Selasa, 3 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Akan tetap tunaikan janji - MB

Posted:

Akan tetap tunaikan janji - MB

Akan tetap tunaikan janji - MB

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 2 April - Kerajaan negeri mengesan beberapa perkara kecil yang pernah diucapkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebelum ini tetapi terlepas pandang untuk diselesaikan pada sesi mendengar yang dilakukan sepanjang dua tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan telah mengambil tindakan untuk menyelesaikannya satu persatu dan dalam pembentangan yang dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan pada mesyuarat Exco minggu lalu, sebanyak 50 peratus permasalahan itu telah dapat diselesaikan dengan baik.

"Separuh lagi akan diselesaikan dalam waktu terdekat ini dan mana-mana keperluan yang disegerakan akan dibuat dahulu," katanya di sini hari ini.

Mohamad menjelaskan, sesi mendengar yang dijalankan itu bertujuan mengumpulkan maklumat perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat bawahan untuk disegerakan bantuannya.

"Wakil rakyat kita tiada menjanjikan apa-apa yang besar, cuma kadang-kala janji perkara kecil dan sebab itu kita buat sesi mendengar untuk mengetahui apa yang belum dapat diselesaikan dan masih tertunggak.

"Jadi, pada sesi mendengar itu, kita dapat bongkar ada perkara yang sebelum ini dinyatakan oleh wakil rakyat yang kadangkala terlepas pandang, pernah menyebut tetapi terlupa. Inilah yang kita ambil tindakan untuk diselesaikan," katanya.

Bagaimanapun, beliau gembira dengan prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang sentiasa komited membantu rakyat.

"Setakat ini semua berjalan dengan baik dan saya mahu lihat kerja ini diteruskan sepanjang masa supaya khidmat kita sebagai ADUN dan wakil rakyat yang sentiasa ditagih rakyat akan dapat diperkemaskan.

"Rakyat akan berpuas hati dengan kita kerana mereka juga menilai paras perkhidmatan yang diberikan," ujar Mohamad.

Justeru kata Mohamad, kerajaan telah mengklasifikasikan kepada dua kategori permasalahan rakyat iaitu keperluan dan kehendak di mana kategori sebagai kehendak akan diletakkan dalam bajet tahun hadapan atau diserahkan kepada kementerian terbabit.

"Yang hendak kita segerakan ialah kategori keperluan seperti jalan berlubang, longkang tersumbat, atap rosak dan sebagainya di mana ada keperluan segera dan amat mendesak," kata beliau lagi.

RM11.34 juta baik pulih infrastruktur di kawasan dilanda banjir

Posted:

RM11.34 juta baik pulih infrastruktur di kawasan dilanda banjir

RM11.34 juta baik pulih infrastruktur di kawasan dilanda banjir

SEREMBAN 2 April - Kerajaan Persekutuan menyalurkan kira-kira RM11.34 juta bagi menampung kos membaik pulih infrastruktur di sekitar kawasan negeri ini yang rosak akibat dilanda banjir awal tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Dr. Roslan Md. Taha berkata, kesemua peruntukan tersebut telah digunakan bagi membaiki jambatan, permukaan jalan terhakis, cerun dan jalan runtuh.

"Kesemua kerja membaik pulih itu telah selesai demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk di kawasan terbabit yang sebelum ini mengalami kesulitan termasuk kesesakan lalu lintas berikutan masalah tersebut.

"Antara kawasan yang paling teruk mengalami kerosakan akibat bencana tersebut adalah sekitar Kuala Pilah, Jempol dan Tampin," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Roslan memberitahu, melalui peruntukan berkenaan, sebanyak RM1.5 juta dibelanjakan bagi membaik pulih jalan runtuh di Felda Kepis, Kuala Pilah dekat sini.

"Kita turut membelanjakan hampir RM448,000 bagi membaik pulih jambatan di Sungai Kelamah, Tampin yang rosak disebabkan banjir.

"Peruntukan itu digunakan bagi membaiki Jambatan Merdeka di sungai berkenaan ekoran mengalami hakisan kritikal pada bahagian penampan," katanya.

Tambah Roslan, sebanyak RM371,000 pula digunakan bagi menampung kos membaiki cerun runtuh di Selaru, Kuala Pilah.

"Akibat banjir, cerun di kawasan tersebut runtuh sehingga mengakibatkan jalan yang menjadi laluan pintas sepanjang 50 meter terputus.

"Peruntukan selebihnya telah digunakan bagi membaiki permukaan jalan, bahu jalan, longkang dan saliran yang rosak di kawasan terlibat," jelas beliau lagi.

Pada Februari tahun lalu, empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Johor dilanda banjir buruk sehingga mengakibatkan lebih 60,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir demi menjamin keselamatan mereka.

Hayati cara hidup orang Melayu

Posted:

Hayati cara hidup orang Melayu

Hayati cara hidup orang Melayu

Oleh MAZLINDA MURTADZA
utusanN9@utusan.com.my


Peserta turut ke dapur untuk belajar membuat kuih bagi hidangan minum petang ketika mengikuti program inap desa di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah, baru-baru ini.


KUALA PILAH 2 April - Sebanyak 23 peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2012 mengambil bahagian dalam program inap desa di Kampung Sikai, Seri Menanti, di sini baru-baru ini.

Program selama empat hari itu bertujuan mendedahkan mereka kepada budaya dan cara hidup masyarakat Melayu yang selama ini hanya diketahui melalui pembacaan dan media elektronik di negara masing-masing.

Pengalaman itu mampu memperkayakan pengetahuan mereka tentang budaya hidup masyarakat Melayu terutamanya dalam aspek kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, budaya dan ekonomi.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Azali Mohamed berkata, objektif program itu bertujuan membolehkan para peserta menghayati kehidupan desa di samping membentuk komunikasi berbahasa Melayu yang dipelajari oleh mereka secara langsung dengan orang Melayu.

"Secara tidak langsung, ia mampu mewujudkan perpaduan yang erat antara rakyat Malaysia dan luar negara serta memajukan ekonomi dari segi pelancongan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana rata-rata di kalangan peserta program itu mula mahir bertutur dalam bahasa Melayu.

PABM adalah acara tahunan pidato bahasa Melayu terulung yang bermatlamat untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia.

Program itu cetusan idea dan inovasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu memperkasakan bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Turut meraikan peserta PABM ialah Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abd. Samad Ibrahim.

Sepanjang empat hari program inap desa itu, para peserta tinggal bersama keluarga angkat masing-masing dan diberi taklimat tentang "Pengenalan Kepada Budaya dan Adat Resam Melayu".

Mereka telah dibawa melawat ke kawasan sawah padi, ladang getah, kolam ikan dan pusat ternakan kambing.

Para peserta juga teruja dengan demonstrasi kraftangan tradisional Melayu dan menyertai gotong-royong persediaan kenduri kampung dan merasai sendiri pengalaman kenduri tersebut yang diserikan dengan persembahan kebudayaan.

Malah dua peserta program juga turut dijadikan 'raja sehari' bagi membolehkan kumpulan pemidato itu merasai pengalaman majlis perkahwinan orang Melayu.

Mereka juga menyertai kembara hutan dan merentas desa serta mengambil bahagian dalam sukaneka dan sukan tradisi seperti berlari dalam guni dan menarik upih.

Sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur, para peserta berkenaan telah dibawa mengunjungi pantai peranginan popular, Port Dickson.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan