Isnin, 9 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pegawai JHEAT Kemaman maut dalam nahas van terbabas

Posted: 09 Apr 2012 03:20 AM PDT

MARANG: Seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) maut manakala lima lagi rakan sekerja cedera setelah van yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kampung Alur Toman, di sini hari ini.

Nor Asma Abdullah, 43, Ketua Pembantu Hal Ehwal Islam di Unit Dakwah di JHEAT Kemaman, maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi ini.

Kemalangan itu berlaku ketika hujan lebat, mangsa dan lima lagi rakan sekerja yang berusia antara 30 hingga 50 tahun dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk menghadiri kursus selama sehari, kata Pegawai JHEAT Kemaman, Zulkefli Othman.

"Semasa kejadian mangsa dipercayai bersama empat lagi kakitangan wanita duduk di bahagian belakang dan akibat rempuhan yang kuat itu, mangsa tercampak keluar dan seorang lagi rakannya tersepit namun berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Kesemua yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, katanya. - Bernama




Mayat lelaki dengan kesan tikaman ditemui dalam longkang

Posted: 09 Apr 2012 03:16 AM PDT

NIBONG TEBAL: Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman dan luka di badannya ditemui dalam sebuah longkang di tapak pembinaan di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat dekat sini semalam.

Mayat M. Paranjothi, 30-an, yang bekerja di sebuah kedai pertukangan di Bukit Mertajam dekat sini, ditemui dalam longkang di tapak pembinaan berkenaan pada pukul 3.25 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang masih bujang dan berasal dari Yong Peng, Johor itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di kawasan tapak pembinaan berkenaan.

"Pekerja kontrak di tapak pembinaan itu kemudiannya menghubungi polis. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan berdasarkan laporan patologi mangsa dipercayai dibunuh enam jam sebelum ditemui," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Shafien berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian 04-5824222 atau mana-mana balai polis berdekatan. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan