Sabtu, 7 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Reman suspek kes dera amah disambung seminggu lagi

Posted: 07 Apr 2012 03:00 AM PDT

Mutakhir

BUKIT MERTAJAM: Polis menyambung reman ke atas lima orang termasuk dua wanita yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang amah warganegara Kemboja yang ditemui mati dipercayai didera majikannya di Taman Asas Murni di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata pasangan suami isteri dan tiga pekerjanya yang tamat reman hari ini disambung reman seminggu lagi bagi melengkapkan siasatan. "Pasangan suami isteri dan tiga pekerja kedai menjual alat pertukangan berusia 30 hingga 40 tahun itu kini disambung reman bagi kita melengkapkan siasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Hari Kor Kadet Polis ke-42 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabtu lalu polis menemui mayat Mey Sichan, 24, di atas sebuah katil dalam sebuah stor barang di premis berkenaan.

Siasatan awal polis turut menemui beberapa kesan calar di bahagian belakang badan selain luka di telinga dan kaki mangsa serta lebam di badannya.

Berat badan mangsa didapati susut mendadak daripada berat badan normal kepada 26 kilogram kerana dipercayai tidak diberi makan oleh majikannya.
Disamping itu hasil bedah siasat juga menunjukkan mangsa mengalami ulser dan usus perutnya pecah. - BERNAMA

Dadah hampir RM2 juta dirampas dalam masa 2 jam

Posted: 07 Apr 2012 02:15 AM PDT

Mutakhir

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan dadah ke negara ini bernilai hampir RM2 juta Khamis lalu dan menahan tiga lelaki warga asing dalam masa dua jam.

Timbalan Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Siti Baya Berahan, berkata pihaknya menahan dua lelaki warga Hong Kong berusia 56 dan 60 tahun di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada jam 12.30 pagi hari berkenaan. Bertindak atas maklumat orang awam, beliau berkata, sepasukan Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat bersama Bahagian Penguatkuasaan KLIA menyerbu kondominum tersebut dan menemui pelbagai jenis dadah.

"Pemeriksaan, pihak kastam menemui dadah seperti Syabu, Ketamin, Eramin 5 dan ganja bernilai RM1.43 juta dalam premis tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Siti Bayan berkata, kira-kira dua jam kemudian pihaknya menahan pula seorang lelaki warga India cuba menyeludup masuk dadah jenis Ketamin seberat 12 kilogram bernilai RM480,000 disorok di bahagian belakang 12 bingkai cermin muka di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini.

Beliau berkata, lelaki berusia 26 tahun itu yang tiba dari Bangalore jam 2.30 pagi ditahan apabila imbasan ke atas 12 unit cermin muka yang dibawanya menampakkan imej meragukan.

"Hasil pemeriksaan rapi, pasukan penguatkuasaan kastam menemui satu lapisan plastik putih di bahagian belakang bingkai cermin dan apabila bungkusan dibuka terdapat serbuk putih yang kemudiannya disahkan positif Ketamin," katanya.
Siti Bayan berkata, ketiga-tiga suspek yang memasuki negara ini sebagai pelancong kini ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada tahun ini, sehingga Khamis lalu, JKDM berjaya mematahkan 22 cubaan penyeludupan dadah ke negara ini bernilai RM16.77 juta dan merampas 89.227 kilogram pelbagai jenis dadah melalui Bangunan Terminal Utama KLIA (15 kali), LCCT (lima percubaan), satu kes di Kepong dan satu lagi di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan