Ahad, 8 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Lebih 5,000 saksi tamat latihan perajurit muda

Posted:

Lebih 5,000 saksi tamat latihan perajurit muda

Lebih 5,000 saksi tamat latihan perajurit muda


Zulkifli Zainal Abidin (kanan) beramah mesra bersama perajurit muda selepas majlis Tamat Latihan Perajurit Muda ATM di PUSASDA, Port Dickson, semalam.


TELOK KEMANG 7 April - Lebih 5,000 orang menyaksikan perbarisan tamat latihan perajurit muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson dekat sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 2,143 perajurit muda yang terdiri daripada 1,941 lelaki dan 202 wanita berjaya menamatkan latihan mereka.

Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, semangat kepahlawanan perajurit muda itu terserlah melalui ketabahan dalam mengharungi latihan demi mencapai impian menjadi seorang anggota tentera.

Beliau berkata, mereka telah melalui transformasi kehidupan daripada orang awam kepada seorang tentera melalui latihan asas selama enam bulan sebagai langkah permulaan dalam profesion ketenteraan yang serba mencabar.

"Jika latihan yang diterima di pusat ini diserap dengan baik, akan kukuhlah keperibadian dan perwatakan seseorang anggota tentera itu," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurutnya, corak latihan di pusat latihan itu telah digarap dan diadun dengan nilai-nilai jati diri dan kepahlawanan yang tinggi demi melahir serta membentuk anggota tentera yang berwibawa.

Jelasnya, setiap anggota tentera seharusnya mempamerkan imej dan keterampilan diri yang tinggi pada mata rakyat.

Tambahnya, tanpa pengukuhan imej itu, ia akan menyebabkan tiada bezanya antara seorang awam dan seorang tentera.

"Sandaran rakyat terhadap kemampuan tentera selaku benteng pertahanan negara amat tinggi. Tanggungjawab yang perlu dipikul merupakan amanah yang memerlukan dedikasi, keikhlasan dan sifat bertanggungjawab," jelasnya.

Beliau memberitahu, nilai spiritual dan pegangan agama mesti dijadikan teras pegangan bagi mencapai pengukuhan nilai insan dan pembentukan watak yang sempurna.

Pangkalan hadapan di Melaka, Negeri Sembilan

Posted:

Pangkalan hadapan di Melaka, Negeri Sembilan

Pangkalan hadapan di Melaka, Negeri Sembilan

ALOR GAJAH 7 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bercadang membina beberapa pangkalan hadapan di selatan tanah air bagi meningkatkan keupayaan pengawasan keselamatan sepanjang perairan berkenaan.

Komander Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Adon Shalan berkata, beberapa lokasi dikenal pasti untuk dijadikan pangkalan hadapan agensi itu antaranya di Bandar Hilir, Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurut beliau, dengan adanya pangkalan berkenaan, tempoh bertindak ke atas sebarang aduan dan kecemasan dapat dipendekkan kepada 10 minit daripada 40 minit sebelum ini.

"Kita telah kenal pasti beberapa lokasi untuk dirikan pangkalan hadapan ini yang dilihat berada berdekatan dengan kawasan 'titik panas' yang sering berlakunya aktiviti melanggar undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed kepada Kapten Maritim Abu Bakar Idris di pangkalan Maritim Malaysia Kuala Linggi, di sini semalam.

Adon berkata, pihaknya kini dalam proses akhir perbincangan dengan agensi terlibat seperti Jabatan Laut untuk merealisasikan pembinaan pangkalan hadapan yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan