Khamis, 5 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Saya tidak pernah melencong daripada komitmen - Perdana Menteri

Posted:

Saya tidak pernah melencong daripada komitmen - Perdana Menteri

Saya tidak pernah melencong daripada komitmen - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 4 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu, beliau tidak pernah melencong dalam komitmennya bagi membawa perubahan sebenar merentasi semua bidang, dengan kemakmuran, keselamatan dan demokrasi yang berkekalan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

Katanya, sehingga itu beliau telah bekerja bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia bagi menjadikannya sesuai untuk menghadapi cabaran abad ke-21, bagi meningkatkan daya saing, pendapatan dan mengurangkan pengangguran di sepanjang masa itu.

Beliau menegaskan bahawa beliau telah memansuhkan perundangan era kolonial yang menindas dan menggantikannya dengan undang-undang moden dan progresif yang melindungi kehidupan dan hak semua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri juga berkata, beliau telah mendengar gesaan untuk ketelusan yang lebih luas dalam pilihan raya, menubuhkan suruhanjaya dwipartisan bagi meneliti proses mengundi dan memperkenalkan langkah-langkah seperti penggunaan dakwat kekal bagi mengurangkan kemungkinan penipuan dalam pemilihan.

"Dalam setengah abad kemerdekaan, kita mendapati pembaharuan yang mantap adalah cara terbaik bagi menjamin kestabilan yang berpanjangan. Ia adalah satu proses yang berterusan di Malaysia sehingga hari ini," kata Najib dalam ruangan Opinion Asia yang ditulis beliau bertajuk The ASEAN Way Won Burma Over dalam The Wall Street Journal, yang diterbitkan hari ini.

Najib berkata, sebagai pemimpin Malaysia, negara Asia Tenggara tertua mengamalkan demokrasi, beliau sentiasa berminat untuk berkongsi pengalaman-pengalaman ini.

"Ia merupakan satu proses evolusi daripada revolusi dan proses itu adalah lebih baik disokong dan digalakkan melalui hubungan keluarga dalam negara-negara yang bekerjasama membantu satu sama lain," katanya.

Najib berkata, sebab itu pada sidang kemuncak ASEAN minggu ini di Phnom Penh, Kemboja, para pemimpin 10 negara kumpulan serantau akan meletakkan sentuhan terakhir berhubung satu deklarasi bertajuk One Community, One Destiny (Satu Komuniti, Satu Takdir).

"Ia merupakan satu pengakuan yang amat nyata bahawa masa depan kita bergantung kepada hubungan yang lebih rapat dan lebih erat, bercakap dalam satu nada dan dengan satu matlamat di fikiran, pembangunan berterusan bagi ekonomi kita, masyarakat kita dan di atas semua itu iaitu demokrasi kita. Ia adalah, secara ringkas, pendekatan yang sangat Asia, sangat ASEAN," katanya.

Najib berkata, sejak empat dekad kebelakangan ini, ASEAN mendapat banyak pujian kerana membantu negara-negara anggotanya bagi meningkatkan perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan tetapi ia juga dikritik dalam lingkungan dasar asing kerana berbuat terlalu sedikit bagi menggalakkan demokrasi dan hak asasi manusia.

Dalam konteks ini, beliau berkata, sejak beberapa dekad lalu, Myanmar sering dikritik dan ia kerap kali diikuti dengan sekatan.

"Apa yang tersirat dalam pendirian ini adalah idea bahawa negara-negara demokrasi seperti Malaysia perlu menjauhi jiran-jiran yang kurang bebas dan satu-satunya cara untuk membawa penambahbaikan ialah dengan melumpuhkannya secara ekonomi ke atas mereka yang tidak mahu menerima pakai peti undi," kata Najib. - BERNAMA

Kaunselor perlu kemahiran baru tangani kecelaruan seks, LGBT

Posted:

Kaunselor perlu kemahiran baru tangani kecelaruan seks, LGBT

Kaunselor perlu kemahiran baru tangani kecelaruan seks, LGBT


MUHYIDDIN Yassin diiringi Nordin Kardi (kiri) dan Dr. Radin Umar Radin Sohadi (kanan), pada gimik perasmian pelancaran Karnival Kaunseling, Pendidikan dan Kerjaya dan Seminar Transformasi Profesionalisme Kaunseling 2012 di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, semalam.


KUALA LUMPUR 4 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, para kaunselor tempatan perlu dilengkapkan dengan kemahiran terkini untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran baru seperti kecelaruan seks di kalangan masyarakat termasuk kemunculan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemahiran kaunseling yang berkesan oleh kaunselor profesional boleh melindungi masyarakat daripada fenomena LGBT yang dahulu hanya banyak berlaku di barat, seterusnya memastikan keutuhan institusi keluarga sentiasa terjamin.

"Amalan ini yang bertentangan dengan nilai moral, agama dan norma masyarakat kita mesti ditangani secara bijaksana.

"Saya percaya melalui pendekatan kaunseling yang berkesan, kita akan dapat mengelakkan gejala negatif ini daripada menular dalam masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kaunseling, Pendidikan dan Kerjaya serta Seminar Transformasi Profesionalisme Kaunseling 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (Perkama), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Ir. Dr. Radin Omar Radin Sohadi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kemahiran kaunseling turut berperanan penting untuk membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) menjalani kehidupan seharian yang sempurna dalam persekitaran semakin mencabar.

Justeru, beliau memuji usaha Perkama pada tahun ini yang mula memberikan tumpuan khusus kepada usaha melahirkan seramai mungkin kaunselor untuk mampu mengendalikan sesi bersama OKU.

Timbalan Perdana Menteri menambah, profesion kaunseling mempunyai peranan yang amat kritikal dalam membantu pembentukan modal insan dan usaha kerajaan menuju status negara maju.

Menyedari hakikat itu, katanya, kerajaan sentiasa mengiktiraf profesion kaunseling seperti melalui penguatkuasaan Akta Kaunselor 1998 serta penambahbaikan laluan kerjaya skim perkhidmatan guru bimbingan dan kaunseling, sama seperti guru akademik.

DSA 2012 bakal raih RM200j tukaran asing

Posted:

DSA 2012 bakal raih RM200j tukaran asing

DSA 2012 bakal raih RM200j tukaran asing

KUALA LUMPUR 4 April - Pameran Peralatan dan Perkhidmatan Pertahanan (DSA) 2012 dijangka mendapat manfaat ekonomi sampingan menerusi penghasilan tukaran asing bernilai RM200 juta, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi (gambar) di sini hari ini.

Ini memandangkan acara tahun ini, yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 16 hingga 19 April ini, adalah lebih besar daripada pameran sebelum ini, katanya.

Berucap pada jamuan tengah hari dengan para wakil pertubuhan berita di sini, Zahid berkata DSA 2010 telah menghasilkan nilai tukaran asing lebih RM180 juta dan kerajaan Malaysia juga telah menandatangani kontrak, memorandum persefahaman (MoU) serta Surat Hasrat (LoI) bernilai lebih RM11.28 bilion.

Katanya, pameran itu juga dijangka mewujudkan pelbagai peluang membina jaringan antara syarikat pertahanan antarabangsa dan tempatan.

Setakat ini, DSA 2012 telah menarik penyertaan 25 pavilion kumpulan negara luar termasuk Australia, Austria, Bosnia, Brazil, Kanada, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, Itali, Norway, Pakistan, Poland, Rusia, Slovakia, Korea Selatan, Afrika Selatan, Sweden, Switzerland, Turki, United Kingdom, Ukraine dan Amerika Syarikat.

Pavilion Malaysia akan disertai oleh Amdac, Bousted, DRB-Hicom, DEFTECH, Nadi Defence, Sapura, SME Ordnance, Westar LDV dan Zetro.

Zahid berkata, beberapa persidangan akan diadakan sempena DSA 2012 termasuk Forum Putrajaya, Sidang Meja Bulat Ketua Turus Tentera, Forum Penjagaan Kesihatan Medan Perang, Perkhidmatan Polis dan Keselamatan Negara dan Kerjasama Industri Pertahanan Asean. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan