Rabu, 4 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Pelajar FTK UTeM cemerlang

Posted:

Pelajar FTK UTeM cemerlang

Pelajar FTK UTeM cemerlang

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


Kumpulan Violet yang mengharumkan nama UTeM setelah berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan Kenderaan Elektrik Amfibia 2012 di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MELAKA 3 April - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta kejayaan apabila pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) menduduki tempat ketiga dalam pertandingan Kenderaan Elektrik Amfibia 2012 di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih oleh empat pelajar dari pasukan Violet yang dibarisi oleh Muhammad Taufiq Amri Sahard'din, Muhammad Zubir Ramli, Muhammad Azlan Shah Ibrahim dan Safiuddin Azri Mohd. Hassan Zaini.

Dekan FTK, Prof. Madya Mohd. Rahimi Yusoff berkata, UTeM melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai walaupun menduduki tempat ketiga pertandingan tersebut.

"Kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar dalam menyiapkan model mini kenderaan bermotor dalam masa yang singkat membuktikan komitmen dan semangat yang ada pada mereka.

"Kejayaan ini membuktikan mereka mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi jika terus kekal dengan ketekunan yang ditunjukkan oleh mereka," katanya.

Mohd. Rahimi berkata, walaupun pelajar FTK berada pada tahun pertama pengajian, namun bakat yang mereka miliki terserlah sewaktu menyertai pertandingan tersebut.

Sehubungan itu katanya, beliau berharap agar kejayaan seumpana itu mampu menjadi pemangkin ke arah melahirkan graduan FTK berpotensi tinggi dan juga menguasai tahap komunikasi bertepatan dengan misi 2K yang ditekankan.

Katanya, pertandingan itu memerlukan peserta mereka bentuk dan membina sebuah kenderaan mini berkuasa elektrik yang boleh bergerak di darat dan juga permukaan air.

Ujarnya, kenderaan itu kemudiannya diuji berdasarkan kepantasan untuk sampai ke garisan penamat dengan melalui trek sepanjang 10 meter di darat dan air.

10,500 hadiri Ekspo Selangkah ke UiTM Melaka

Posted:

10,500 hadiri Ekspo Selangkah ke UiTM Melaka

10,500 hadiri Ekspo Selangkah ke UiTM Melaka


Dr. Mizan Hitam (enam dari kanan) bersama sebahagian daripada pengunjung Ekspo Selangkah ke UiTM di Kampus Bandaraya, Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 3 April - Ekspo Selangkah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diadakan di Kampus Bandaraya, dekat sini, baru-baru ini, berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,500 pengunjung.

Jumlah tersebut membolehkan UiTM cawangan Melaka berada di tempat ketiga apabila mencatatkan kehadiran pengunjung teramai daripada kesemua cawangan yang menganjurkan ekspo tersebut secara serentak di seluruh negara.

Lebih 80 peratus pengunjung terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mengintai peluang melanjutkan pelajaran ke beberapa kampus UiTM di seluruh negara.

Daripada jumlah itu seramai 2,300 pengunjung telah mendaftar untuk memasuki cawangan Lendu dan Bandaraya, dekat sini.

Rektor UiTM cawangan Melaka, Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, ekspo yang berlangsung selama dua hari dari 24 hingga 25 Mac lalu itu membuktikan UiTM tetap menjadi pilihan utama pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan diploma.

Menurutnya, antara program yang ditawarkan adalah ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana di Kampus Bandaraya manakala program diploma pula di Kampus Lendu.

"UiTM juga membuka saluran kepada pelajar miskin melalui Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) untuk diterima masuk ke sini yang mana di Melaka sahaja terdapat seramai 700 pelajar di bawah MDAB," jelas beliau.

Ekspo kali ini katanya, menyediakan kaunter sistem perkhidmatan memadankan (match-making) dengan keputusan SPM atau STPM dengan program-program yang ditawarkan di UiTM.

"Kaunter ini memudahkan pelajar mengetahui kelayakan yang membolehkan mereka memohon pelbagai kursus yang ditawarkan oleh kampus-kampus UiTM di seluruh negara dan ia juga menjimatkan masa," katanya lagi.

Selain itu kata beliau, pihaknya turut menyediakan kaunter untuk mengemas kini borang Unit Pusat Universiti (UPU) kepada pengunjung selain kaunter maklumat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar yang mahu memohon pinjaman.

Bakal guru dalami adat, budaya 'Nogori' di Batu Kikir

Posted:

Bakal guru dalami adat, budaya 'Nogori' di Batu Kikir

Bakal guru dalami adat, budaya 'Nogori' di Batu Kikir


Sebahagian daripada penuntut Institut Perguruan Raja Melawar, Seremban mempelajari cara membuat bunga daripada daun getah ketika Program Jejak Budaya di Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


JEMPOL 3 April - Seramai 109 penuntut Institut Perguruan Raja Melawar (IPRM), Seremban berkampung selama tiga hari di Kampung Lonek, Batu Kikir, dekat sini bagi mendalami budaya serta gaya hidup penduduk setempat menerusi Program Jejak Budaya, baru-baru ini.

Pengarah Projek, Ahmad Afiq Affandi Ahmad Ruzi berkata, program tersebut bertujuan membolehkan peserta mengkaji serta mempelajari sosiobudaya masyarakat di kampung berkenaan.

"Program ini juga secara tidak langsung membantu mereka melengkapkan sebahagian sukatan pelajaran berhubung budaya masyarakat di negeri ini. Ini kerana penduduk kampung ini masih mengekalkan budaya 'Nogori' yang kuat, sebab itu kami mengambil keputusan untuk ke sini," katanya.

Menurut beliau, daripada 109 peserta tersebut, hanya dua sahaja penuntut berasal dari negeri ini.

"Walaupun mereka merupakan anak jati Negeri Sembilan, namun mereka tidak berpeluang dan berkesempatan mendalami bahasa mahupun keunikan adat negeri ini.

"Mereka tinggal di bandar, sebab itu tidak dapat merasai gaya hidup kampung, apatah lagi fasih berkomunikasi dengan loghat negeri ini," jelas Ahmad Afiq Affan lagi.

Sementara itu, seorang peserta, Phang Yu Keen, 19, dari Gemencheh, Tampin dekat sini berkata, dia berasa bangga apabila berpeluang memperkenalkan budaya dan adat negeri ini kepada rakan lain.

"Sebelum ini ada rakan yang tanya mengenai adat budaya negeri ini namun saya tidak dapat menceritakan keistimewaannya dengan terperinci memandangkan saya tinggal di bandar.

"Walaupun dilahirkan serta menetap di negeri ini, saya sendiri tidak berkesempatan untuk menyaksikan tarian serta nyanyian tradisional negeri ini.

Rakannya, Aina Asyikin Khairil, 19, pula berkata, menerusi program tersebut, dia dapat menimba pelbagai pengalaman baru sekali gus membantu dirinya untuk menyiapkan laporan mengenai adat negeri ini.

"Meskipun hanya tiga hari berkampung di sini tetapi layanan mesra penduduk membuatkan kami seperti sebahagian daripada masyarakat di sini," ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Th'ng Jia Ling, 20, dari Selangor pula berkata, dia berharap masyarakat setempat akan terus mempertahankan adat dan budaya negeri ini agar ia terus diwarisi kepada generasi akan datang.

"Rugi jika mereka melupakan adat hanya kerana ingin mengikut perkembangan moden. Apa yang mereka warisi ini amat istimewa dan unik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan