Jumaat, 6 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


SJKC, SJKT tidak ditutup

Posted:

SJKC, SJKT tidak ditutup

SJKC, SJKT tidak ditutup

ALOR SETAR 5 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah bercadang menutup operasi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT) di negara ini seperti yang didakwa pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, SJKC dan SJKT adalah warisan negara dan kerajaan tidak pernah menafikan hak kaum Cina dan India untuk mendalami bahasa ibunda masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang mengamalkan sistem persekolahan seperti di Malaysia dalam memenuhi keperluan rakyat yang mahu anak-anak mereka faham bahasa ibunda masing-masing.

"Hanya di Malaysia ada sistem sekolah begini iaitu kita sediakan peluang pendidikan untuk memenuhi kehendak kaum-kaum utama di negara kita," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 warga pendidik SJKC dan SJKT di padang Sekolah Menengah Keat Hwa 2 di Kuala Kedah, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan waran peruntukan pembangunan bernilai RM14.42 juta kepada 89 SJKC dan 58 SJKT di Kedah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, rakyat berbilang kaum di negara ini tidak seharusnya terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan pembangkang yang menuduh kerajaan mahu menutup SJKC dan SJKT.

Menurutnya, beliau sebagai Menteri Pelajaran tidak mempunyai kuasa menutup SKJC dan SJKT malah perkara sebegitu tidak termaktub dalam Akta Pendidikan (1996).

"Jangan hanya kerana wajah saya seperti orang Melayu bermakna saya tidak ikhlas terhadap kaum Cina dan India.

"SJKC dan SKJT adalah lambang permuafakatan yang terjalin antara parti berbilang kaum di dalam Barisan Nasional (BN) dan penting bagi saya melihat SJKC dan SJKT terus wujud di negara ini," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak pernah menganaktirikan SJKC dan SJKT seperti yang didakwa pembangkang kononnya kerajaan hanya memberi perhatian kepada Sekolah Kebangsaan (SK).

Rakyat kita bukan suspek letupan bom di Haytai

Posted:

Rakyat kita bukan suspek letupan bom di Haytai

Rakyat kita bukan suspek letupan bom di Haytai

SUBANG JAYA 5 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada rakyat negara ini yang terlibat sebagai dalang dalam letupan bom di kompleks beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza, Hatyai, Thailand baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun (gambar) berkata, ia berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa negara itu.

Katanya, rakyat Malaysia hanya menjadi mangsa sehingga membawa kepada dua kematian dan kecederaan lain di kalangan mereka.

"Walaupun kejadian itu berlaku di Thailand, PDRM akan berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa negara jiran tersebut bagi mengelakkan kita menjadi sasaran.

"Ini termasuk melakukan kawalan dan pemantauan secara ketat di seluruh pintu masuk sempadan bagi mengelakkan kebarangkalian kumpulan pengganas memasuki negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menjalankan rondaan pencegahan jenayah sempena Program Komuniti Kepolisan di Subang Jaya, di sini hari ini.

Tambahnya, rakyat Malaysia turut dinasihatkan supaya tidak berkunjung ke negara jiran yang mengalami risiko pengeboman dan kegiatan pengganas.

"Kalau boleh elakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat yang dikenal pasti mempunyai tahap keselamatan yang berisiko tinggi mengalami serangan pengganas," katanya.

Sabtu lalu, negara dikejutkan dengan kejadian tiga letupan bom yang berlaku hanya selang beberapa minit di Yala, Thailand yang mengakibatkan 10 orang terbunuh manakala lebih 100 tercedera.

Kejadian seumpama itu turut berlaku di sebuah hotel terkemuka di Hatyai yang mengorbankan dua rakyat Malaysia iaitu Low Thian Hock, 46, dan Tan Peng Chan, 39, manakala 27 yang lain cedera.

Sementara itu, ditanya sama ada kejadian tujuh kes tembak yang berlaku di Kelantan sejak awal tahun ini mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas, beliau menafikan perkara tersebut.

"Walaupun Kelantan terletak berhampiran sempadan Thailand, namun, siasatan menunjukkan kes tembak yang berlaku tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas.

"Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand di dalam menangani kegiatan pengganas di dua buah negara," katanya.

Penjawat awam perlu profesional

Posted:

Penjawat awam perlu profesional

Penjawat awam perlu profesional

KUANTAN 5 April - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, setiap penjawat awam perlu beriltizam untuk membentuk akhlak dan peribadi baik serta mengamalkan daya kerja berkualiti bagi mengekalkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Baginda bertitah, untuk melihat negara ini terus maju, aman dan program-program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, ia memerlukan penggemblengan tenaga kerja seluruh penjawat awam di negara ini.

"Setiap penjawat awam perlu profesional serta menggunakan pendekatan terbaik ketika menjalankan apa saja urusan yang membabitkan rakyat.

"Jika mereka sama saja seperti sebelumnya tanpa ada penambahbaikan, tidak mustahil suatu hari nanti pihak atau organisasi lain akan mengambil alih peranan kita hari ini kerana kita tidak lagi relevan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Pahang serta Majlis Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, di sini malam tadi.

Sultan Ahmad Shah bertitah, hubungan baik antara penjawat awam dan ahli politik perlu diwujudkan agar matlamat memajukan negara dapat dicapai kerana melalui persefahaman kedua-dua pihak berkenaan banyak program negara dapat dilaksanakan.

"Bagaimanapun, setiap tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam tidak perlu dipolitikkan kerana ia akan menyusahkan rakyat serta melambatkan perancangan kerajaan," titah baginda.

Baginda juga bertitah, penjawat awam yang profesional tidak akan menyokong mana-mana parti politik sebaliknya hanya menjalankan tugas masing-masing berasaskan dasar yang telah ditetapkan.

"Oleh itu, setiap penjawat awam perlu komited dan mendokong aspirasi kerajaan hari ini," titah baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan