Selasa, 3 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Perluas produk halal ke seluruh dunia

Posted:

Perluas produk halal ke seluruh dunia

Perluas produk halal ke seluruh dunia

Oleh KAMIL MASLIH dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 April - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan produk dan perkhidmatan halal diperluaskan tidak sekadar kepada komuniti Muslim peringkat global tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam di seluruh dunia.

Jelas beliau, usaha promosi tersebut pastinya mencapai sasaran sekiranya produk dan perkhidmatan itu menepati standard servis dan kualiti antarabangsa di samping keperluan standard alam sekitar dan keselamatan.

"Ruang lingkup pensijilan halal juga telah mengalami evolusi daripada daging dan ayam kepada pelbagai produk lain termasuk produk tenusu, penjagaan diri dan perubatan.

"Lebih dari itu, pembekal-pembekal logistik dalam sektor perkhidmatan kini turut memberi penekanan kepada pensijilan halal bagi memastikan tempat di dalam rangkaian pengedaran industri halal.

"Sehubungan itu, usaha untuk mengoptimumkan lagi industri halal di peringkat global memerlukan pemahaman yang jelas mengenai pelbagai aspek dalam akreditasi halal dan penyeragamannya di peringkat global," katanya ketika berucap merasmikan Forum Halal Sedunia (WHF) 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perikatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI), Darhim Dali Hashim dan Pengasas forum berkenaan yang juga Pengarah Urusan KasehDia Sdn. Bhd., Jumaatun Azmi.

Muhyiddin turut memuji peranan IHI dalam memperkenalkan standard halal di peringkat global, selain mewujudkan mewujudkan makmal ujian untuk memastikan integriti produk dan perkhidmatan halal di pasaran.

Jelas beliau, Malaysia telah menjadi peneraju dalam memperkenalkan akreditasi halal dan juga mempunyai pelbagai kepakaran dalam pensijilan halal kepada produk-produk bukan makanan termasuk perubatan, kosmetik dan logistik.

"Sehubungan itu, kerajaan Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengukuhkan lagi program-program sedia ada seperti IHI untuk memastikan ekosistem produk dan perkhidmatan halal di negara ini, selain meningkatkan potensi komersialnya di peringkat pasaran serantau dan global," katanya.

Kata Muhyiddin lagi, beliau yakin penganjuran WHF yang memasuki tahun ketujuh itu bukan sahaja dapat mengukuhkan landasan bagi membangunkan industri halal tetapi juga dapat mengembangkan ciri-ciri universal dalam gaya hidup yang berdasarkan produk dan perkhidmatan halal.

Tambahnya, forum yang menghimpunkan peserta dari 35 negara termasuk Brazil, Kanada dan Chile itu juga mengambil inisiatif yang tepat dalam mengenal pasti golongan muda sebagai demografik utama serta penggunaan media sosial untuk memperluaskan lagi pasaran industri halal.

Hasan tayang video pengakuan murtad

Posted:

Hasan tayang video pengakuan murtad

Hasan tayang video pengakuan murtad

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


Hasan Ali menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian mengenai kenyataan beberapa pemimpin Pas dan PKR yang merasakan isu video murtad tidak penting pada sidang media di kediamannya, di Taman Tun Dr. Ismail, semalam.


KUALA LUMPUR 2 April - Bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali hari ini mendedahkan bukti berlakunya kegiatan memesongkan akidah umat Islam yang dilakukan oleh beberapa pergerakan Kristian di negara ini.

Bukti menerusi rakaman video itu ditayangkan kepada media di kediamannya di sini dengan paparan pengakuan sepasang suami isteri yang pernah dimurtadkan sekitar 2002.

Rakaman video dengan tiga versi iaitu rakaman tanpa suntingan berdurasi sejam setengah serta rakaman dengan suntingan selama 16 minit dan 42 minit itu turut merekodkan pengakuan pasangan berkenaan menjalani upacara pembaptisan di sebuah pangsapuri di ibu negara.

Ujar Hasan, pengakuan pasangan itu jelas membuktikan kegiatan memurtadkan sebahagian umat Islam terutama dalam kalangan orang Melayu sememangnya berlaku.

''Unit Selamatkan Akidah (USA) sejak enam bulan lalu telah mengusahakan pembentukan data-data mengenai orang Islam yang terlibat dalam gerakan Kristianisasi. Gerakan itu telah berjaya memurtadkan umat Islam.

''Unit terbabit telah berusaha mendapatkan beberapa individu yang terlibat untuk berkongsi pengalaman mereka sejak dari mula terdedah kepada gerakan berkenaan hinggalah kepada mereka dimurtadkan.

''Saya difahamkan daripada pengakuan pasangan tersebut, dalam kumpulan mereka sahaja (yang dimurtadkan) ada lebih kurang 300 hingga 400 orang Melayu Islam. Namun, dakwa pasangan itu, sebenarnya ada banyak lagi kumpulan,'' katanya pada sidang akhbar di sini.

Hasan berkata, murtad di kalangan umat Islam kebanyakannya berlaku akibat mementingkan hiburan tanpa batas yang akhirnya memudahkan 'jarum' gerakan murtad memesongkan akidah mereka.

Dalam pada itu, beliau menempelak kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang melihat pendedahan video pengakuan murtad itu sebagai tidak penting.

''Hari ini Abdul Rani (dalam kenyataan media) sebut video murtad tak penting. Jelasnya Pas Selangor sudah dapat arahan Pas Pusat, tidak perlu layan apa yang saya hendak cakap (tentang pendedahan murtad). Abdul Rani juga berkata ada banyak benda besar nak diberi perhatian iaitu pengundi hantu.

''Pengundi hantu dikatakan benda besar dan nak dibandingkan dengan isu murtad? Bayangkan seorang Islam kata video murtad tak penting? Bertambahnya orang murtad tak penting?

''Saya tak tahulah (hendak kata apa) dan berharap beliau balik kepada akalnya untuk mencambahkan akidah Islam,'' ujarnya.

Beliau kemudiannya membidas kenyataan seorang pemberita yang mengaitkan pertambahan umat Islam yang murtad khususnya di Selangor dengan kegagalan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak selaku ketua agama Islam negeri.

''Untuk anda (pemberita) kata Sultan tak jalankan tugasnya, ia keterlaluan,'' tegas beliau terhadap pemberita tersebut yang berulang kali membangkitkan soalan sama.

Suami isteri diumpan bantuan kewangan

Posted:

Suami isteri diumpan bantuan kewangan

Suami isteri diumpan bantuan kewangan

KUALA LUMPUR 2 April - Sepasang suami isteri di sini mengakui gerakan Kristian giat mengumpan bantuan berbentuk kewangan dan tempat tinggal untuk memurtadkan umat Islam di negara ini.

Menurut seorang lelaki berusia 47 tahun di dalam video pendedahan murtad oleh bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali, dia menerima wang perbelanjaan harian keluarga mencecah sehingga RM5,000 sebulan dan sebuah kereta.

Jelasnya, ganjaran itu diterima sebaik sahaja meninggalkan agama Islam dan memeluk ajaran Kristian.

''Semuanya bermula sekitar 2002. Waktu itu hidup saya boleh dikatakan tidak terurus. Saya mendapatkan khidmat bantuan di sebuah pusat bantuan di Puchong dan tinggal bersama pasangan mubaligh Kristian dari Australia.

''Saya tertarik dengan cara mereka melayan saya sehingga diajak agar menerima Nabi Isa AS yang mereka sebut 'Jesus' mampu menyelamatkan dosa silam saya menuju syurga.

''Selepas berjaya menarik saya, upacara pembaptisan dilakukan di sebuah pangsapuri di ibu negara. Mereka ajar saya bagaimana berdoa dan dibawa ke beberapa buah gereja,'' katanya.

Rakaman video pengakuan lelaki tersebut bersama isterinya yang berusia 42 tahun didedahkan Hasan di kediamannya di sini hari ini.

Rakaman dengan tiga versi itu memaparkan pengakuan pasangan berkenaan mengenai bagaimana mereka dimurtadkan oleh gerakan Kristianisasi yang ada di antaranya berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ujar lelaki tersebut, selepas diberikan segala keistimewaan termasuk berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara, dia kemudiannya pernah terlibat dengan usaha menterjemah kitab Bible ke dalam bahasa Melayu.

''Sekian lama bersama organisasi Kristian, saya bersyukur kerana diberikan ruang oleh Allah untuk bertaubat. Waktu itu, saya mula lihat beberapa perkara tak betul dan perlu bertaubat.

''Kalau boleh, saya tak mahu orang Islam lain menjadi seperti saya,'' katanya.

Sementara itu, isterinya pula berkata, organisasi Kristian terbabit kini bergerak melalui tiga unit yang ditubuhkan iaitu Unit Bencana Alam, Unit Bacaan dan Unit HIV.

''Mereka aktif memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam dan mendekati pesakit HIV dan secara halus menggerakkan usaha memurtadkan umat Islam,'' jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan