Selasa, 3 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Berganding bahu tangani jenayah

Posted:

Berganding bahu tangani jenayah

Berganding bahu tangani jenayah

Oleh ROKIAH ABDULLAHrokiah.abdullah@utusan.com.my.

IPOH 2 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperluaskan kerjasama bagi menangani jenayah secara lebih berkesan di sekitar bandar raya ini dengan mengadakan rondaan bersama.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof berkata, kerjasama strategik itu akan dilaksanakan di beberapa kawasan 'panas' yang telah dikenal pasti serta yang menjadi tumpuan awam.

Menurut beliau, melalui cara tersebut, sebarang kejadian jenayah dapat ditangani dengan lebih pantas dan efektif.

"Setakat ini, kita kedua-dua pihak sedang mengatur rancangan rondaan yang akan dibuat termasuk bagaimana ia akan dilaksanakan dan jadual rondaan anggota supaya lebih teratur.

"Pada masa sama kita tetap akan meneruskan rondaan bersama dengan Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bit Polis oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim kepada PDRM di kawasan Gerbang Malam, di sini hari ini.

Bit tersebut yang setinggi dua tingkat menempatkan pejabat di bahagian bawah dan menara tinjau di bahagian atas serta sebuah petak meletak kenderaan khusus untuk PDRM.

Zakaria berkata, pihaknya amat mengalukan-alukan kerjasama dan penglibatan pihak lain khususnya dari kalangan polis bantuan milik syarikat swasta, agensi atau jabatan untuk mengadakan rondaan di sekitar bandar raya ini dalam memastikan keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Roshidi berkata, pihaknya telah memperuntukkan RM33,000 untuk membina bit polis di kawasan Gerbang Malam tersebut bagi membantu polis mengurangkan kejadian jenayah di kawasan sekitar.

Menurut beliau, pembinaan bit polis tersebut juga secara tidak langsung mampu memberi keselesaan dan kemudahan kepada para pengunjung untuk membeli-belah di Gerbang Malam yang merupakan salah satu kawasan tarikan pelancongan utama di bandar raya Ipoh.

"Ini bit polis yang ketiga kita bina selepas Little India dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz. Antara lain pembinaannya bagi membantu bandar raya ini bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental serta penghuninya berada dalam keadaan sejahtera, sihat dan ceria.

"Bagi tahun ini, kita juga merancang pelbagai projek lain termasuk pemasangan cermin keselamatan dan papan tanda, pemasangan railing penghadang di pejalan kaki serta projek pencahayaan melalui peruntukkan RM2.1 juta yang diluluskan," katanya.

Lelaki miliki pedang, heroin ditahan

Posted:

Lelaki miliki pedang, heroin ditahan

Lelaki miliki pedang, heroin ditahan


SHAFIEN Mamat (duduk kiri) menunjukkan pedang dan senjata tajam yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.


NIBONG TEBAL 2 April - Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebilah pedang samurai dalam satu rondaan cegah jenayah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini malam semalam.

Suspek berusia 29 tahun yang memandu kereta Proton Wira berwarna hijau ditahan pukul 11.40 malam dan ketika diperiksa, polis menemui pedang, keris dan pisau lipat serta dua tiub serbuk putih dipercayai heroin di dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, suspek yang berasal dari Simpang Ampat memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Dia ditahan kerana memiliki senjata berbahaya dan dipercayai terlibat dalam kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar kawasan ini.

"Polis juga percaya suspek melakukan jenayah tersebut secara berkumpulan dan kita masih mengesan saki-baki kumpulan penjenayah itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Shafien, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Hakisan dan Senjata Berbahaya 1958 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Katanya, pihaknya memandang serius tindakan segelintir remaja yang membawa senjata berbahaya ketika keluar kerana ia boleh mendorong kepada kegiatan jenayah.

Polis pelancong terima 4 motosikal

Posted:

Polis pelancong terima 4 motosikal

Polis pelancong terima 4 motosikal

KUALA KANGSAR 2 April - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar hari ini menerima sumbangan empat buah motosikal daripada kerajaan negeri bagi kegunaan pasukan polis pelancong membuat rondaan di kawasan tersebut.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman pada program 'Moh Weh Ke Sayong' di Pesisiran Sayong, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad berkata, khidmat polis pelancong amat diperlukan kerana daerah ini dijangka menerima kedatangan ramai pelancong sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

"Memandangkan Kuala Kangsar semakin popular dan menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara, kewujudan polis pelancong di kawasan-kawasan tumpuan amat penting bagi menjamin keselamatan mereka.

"Saya amat menghargai kesudian kerajaan negeri menyumbangkan empat buah motosikal kepada pasukan polis pelancong di sini," katanya sempena program tersebut di sini.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memancing dan gasing, pameran dan demo kraftangan serta persembahan kebudayaan disediakan kepada para pelancong.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Supritendan Guan Beng Kang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan