Khamis, 5 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Kuala Linggi hab maritim Selat Melaka

Posted:

Kuala Linggi hab maritim Selat Melaka

Kuala Linggi hab maritim Selat Melaka

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


Pelabuhan Kuala Linggi kini menjadi terminal tukar barang selain menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada syarikat perkapalan di Selat Melaka yang berlabuh di situ. - UTUSAN/Azli ahad


ALOR GAJAH 4 April - Port Supai cukup sinonim dengan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi kerana ia adalah kota pertahanan tinggalan tentera Belanda dan Bugis.

Kesan peninggalan sejarah kota yang terletak di puncak Bukit Supai itu dibina sebagai tanda perdamaian bagi perang antara 1756 dan 1757.

Berdasarkan sejarah, perjanjian antara tentera Belanda dengan Bugis telah berlangsung pada 1 Januari 1758. Hasil perjanjian, Belanda dibenarkan menguasai Linggi dan perdagangan bijih timah di situ.

Kini, Kuala Linggi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Melaka dan berada di sempadan Negeri Sembilan, iaitu Port Dickson sejauh 47 kilometer sudah jauh berubah di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Di bawah teraju Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ir. Ismail Othman, kehidupan penduduk di sini sudah banyak berubah. Penduduk Kuala Linggi dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana yang lengkap dengan setiap rumah mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna.

Kemudahan awam di sini termasuklah sepuluh buah masjid, 22 surau, dua sekolah menengah kebangsaan (SMK), lima sekolah rendah kebangsaan (SRJK) serta dua sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC).

Perkhidmatan bas awam juga masih beroperasi bagi memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan persendirian untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Perkhidmatan jalur lebar pula terdapat di balai raya Kampung Sungai Tuang, Kampung Permatang dan Kampung Ayer Molek bagi memudahkan bukan sahaja pelajar tetapi juga seluruh masyarakat di sini menggunakan internet.

Di samping itu, terdapat 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB).

Kampung yang terdapat di sini adalah Kampung Kuala Linggi, Kampung Bukit Darat, Kampung Tanjung Dahan, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Permatang, Kampung Kuala Pantai, Kampung Guan, Kampung Baru, Kampung Telok Gong, Kampung Sungai Tuang, Kampung Ladang dan Kampung Ayer Molek.

Perkampungan Cina terbesar ialah Kampung Paya Mengkuang, Kampung Mun Lok dan Kampung Bukit Beruang.

Dua pusat pengajian di sini pula adalah Akademi Laut Malaysia yang menawarkan kursus berkaitan dengan ilmu perkapalan terletak di Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka.

Walaupun sektor pertanian bukan sumber ekonomi utama penduduk di sini, namun sektor pelancongan dan maritim menjadi tunjang membangunkan Kuala Linggi.

Telok Gong adalah lokasi tumpuan pelancong kerana mempunyai pantai yang cantik dan bersih, menjadi tumpuan pelancong setiap cuti hujung minggu dan umum.

Terdapat banyak calet diusahakan penduduk di sepanjang pantai Telok Gong dari pekan Kuala Sungai Baru hingga ke Pengkalan Balak.

Sungai Linggi pula adalah produk pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri. Di sini cukup sinonim dengan udang galah dan pelbagai spesies ikan sungai seperti lampam, senangin, sembilang dan serkot.

Kini, terdapat sebuah taman rekreasi terletak berhampiran Sungai Linggi yang dikenali sebagai Taman Lokan.

Medan ikan bakarnya juga tidak kurang hebat seperti Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru dan Port Supai yang menyediakan pelbagai jenis ikan segar seperti jenahak, siakap, serkot, kepah, lokan, udang dan sotong.

Selain itu, Taman Paya Laut menjadi produk ekopelancongan hutan paya bakau yang menyediakan calet, persiaran jalan kaki dan menara tinjau bagi menambah daya tarikan.

Lebih menarik, taman ini turut menjadi tempat tumpuan spesies seperti memerang, burung bangau dan buaya bersantai.

Lebih penting, pelabuhan Kuala Linggi yang terletak di Kuala Sungai Baru pula bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi untuk menjadi hab maritim di Selat Melaka.

Pada masa ini, pelabuhan tersebut menawarkan pelabuhan kapal ke kapal (STS) bertaraf antarabangsa bagi kemudahan industri kargo cecair dan merupakan yang pertama di Malaysia.

Konsep STS begitu mudah, kapal yang melalui Selat Melaka hanya perlu berhenti di Hab Perdagangan dan Pemunggahan Terapung Antarabangsa Linggi (LIFT Hub), melakukan pemindahan dan kemudian meneruskan perjalanan ke lokasi lain.

Pelabuhan yang dikenali sebagai LIFT Hub berkenaan beroperasi di kawasan seluas 180 kilometer persegi di laut lepas iaitu terletak kira-kira 18 kilometer dari pantai Kuala Linggi.

Perairan Kuala Linggi mempunyai keistimewaan untuk menjadi pelabuhan STS utama dunia kerana mampu menampung 12 kapal tangki besar (VLCC) pada satu-satu masa.

Kawasan ini mempunyai ciri-ciri geografi yang sesuai seperti laut yang tenang, dasar laut yang rata dan terlindung daripada ancaman tsunami dan angin monsun.

Terbaru, pelabuhan Kuala Linggi menjadi terminal tukar barang (barter trade) selepas operasinya di Sungai Rambai dipindahkan ke sini pada 1 April lalu.

Selain itu, kawasan ini juga bakal menjadi sebuah pusat perdagangan, khususnya antara Melaka dan Riau, Indonesia. Beberapa syarikat lain yang beroperasi di sini seperti Tidle Maritim, Team Maritim, Alam Maritim dan Delta Maritim.

Sementara itu, Ismail menekankan, penduduk di sini harus percaya terhadap kepimpinan BN dalam mengubah dan membangunkan kawasan ini.

"Tiada sebab rakyat di kawasan ini perlu berubah fikiran untuk memilih kerajaan lain berbanding apa yang telah dilakukan oleh BN. Kuala Linggi sudah banyak berubah, peningkatan dalam sektor ekonomi terutama pelancongan memberi banyak limpahan rezeki kepada penduduk.

"Pelabuhan Kuala Linggi pula akan dibangunkan sebagai hab maritim di Selat Melaka. Pada masa ini, banyak perancangan besar sedang dilakukan untuk menjadikan pelabuhan ini antara yang tersibuk.

"Secara tidak langsung ia akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini," tegas Ismail lagi.

Naik taraf Pasar Borong MPHTJ

Posted:

Naik taraf Pasar Borong MPHTJ

Naik taraf Pasar Borong MPHTJ

Oleh amran mulup
utusanmelaka@utusan.com.my


MOHD. Ali Rustam (dua dari kiri) mendengar penjelasan seorang peniaga ikan mengenai masalah peniaga di Pasar Borong MPHTJ ketika meninjau keadaan pasar borong di Batu Berendam, Melaka, kelmarin.


MELAKA 4 April - Kerajaan negeri memberi jaminan masalah longkang tersumbat dan aliran air kotor yang tidak sempurna hingga menjejaskan keadaan di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Batu Berendam, dekat sini akan diatasi segera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihak swasta yang dilantik untuk menguruskan pasar borong itu perlu mengadakan rundingan dengan MPHTJ bagi menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Menurutnya, keadaan itu jika tidak diatasi segera boleh menimbulkan keadaan yang tidak selesa hingga menjejaskan urus niaga di pasar borong tersebut.

"Semua isu kebersihan termasuk masalah tempat letak kereta dan peniaga perlu ditangani segera melalui perbincangan dengan pihak pengurus pasar borong dan MPHTJ," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke pasar borong MPHTJ awal pagi semalam.

Mohd. Ali membuat lawatan itu selepas mendapat rungutan daripada beberapa peniaga mengenai pelbagai masalah yang wujud sejak pengurusan pasar borong tersebut diswastakan pada Februari lalu.

Pengurusan pasar borong MPHTJ diswastakan pada 1 Februari lalu melalui syarikat Sis Resources (M) Sdn. Bhd. melalui perjanjian selama 15 tahun dengan kadar sewa RM30,000 sebulan.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan oleh pihak pengurusan seperti menaik taraf tempat lori untuk memudahkan kerja-kerja memunggah ikan dan juga sayur-sayuran.

"Saya lihat tempat lori memunggah barangan tidak sempurna dan ruang pula terlalu sempit hingga menyebabkan berlakunya kesesakan pada waktu puncak," ujarnya.

Selebihnya kata beliau, tidak wujud sebarang masalah besar hingga boleh menjejaskan urus niaga di pasar borong itu yang menempatkan 193 peniaga ikan dan sayur-sayuran.

Beliau berkata, bekalan ikan kebanyakannya datang dari Indonesia, Thailand, Sri Lanka selain Pantai Remis, Perak dan Pahang.

Katanya, bekalan ikan yang diterima untuk kegunaan peniaga makanan dan orang ramai setakat ini juga adalah mencukupi.

RM4 juta jayakan Dasar Pencahayaan

Posted:

RM4 juta jayakan Dasar Pencahayaan

RM4 juta jayakan Dasar Pencahayaan

SEREMBAN 4 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta tahun ini untuk menjayakan Dasar Pencahayaan Fasa Kedua, Peringkat Pertama yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, dasar itu dibuat selepas pihaknya meneliti beberapa cadangan dan pandangan dikemukakan oleh orang ramai melalui 'Sesi Mendengar' yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, berdasarkan kepada dasar sama sebelum ini pihaknya mendapati maklum balas daripada orang ramai cukup menggalakkan dan mahu supaya ia diperluaskan di kawasan persekitaran mereka.

"Apa yang dapat kita lihat dasar ini telah menunjukkan impak yang besar yang mana beberapa jalan di laluan Seremban-Kuala Pilah, Seremban-Jelebu dan sekitar Bahau telah dipasang lampu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sama seperti projek terdahulu, Mohamad menjelaskan keutamaan akan diberikan di persimpangan tiada lampu, kawasan Felda, taman perumahan, lorong belakang dan lokasi yang sering berlaku kemalangan jalan raya.

"Bagi menjayakan dasar ini kita telah memanggil beberapa pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti laluan mana yang memerlukannya," katanya.

Mohamad menjelaskan, pemasangan lampu di kawasan tersebut adalah penting bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Kita tidak mahu jalan-jalan utama di kawasan luar bandar terus gelap dan banyak kemalangan berlaku disebabkan orang dari luar menggunakan laluan tersebut.

"Kadang-kadang mereka yang menggunakan jalan raya tersebut kemalangan kerana tidak dapat melihat dengan jelas ketika memandu dan saya fikir pemasangan lampu berkenaan perlu dijalankan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan