Isnin, 9 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Bot nelayan karam dihempas benak

Posted:

Bot nelayan karam dihempas benak

Bot nelayan karam dihempas benak


Lima penumpang sebuah bot nelayan mengalami detik cemas ketika dipukul ombak muara sungai atau dikenali sebagai benak pada sambutan Pesta Benak 2012 di Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak, semalam.


SRI AMAN 8 April – Kemeriahan Pesta Benak 2012 di Sungai Batang Lupar di sini dikejutkan dengan insiden sebuah bot nelayan terbalik sebelum karam selepas dilanda benak atau ombak muara, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Muhammad berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan terdiri daripada polis, Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Sebelum kejadian, mangsa bersama ribuan penonton berada di tebing sungai menanti untuk menyaksikan fenomena benak pada petang ini yang dianggarkan mencecah ketinggian 6.3 meter.

"Ketika benak melanda, mangsa yang berseorangan dalam bot tiba-tiba dihempas oleh ombak menyebabkan botnya hilang kawalan sebelum terbalik. Namun tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya menyelamatkannya dari dibawa arus deras," katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, Mat Jusoh memberitahu, bot nelayan itu gagal untuk diselamatkan kerana terlalu berat, mungkin disebabkan ia membawa muatan peralatan menangkap ikan.

"Bot tersebut hanyut dibawa arus pasang ke hulu sungai dan kita akan lancarkan operasi untuk mencari bot itu esok," ujarnya.

Pesta Benak 2012 yang merupakan acara lima teratas dalam kalendar pelancongan Sarawak bermula kelmarin dan berakhir petang ini.

'RM100,000 akan saya berikan jika dapat buktikan Datuk K-Rozita berkahwin'

Posted:

'RM100,000 akan saya berikan jika dapat buktikan Datuk K-Rozita berkahwin'

'RM100,000 akan saya berikan jika dapat buktikan Datuk K-Rozita berkahwin'

KUALA LUMPUR 8 April - Datin Zaiton Mohd. Jiwa hari ini menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 kepada mana-mana individu yang dapat tampil menunjukkan bukti bahawa adiknya, Datuk Khalid atau Datuk K telah mengahwini pelakon jelita, Rozita Che Wan.

Zaiton berkata, dia tidak kisah mengeluarkan jumlah wang sebesar itu demi mencabar individu yang menyebar fitnah terhadap suami penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza itu.

"Kenalah berani berdepan. Kita mahukan bukti, jadi kepada mereka yang terlibat kita minta mereka tunjukkan bukti tersebut dan jika ia tulen serta sahih, ganjaran itu akan saya berikan.

"Ini bukan pertama kali cerita sebegini keluar, malah semasa keluar gosip pertama dulu, saya pernah minta supaya ditunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka tetapi tiada siapa yang datang menunjukkan bukti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zaiton yang juga penerbit Global Station Sdn. Bhd menambah, pihaknya mengambil tindakan sedemikian bagi memastikan maruah keluarganya tidak dicalar sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, Zaiton juga melahirkan rasa kecewanya dengan sikap segelintir penulis blog yang tidak henti-henti daripada terus menghangatkan isu tersebut.

"Keluarga kami rapat dan kami tahu berita itu tidak benar. Malah saya percaya adik saya tidak melakukannya, jadi bagaimana dengan persepsi masyarakat bila mereka terus disogok dengan berita-berita sedemikian," soalnya.

Sementara itu, Khalid atau Datuk K pula berkata, dia tidak pernah mengenali Rozita, apatah lagi mengahwininya.

Ujarnya, dia juga tidak pernah rapat dengan mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut seperti yang diperkatakan.

"Kalau ada yang kata saya pernah rapat dengan dia, itu fitnah besar kerana saya tidak pernah mengenali atau rapat dengan dia atau mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut.

"Jujurnya saya sudah sampai ke tahap 'menyampah' dan 'geram' untuk terlalu memikirkan gosip-gosip liar yang membabitkan diri saya ketika ini," tegasnya.

Datuk K menambah, sebenarnya mereka suami isteri sudah cukup lali dengan gosip-gosip sedemikian tetapi apabila isu berkenaan turut mendapat perhatian rakan-rakan perniagaannya perkara itu menjadi tidak manis.

"Jadi cukup-cukuplah. Saya sudah tidak mahu komen benda-benda remeh seperti ini dan malas serta menyampah sebab ia macam tak pernah habis," ujarnya.

Jelas ahli perniagaan itu lagi, jauh di sudut hati, dia tidak pernah terfikir untuk menduakan isteri kesayangan yang dianggap sebagai permata berharga dalam kehidupan.

Pantau kualiti produk sarang burung walet

Posted:

Pantau kualiti produk sarang burung walet

Pantau kualiti produk sarang burung walet

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

MUAR 8 April - Kerajaan akan memantau kualiti produk sarang burung walet dihasilkan di negara ini untuk tujuan eksport ke China bagi memastikan pengusahanya mematuhi semua piawaian antarabangsa yang ditetapkan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini kerana negara itu kini mengenakan peraturan ketat mengenainya.

Menurut beliau, dalam masa terdekat ini pengusaha akan menandatangani satu perjanjian baru dengan pihak di China bagi memastikan piawaian kualiti sarang burung walet dipatuhi sebelum dieksport semula ke negara tersebut.

"Justeru, saya minta semua program ternakan sarang burung walet untuk dieksport dikawal, kalau kerajaan tak kawal nanti banyak perkara berlaku. Itu sebabnya hari ini kita boleh lihat kerajaan sangat beri tumpuan kepada industri sarang burung walet.

"Sarang burung walet merupakan program yang memberi impak tinggi, selain ternakan ikan hiasan dan rumpai laut," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Persatuan Peladang Negeri (PPN) Johor di Bakri, dekat sini malam tadi.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembelian Sarang Burung Walet antara dua PPN serta lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan Sialin Biotecnology Sdn. Bhd. untuk tujuan eksport ke China.

PPN dari Terengganu dan Sabah serta PPK dari Pagoh, Tanjung Karang (Selangor), Gua Musang (Kelantan), Manjung Selatan (Perak) dan Bandar Baru (Kedah) itu diwakili pengerusi masing-masing sementara syarikat tersebut diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Sia Swee Seng.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Arpan Shah Satu; Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Pengerusi PPK Bakri, Datuk Saipolbahari Suib dan dua wakil stesen televisyen dari China.

Noh berkata, Malaysia ketika ini masih merupakan pengeksport utama sarang burung walet ke China.

Ia suatu perkembangan yang memberi satu kelebihan negara namun pengusaha yang melibatkan diri perlu mematuhi tiga syarat yang ditetapkan.

"Pertama, mereka perlu mendapatkan sijil Pengenal Pasti Berfrekuensi Radio (RFID) yang didaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti di mana ternakan itu dilakukan dan kedua, memiliki sijil Tanda Kesihatan Veterinar (VHM) daripada Kementerian Kesihatan.

"Syarat ketiga pula memerlukan pengusaha mendapatkan sijil keselamatan makanan di bawah Akta Makanan yang juga di bawah kementerian yang sama," kata beliau sambil memberitahu syarat lain untuk mengeksport sarang burung itu ialah mempunyai rakan niaga di China.

Sebelum ini, orang ramai keliru dengan produk sarang burung walet yang dihasilkan di negara ini yang dikatakan tidak selamat dimakan terutama selepas China mengumumkan produk dari Malaysia mempunyai kandungan nitrat yang tinggi sehingga mengancam kesihatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan