Sabtu, 7 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Melaka pastikan rakyat berilmu

Posted:

Melaka pastikan rakyat berilmu

Melaka pastikan rakyat berilmu

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


PARA pelajar Sekolah Tahfiz Chenderah Jasin memilih buku-buku rujukan yang dijual pada Karnival Pendidikan dan Pesta Buku Melaka 2012 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, kelmarin.


MELAKA 6 April - Kerajaan negeri akan memastikan seluruh rakyat di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama mendapat peluang pendidikan terbaik dan berkualiti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sudah menjadi dasar kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) memastikan seluruh rakyat mendapat pendidikan bagi membina tahap sumber manusia yang berdaya saing, berilmu pengetahuan dan mempunyai minda kelas pertama.

Menurutnya, atas dasar tersebut banyak kemudahan prasarana seperti sekolah menengah, sekolah rendah, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menampung keperluan pelajar.

''Kerajaan negeri juga meneruskan pemberian pelbagai bantuan kewangan biasiswa, memberi insentif kepada pelajar cemerlang, bantuan tuisyen, menyediakan kemudahan asrama dan memberi pinjaman pendidikan tinggi melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan dan Pesta Buku Melaka 2012 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Yusoff Osman.

Karnival Pendidikan bermula semalam hingga Ahad ini menyediakan 150 ruang pameran dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta perbankan.

Mohd. Ali berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada IPT menerusi peruntukan sebanyak RM16.4 juta, pembinaan empat blok asrama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya dan membina asrama pelajar Melaka di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan peruntukan RM33.3 juta.

''Apa yang kerajaan negeri lakukan untuk membangunkan sistem pendidikan adalah untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan terbaik," katanya.

Mengulas mengenai karnival tersebut beliau berkata, karnival itu wajar menjadi 'one stop center' untuk pelajar mengakses maklumat seperti peluang pendidikan, tawaran kursus ke IPT, buku-buku baharu dan sebagainya.

Mengenali spesies buaya di Muzium Lukut

Posted:

Mengenali spesies buaya di Muzium Lukut

Mengenali spesies buaya di Muzium Lukut

TELOK KEMANG 6 April - Orang ramai yang berminat untuk mengenali keunikan spesies buaya dijemput hadir ke Pameran Misteri Sang Buaya yang diadakan di Muzium Lukut, Port Dickson, dekat sini sehingga 30 Jun ini.

Ketua Muzium Lukut, Rosiswandy Mohd. Salleh berkata, pameran percuma itu dijalankan hasil kerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia dan Muzium Alam Semula Jadi Putrajaya.

''Tiada sebarang bayaran dikenakan terhadap pengunjung pameran berkenaan yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga enam petang setiap hari.

''Pameran ini mengandungi pelbagai segmen di antaranya termasuk jenis, kitaran hidup, habitat dan pemakanan buaya," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, menerusi pameran tersebut, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pelbagai spesimen dan replika buaya.

''Antara replika buaya yang dipamerkan di sini termasuk 'buaya Puchong' sepanjang lima meter, buaya tembaga dan buaya kerdil

''Pameran ini turut memberi peluang pengunjung untuk melihat sendiri telur buaya, rangka asal dan juga buaya yang telah diawet," ujarnya.

Penerbangan Melaka-Pulau Pinang dilancar

Posted:

Penerbangan Melaka-Pulau Pinang dilancar

Penerbangan Melaka-Pulau Pinang dilancar


SEBAHAGIAN penumpang penerbangan sulung dari Pulau Pinang disambut pada majlis sambutan pelancaran Penerbangan Tambahan Pulau Pinang-Melaka-Pulau Pinang anjuran Melaka Holidays di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka, semalam.


MELAKA 6 April - Syarikat Melaka Air hari ini mencatat sejarah apabila memulakan penerbangan domestik pertama ke Pulau Pinang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai permulaan penerbangan dua kali seminggu Melaka-Pulau Pinang adalah setiap Isnin dan Jumaat mengggunakan pesawat ATR72-500 milik Firefly yang mempunyai 72 penumpang.

"Penerbangan dari Pulau Pinang ke Melaka ialah pada pukul 7.15 pagi manakala dari Melaka, ia berlepas pada pukul 12.25 tengah hari setiap hari.

"Harga yang ditawarkan pula ialah serendah RM19.90 terhad untuk lima penumpang pertama, RM99 dan RM199," katanya selepas menyambut ketibaan 40 penumpang dari Pulau Pinang menaiki pesawat Firefly yang tiba pada pukul 8.25 pagi di LTAM, di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi penerbangan domestik yang pertama adalah kerana ia mempunyai hubungan penerbangan antarabangsa dengan negara-negara yang lain.

"Dari Pulau Pinang, kita boleh pergi ke Hong Kong dan juga Tokyo dan itu pastinya memberi kemudahan kepada penumpang untuk bergerak sekiranya mahu ke tempat-tempat tersebut," ujarnya.

Sebagai permulaan katanya, Melaka Air menawarkan jadual penerbangan dua kali seminggu dengan tambahan 7,800 penumpang sehala setahun.

Beliau yakin penerbangan tersebut akan bertambah tiga atau empat kali seminggu menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan perjalanan 32 buah bas ke Pulau Pinang sehari yang membawa 1,200 penumpang atau 40 penumpang bagi setiap buah bas.

Katanya, disasarkan sebanyak 10 peratus atau 120 penumpang bas tersebut akan menggunakan perkhidmatan penerbangan ke Pulau Pinang dari LTAM.

"Ini bermakna dalam setahun, sebanyak 43,800 penumpang akan ke Pulau Pinang menaiki Melaka Air.

"Potensi ini amat besar kerana sebagai hab utara tanah air, banyak negeri bergantung kepada Pulau Pinang manakala Melaka yang juga merupakan negeri pusat terletak di tengah-tengah antara Johor, Negeri Sembilan dan juga sebahagian Selangor serta Pahang," katanya.

Mengikut rekod, tambahnya, seramai 140,000 pelancong dari Pulau Pinang telah menginap di hotel-hotel berdaftar di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan