Sabtu, 7 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Shahrizat sayu tinggalkan KPWKM

Posted:

Shahrizat sayu tinggalkan KPWKM

Shahrizat sayu tinggalkan KPWKM


Shahrizat Abdul Jalil bersama kakitangan KPWKM selepas Perhimpunan Bulanan KPWKM terakhirnya di Putrajaya, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 6 April - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan menamatkan tugasnya sebagai Ahli Dewan Negara dan menteri, Ahad ini meluahkan rasa sayu untuk meninggalkan warga kementerian itu.

Beliau bagaimanapun menganggapnya seorang yang bertuah kerana pernah dan berpeluang bekerja bersama-sama dengan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, para pegawai dan semua kakitangan kementerian.

"Mereka semua yang berada di kementerian amat rajin, berdedikasi dan komited. Kami bertugas sebagai sebuah keluarga dan bersama-sama mengharungi suka serta duka.

"Saya rasa sayu hati untuk meninggalkan mereka, tetapi membawa dalam jiwa saya bersama memori dan legasi yang terindah. Saya sayang dan menghargai perkhidmatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 11 Mac lalu, Shahrizat mengumumkan pengundurannya daripada Kabinet dengan meletakkan jawatan sebagai menteri apabila tempoh pelantikannya selaku Ahli Dewan Negara tamat Ahad ini.

Namun, Shahrizat mengumumkan akan terus kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, pada saat-saat terakhir sebagai menteri pagi ini, Shahrizat sempat menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya yang dibuat secara tertutup apabila hanya dihadiri oleh warga kementerian itu di Putrajaya.

Pada majlis selama sejam itu, Noorul Ainur yang turut hadir menyifatkan Shahrizat sebagai seorang yang terbuka dalam menerima apa sahaja pandangan dan cadangan para pegawai serta kakitangan kementerian.

Beliau berkata, hubungan sedemikian tidak hanya pada peringkat kepimpinan atasan kementerian atau jabatan, tetapi turut melibatkan kakitangan bawahan.

"Beliau berada di kementerian ini 11 tahun. Tempoh itu membolehkannya membina ikatan persahabatan dengan warga kementerian dan jabatan ini di seluruh negara," katanya.

Bukti PM komited kembang syiar Islam

Posted:

Bukti PM komited kembang syiar Islam

Bukti PM komited kembang syiar Islam

PUTRAJAYA 6 April - Peruntukan lebih RM211 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pembangunan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan beliau begitu komited mengembangkan syiar agama itu.

Pendapat berkenaan diutarakan ahli jawatankuasa (AJK) surau Pangsapuri Indralok di Pantai Dalam, Sabri Pandak, 37 tahun.

Beliau yang ditemui pada majlis Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah bersama Perdana Menteri itu berkata, usaha murni Najib itu juga memperlihatkan kesungguhan Perdana Menteri untuk terus memelihara kesucian agama Islam di negara ini.

"Perdana Menteri tidak terlepas pandang untuk memberikan peruntukan memastikan kawasan masjid dan surau menjadi lebih ceria biarpun hanya melibatkan kawasan komuniti yang lebih kecil.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri kerana kami boleh melakukan ibadah dan aktiviti agama di surau dalam keadaan lebih selesa selepas ini," kata bendahari surau pangsapuri tersebut, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang guru agama, Siti Mokhlisah Basiran, 47, berkata, peruntukan untuk bidang pendidikan agama itu memberi semangat untuknya memberikan yang terbaik kepada para pelajar.

"Saya rasa begitu berdedikasi untuk terus memberikan pendidikan Islam terbaik kepada anak murid saya.

"Saya berharap, peruntukan memperkasakan agama Islam akan terus diadakan pada masa akan datang," kata guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Mulia, Jalan Gombak itu.

Bagi Noriah Basir, 59, pemberian peruntukan untuk membangunkan kemudahan agama Islam di kawasan Wilayah Persekutuan perlu terus diadakan pada masa akan datang.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman beberapa peruntukan tadi," kata guru agama Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Nurul Muttaqin, Gombak, Kuala Lumpur itu.

Bual bicara Ah Jib Gor di NTV7

Posted:

Bual bicara Ah Jib Gor di NTV7

Bual bicara Ah Jib Gor di NTV7

KUALA LUMPUR 6 April - Datuk Seri Najib Tun Razak akan tampil secara langsung dalam program berita bahasa Cina di saluran NTV7 pada Isnin ini untuk bercakap mengenai isu-isu semasa.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Wong Nai Chee berkata, Perdana Menteri yang lebih popular dikenali sebagai Ah Jib Gor dalam facebook bahasa Cina, akan tampil dalam program itu bertajuk Bual bicara dengan Perdana Menteri selama sejam pada 8.30 malam, 9 April.

"Pada asasnya ini merupakan satu lagi pendekatan oleh Perdana Menteri di mana rakyat boleh melihatnya bercakap secara ikhlas mengenai isu-isu dihadapi masyarakat Cina dan ekonomi negara serta isu pendidikan dan lainnya membabitkan masyarakat Cina," katanya semasa dihubungi Bernama.

Beliau berkata, program bual bicara itu merupakan sebahagian daripada cara Perdana Menteri mendekati rakyat selain daripada jadual majlis rasmi beliau.

"Orang ramai boleh menghantar soalan mereka menerusi SMS atau e-mel. Butirannya akan diumumkan stesen televisyen itu sendiri menerusi salurannya," katanya.

Ia merupakan kali kedua Najib akan ditemu bual secara langsung oleh stesen televisyen swasta tempatan. Pertamanya ialah pada program Soal Jawab TV3.

Sebelum ini, beliau pernah tampil dalam program bual bicara di One FM pada 23 Jun 2011, yang turut disiarkan oleh NTV7.

Dalam bual bicara itu, Perdana Menteri turut membawa anak lelaki bongsunya Nor Ashman, yang pernah belajar bahasa Mandarin, menyentuh pelbagai isu seperti perumahan dan pendidikan.

Baru-baru ini, beliau ditemu bual secara langsung oleh stesen radio bahasa Cina tempatan, 988 FM, bercakap mengenai isu-isu seperti kilang nadir bumi Lynas di Pahang dan projek penjajaran MRT di Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

Najib berkata, kerajaan tidak akan membenarkan projek nadir bumi Lynas di Gebeng beroperasi sekiranya ia membahayakan kesihatan orang ramai dan menjejaskan alam sekitar. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan