Khamis, 5 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Melihat keindahan marin

Posted:

Melihat keindahan marin

Melihat keindahan marin

Oleh SAFINA RAMLI
utusanutara@utusan.com.my


Ahmad Fauzi Ibrahim (dua dari kanan) memberi penerangan kepada peserta yang menjalani latihan menyelam di Pusat Akuatik Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/Halim Khalid




Dua pelatih Tahir jalaludin dan Dian Mohd. Isa cuba belajar bergerak dalam air selepas mengikuti kelas teori.


ALOR SETAR 4 April - Keinginan membantu pencinta alam meneroka keindahan ciptaan Tuhan di dasar laut menjadi pendorong utama kepada Ahmad Fauzi Ibrahim, 57, membuka sebuah pusat selam skuba di Pusat Akuatik Kedah, Gurung Keriang di sini, awal bulan ini.

Walaupun pada usia 57 tahun yang sepatutnya menjadi usia persaraan, namun beliau tidak betah untuk tinggal di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan.

Mula aktif dalam sukan selam skuba pada usia 55 tahun, bekas kerani bank ini memberanikan diri mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM50,000 untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan tersebut.

Ahmad Fauzi atau lebih dikenali sebagai Baie berkata, kesukaran untuk mendapatkan lesen selam skuba di negeri ini membuatkan dia memberanikan diri mencuba perniagaan itu.

"Sewaktu saya mula-mula mahu ambil lesen selam skuba saya naik motosikal seorang diri ke Terengganu selama 11 jam semata-mata mahu mendapatkan lesen kerana di Kedah dan kawasan utara tidak ada pusat selam skuba yang boleh memberi tunjuk ajar serta latihan praktikal.

"Saya membuka operasi pusat selam skuba di sini kerana banyak peminat sukan ini terpaksa pergi ke negeri lain bagi mendapatkan lesen selam skuba," katanya ketika ditemui di Scuba Baie Diving Centre di Pusat Akuatik Kedah, Gunung Keriang di sini baru-baru ini.

Ahmad Fauzi berkata, selain itu, beliau juga mahu merealisasikan impian orang ramai yang ingin melihat sendiri keunikan kehidupan marin di lautan.

"Keindahan alam marin memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata dan saya rasa setiap orang yang sihat tubuh badan perlu merasai sendiri kehebatan dunia dasar laut ciptaan Tuhan.

"Antara pengalaman menarik saya sewaktu menyelam di Bali apabila melihat seekor ikan pari sebesar bot yang kami naiki berenang dengan lemah lembut di dalam laut dan saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menyaksikan keajaiban itu," jelasnya.

Menurut Ahmad Fauzi, dengan moto perniagaannya Now Everbody Can Dive, beliau menyediakan peluang kepada peminat-peminat dunia marin untuk mendapatkan lesen selam skuba dengan harga yang berpatutan.

Katanya, untuk mengambil lesen seseorang itu perlu membayar RM1,500 namun kini dengan harga tawaran RM1,300 di Scuba Baie Diving Centre peminat alam marin sudah boleh mendapatkan lesen selam skuba mereka.

"Kami akan mengajar teori dan latihan praktikal selama tiga hari kepada mereka di pusat akuatik dan satu hari sesi latihan di laut.

"Latihan di laut penting bagi membolehkan perasaan panik dan takut secara perlahan-lahan," ujarnya.

Kata Ahmad Fauzi, tiada had umur bagi penyelam malah anak bongsunya berusia 10 tahun juga kini telah jatuh cinta dengan aktiviti itu.

Apa yang penting, seorang penyelam perlu mempunyai kesihatan yang baik dan tidak mempunyai penyakit seperti asma.

"Kebolehan berenang juga perlu ada bagi penyelam tetapi jika tidak tahu berenang ia bukan penghalang kerana kebolehan itu akan berkembang secara perlahan-lahan," jelasnya.

Mereka yang ingin belajar selam skuba, boleh mengunjungi Scuba Baie Diving Centre di Pusat Akuatik Kedah, Gunung Keriang yang dibuka pada Selasa hingga Ahad mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang atau menghubungi Ahmad Fauzi di talian 013-4089966 dan 012-4161966 untuk maklumat lanjut.

Perak terima bantuan RM23.136b

Posted:

Perak terima bantuan RM23.136b

Perak terima bantuan RM23.136b

IPOH 4 April - Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM23.136 bilion kepada kerajaan negeri bagi menjayakan Pelan Pusingan Pertama dan Kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) termasuk Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, peruntukan terbesar yang diberikan dalam tempoh tiga tahun itu adalah hasil kerjasama erat yang dijalinkan oleh kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.

"Sebanyak 654 projek pembangunan di negeri Perak dibiayai di bawah perancangan RMK-10 ini termasuklah pembinaan blok wanita dan kanak-kanak serta Jabatan Kardiologi Hospital Ipoh iaitu RM150 juta.

"Selain blok perkhidmatan pusat Hospital Taiping bernilai RM120 juta, bekalan air luar bandar negeri Perak dan Sekolah Perikanan Pertanian Malaysia Manjung, masing-masing dibangunkan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Mohd. Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) yang mahukan penjelasan jumlah peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembiayaan projek-projek pembangunan dari 2009 sehingga sekarang.

Dalam pada itu, Zambry berkata, atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan juga, Perdana Menteri telah meluluskan beberapa peruntukan tambahan pada Januari tahun ini kepada Perak.

Beliau berkata, ia termasuk projek tebatan banjir berjumlah RM374 juta, khususnya di kawasan Kerian, Hospital Pakar Parit Buntar (RM250 juta), Dewan Serbaguna Parit Buntar (RM4.5 juta) serta pembinaan Stadium Mini Bagan Serai (RM2.5 juta).

"Peruntukan tambahan itu juga meliputi projek naik taraf kemudahan Felda Ijok Selama dan pembiayaan kos projek bangunan tambahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian, masing-masing bernilai RM2 juta," katanya.

Menjawab soalan tambahan Tajol Rosli sama ada kerajaan negeri boleh memohon peruntukan untuk menaik taraf kemudahan kereta api ke Lumut untuk menjadikan bandar tersebut sebagai pusat ekonomi, Zambry berkata, kerajaan negeri tiada masalah dengan cadangan tersebut.

Tambah beliau, perkara tersebut pernah dicadangkan serta dikemukakan sebelum ini, namun ia masih di peringkat pertimbangan Kerajaan Pusat.

Perkasakan MAIPs untuk berdepan pelbagai isu - Raja Muda Perlis

Posted:

Perkasakan MAIPs untuk berdepan pelbagai isu - Raja Muda Perlis

Perkasakan MAIPs untuk berdepan pelbagai isu - Raja Muda Perlis

KANGAR 4 April - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memerlukan sumber tenaga berkualiti, prasarana kondusif dan perancangan bersistematik untuk berdepan pelbagai isu di kalangan ummah termasuk tanggapan negatif atau stigma yang mengaitkan umat Islam dengan ketidakwarasan dalam bertindak, perpecahan dan murtad.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi mencapai tujuan tersebut, MAIPs melaksanakan beberapa elemen supaya warga kerjanya memperkasakan lagi organisasi itu.

Antaranya, titah baginda, MAIPs perlu mempunyai prasarana yang kondusif, maju dan berdaya saing dalam arus perdana, sesuai dengan ketinggian dan kesucian fungsi majlis tersebut.

"MAIPs juga seharusnya mencari peluang dan ruang untuk menjana ekonominya serta peka terhadap kehendak kakitangan, pelanggan dan stake holders," titah baginda pada Multaqa Pegawai dan Kakitangan Agensi-Agensi di Bawah MAIPs di Ocean Glow Putra Brasmana, Kuala Perlis, di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman dan Setiausaha MAIPs, Abdul Malik Husin.

Selain itu, baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah, majlis berkenaan semestinya merencana dan memantapkan latihan serta peningkatan ilmu dan kemahiran warganya.

"Tumpuan lain ialah mengutamakan keperluan golongan sasar dan memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan sentiasa mengemaskini laman sesawang MAIPs.

"Begitu juga dengan penganjuran program berpendidikan seperti Hijrah Minda yang membentuk modal insan berusaha, meminimumkan budaya negatif, sikap berpeluk tubuh, berdiam diri dan menyerah kepada takdir," saran baginda.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin, tidak kurang pentingnya ialah usaha mengeratkan kerjasama dan meningkatkan rasa kekitaan sesama kakitangan MAIPs ke arah mewujudkan pasukan kerja yang unggul melalui program tanggungjawab sosial (CSR), aktiviti sukan dan hari keluarga.

"Di samping itu, berusahalah untuk memartabatkan imej MAIPs melalui aktiviti dan program yang mencakupi setiap golongan dan lapisan masyarakat, sekali gus mengelak sebarang persepsi negatif terhadapnya (MAIPs)," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menyarankan warga kerja MAIPs supaya memainkan peranan masing-masing memperkasakan MAIPs melalui:

* Hubungan yang kukuh dengan Al-Khaliq iaitu Hablum minallah.

* Bersikap telus, ikhlas dan peka terhadap isu semasa.

* Mempunyai sikap tahan diuji dalam menghadapi setiap masalah.

* Mempunyai sikap berhati-hati dan teliti dalam tindakan atau meticulous.

* Sentiasa berinovatif dan kreatif.

* Memelihara kerahsiaan dan perkara sulit organisasi,

* Melakukan sesuatu dengan pantas dan tepat, dan;

* Mempamerkan budaya kerja unggul dan terbilang serta menonjolkan imej dan citra diri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan