknikal kepada pihak berkuasa tempatan, jabatan, agensi kerajaan dan swasta yang mahu membangunkan sesuatu kawasan bagi mengelakkan banjir.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah diminta memantau setiap masa sebarang aktiviti pembangunan tanah. Kita mahu memastikan pembangunan yang dibuat itu mematuhi syarat ditetapkan supaya banjir tidak akan berulang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramly ketika menjawab soalan tambahan Nadzri memberitahu, kerajaan negeri juga akan mewujudkan satu pasukan khas yang bertindak menyalurkan bantuan semasa banjir.

Katanya, kumpulan tersebut terdiri daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan PBT.

"Dalam keadaan sekarang sebenarnya kita sudah berpuas hati bila melihat bantuan segera yang diberikan oleh pihak terlibat, antaranya JKM yang telah memberi peruntukan begitu juga bantuan dari Rela dan JPAM.

"Tapi apabila kita gerakkan pasukan ini secara bersepadu, masalah akan dapat diselesaikan dengan baik dan cepat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan