Selasa, 10 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Ayer Molek janji keselesaan hidup

Posted:

Ayer Molek janji keselesaan hidup

Ayer Molek janji keselesaan hidup

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


MD. Yunus Husin (dua dari kiri) merasmikan sebuah Homestay Kampung Tambak Paya semasa program Seminar Pengurusan Homestay di Tambak Paya, Ayer Molek, Melaka pada tahun lalu.


MELAKA 9 April - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek mungkin tidak seperti kawasan lain yang mempunyai banyak mercu tanda.

Ini kerana kawasan tersebut terletak kira-kira 10 minit perjalanan ke pusat bandar Melaka, sekali gus menjadikannya hampir dengan segala kemudahan seperti peluang pekerjaan, perniagaan, industri, pusat beli-belah dan sebagainya.

Malah, kebanyakan penduduknya bekerja di pusat bandar dalam sektor awam atau swasta dan tidak kurang juga berniaga.

Biarpun terletak di pinggir bandar, Ayer Molek tidak terkecuali menikmati pelbagai infrastruktur kemudahan awam untuk keselesaan penduduknya yang terdiri daripada 87 peratus orang Melayu, Cina (9 peratus) dan India (4 peratus).

Ditambah dengan hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Md. Yunos Husin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar pelbagai kemudahan prasarana dan infrastruktur dapat dinikmati oleh penduduknya.

Selain kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik, terdapat 11 buah masjid, 37 buah surau, balai raya, gerai makan, gelanggang futsal, tokong dan 13 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dari segi kemudahan pendidikan pula terdapat sebuah sekolah menengah, enam buah sekolah jenis kebangsaan dan setiap satu sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) serta sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Bagi golongan remaja pula, terdapat empat gelanggang futsal iaitu di Taman Desa Molek, Taman Ayer Molek Mesra, Taman Paya Dalam dan Taman Sri Kandang.

Di samping itu, program homestay atau inap desa pula terdapat di Tambak Paya yang semakin mendapat tempat di kalangan para pelancong terutamanya dari luar negara.

Itulah yang menjadi misi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyediakan prasarana kediaman terbaik dan terurus kepada semua rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Selain semakin banyak rumah dengan gaya moden dibina di kawasan itu, ramai juga penduduk yang masih mengekalkan rumah tradisional yang menjadi tarikan kepada pelancong.

Walaupun tidak mempunyai produk pelancongan seperti beberapa DUN yang lain kerana kedudukannya berhampiran bandar raya Melaka, namun Ayer Molek menjanjikan keselesaan kepada penduduknya.

Bagi penduduk miskin pula, hampir setiap bulan peruntukan dihulurkan bagi meringan beban hidup keluarga terbabit menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu sebanyak RM268,000 disalurkan kepada 882 penerima yang terdiri daripada orang Melayu (724 orang), India (97 orang) dan Cina (61 orang).

Bagi tahun 2008 peruntukan yang disalurkan ialah sebanyak RM590,000, 2009 (RM604,000), 2010 (RM741,937) dan 2011 (RM759,000).

Sumber ekonomi utama di sini ialah dalam sektor pertanian terutama penanaman padi, getah dan kelapa sawit.

Kawasan sawah padi utama terdapat di Kandang, Bukit Lintang dan Bukit Jinjing, kawasan ladang getah pula di Paya Redan manakala kelapa sawit di Ayer Molek Darat.

Tanaman sayur-sayuran juga menjadi sumber pendapatan tambahan penduduk di Bukit Nibong, Paya Redan dan Kandang.

Ayer Molek turut mempunyai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Kolej Profesional Mara di Tiang Dua yang ditubuhkan pada 2009.

Melalui kolej tersebut, pelbagai program latihan dan pendidikan telah dilaksanakan bagi memenuhi resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun 1966.

Selain itu, terdapat Akademi Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terletak di Kilometer 15, Jalan Tiang Dua dekat sini.

Ia terletak di lokasi strategik iaitu kira-kira 16 kilometer dari bandar raya Melaka dan lebih kurang 20 kilometer dari pintu masuk Lebuh Raya Utara Selatan di Air Keroh.

Penubuhan akademi itu juga akan dapat mengukuhkan potensi modal insan JPJ agar sentiasa relevan dengan senario semasa.

Di akademi itu, kakitangan JPJ dilatih dengan aplikasi terkini, menyerap sistem dan pemikiran baru, mengamalkan nilai murni dan ada jati diri, malah memiliki daya usaha untuk menyelesaikan permasalahan rakyat selaku pelanggan.

Sementara itu, pelbagai lagi kemudahan sedang dan telah dirancang untuk membangunkan Ayer Molek, antaranya mewujudkan medan selera di Tambak Paya dan pembangunan kawasan industri di Batu Lang yang melibatkan kawasan seluas 400 hektar.

Peta visual mampu bantu pelajar

Posted:

Peta visual mampu bantu pelajar

Peta visual mampu bantu pelajar

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


SEBAHAGIAN pelajar sekolah menengah di Melaka tertarik dengan Buku Edisi Khas Melaka selepas dilancarkan oleh Mohd. Ali Rustam di Yayasan Melaka, Air Keroh, Melaka, semalam.


MELAKA 9 April - Teknik pendidikan peta visual melalui program aplikasi peta minda menjadi penggerak dalam menentukan kejayaan sesebuah sekolah kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (gambar).

Menurutnya, kaedah itu merupakan skop pengajaran dan pembelajaran yang semakin meluas, justeru ia perlu dimanfaatkan bagi menjadikan suasana di dalam kelas hidup dan lebih efektif.

"Hari ini, penguasaan ilmu dan berketerampilan sahaja tidak mencukupi seandainya tidak disertai dengan pemikiran yang kreatif dan inovatif.

"Dengan adanya gandingan mantap antara kerajaan dan swasta, pendidikan akan menjadi lebih beraspirasi ke arah peningkatan iklim pembelajaran yang kondusif dan progresif," katanya.

Beliau berucap pada majlis Perasmian Program Aplikasi Peta Minda Visual Dalam Pembelajaran di Auditorium Yayasan Melaka, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri, Megat Nasir Megat Hashim; Pengurus Besar Yayasan Melaka, Sharabudin Kudus dan Pengerusi PNI Neuron (M) Sdn. Bhd., Datuk Ivan Hoe.

Pada majlis itu, sebanyak 11 sekolah menengah di kawasan Parlimen Bukit Katil menerima bahan berupa buku dan risalah pembelajaran melalui penggunaan sepenuhnya warna dan ilustrasi komik.

Menurut Mohd. Ali, penggunaan peta visual membantu pelajar menggambarkan fakta dan formula serta memudahkan ia difahami bagi setiap mata pelajaran yang dipelajari.

Melalui pembelajaran peta visual, teknik warna dan imaginasi mampu merangsang penggunaan otak kanan pelajar berbanding kebiasaannya lebih kepada penggunaan otak kiri yang memproses sains, matematik, bahasa dan fakta.

Kerjasama antara otak kiri dan otak kanan ini akan menghasilkan daya ingatan yang lebih kuat sekali gus menghasilkan memori yang dapat kekal dalam minda bagi menyalurkan idea dengan lebih terang dan tersusun.

Persatuan belia perlu elak gejala negatif

Posted:

Persatuan belia perlu elak gejala negatif

Persatuan belia perlu elak gejala negatif


WAN Mud Shardihan Wan Dahalan (dua dari kiri) dan Baharuddin Jali (duduk tengah) bersama wakil persatuan yang menerima bantuan daripada Majlis Belia Daerah Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 9 April - Usaha bagi memastikan golongan belia tidak terjebak dengan gejala tidak sihat memerlukan peranan semua persatuan di negeri ini untuk menarik seramai mungkin belia menyertai aktiviti berpersatuan.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Seremban, Wan Mud Shardihan Wan Dahalan berkata, untuk merealisasikan hasrat itu setiap persatuan belia perlu memantapkan aktiviti mereka supaya bersesuaian dengan kehendak golongan muda.

Jelas beliau, setiap persatuan juga perlu aktif menambah bilangan ahli terutama dari golongan belia kerana dengan jumlah ahli yang ramai barulah sesuatu aktiviti berjaya dilaksanakan.

''Sudah tiba masanya untuk kita menamatkan segala label-label tidak sihat yang mana golongan belia kini sering dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial seperti pelesit rempit, dadah dan jenayah yang lain.

''Saya yakin sekiranya mereka aktif dalam sesuatu persatuan golongan ini akan terhindar daripada aktiviti-aktiviti negatif seperti ini," katanya di sini semalam.

Wan Mud Shardihan berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran oleh Majlis Belia Daerah Seremban kepada persatuan Gabungan 2012 di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharuddin Jali.

Sementara itu, Baharuddin dalam ucapannya pula memuji barisan kepimpinan Majlis Belia Daerah Seremban yang sanggup mengagihkan bantuan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu kepada lapan persatuan gabungan yang lain di bawah mereka.

Jelasnya, Majlis Belia Daerah Seremban merupakan satu-satunya Majlis Belia di negeri ini yang mengagihkan peruntukan tersebut kepada persatuan yang bergabung dengan mereka.

''Saya mengucapkan syabas kepada Majlis Belia Daerah Seremban kerana komited dalam membantu persatuan di bawah mereka dengan pengagihan bantuan ini.

''Kita berharap dengan bantuan ini setiap persatuan dapat mengerakkan aktiviti mereka dengan lebih lancar dan terus membantu kerajaan dalam membentuk masyarakat yang sihat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan