Isnin, 2 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Taman Perindustrian di Gebeng

Posted:

Taman Perindustrian di Gebeng

Taman Perindustrian di Gebeng

Oleh Norainin Abd. Razak


Najib Tun Razak bersalaman dengan rakan sejawatnya, Wen Jiabao selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Malaysia-China di Qinzhou, Nanning, China, semalam. – BERNAMA


NANNING, China 1 April – China bersetuju untuk membangunkan taman perindustrian seluas 606 hektar di Gebeng, Kuantan secara usaha sama dengan kerajaan dan syarikat di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan yang menyamai model Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) Malaysia-China di sini itu akan dilaksanakan secepat mungkin untuk manfaat kedua-dua negara.

Katanya, pemilihan Gebeng adalah disebabkan kedudukannya berhampiran Pelabuhan Kuantan yang menghadap Laut China Selatan dan memudahkan hubungan dengan beberapa pelabuhan di China.

''Secara prinsipnya Perdana Menteri, Wen Jiabao telah bersetuju dengan projek ini dan kita sedang menggerakkan perinciannya dengan pihak yang bakal terlibat,'' katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Nanning di sini hari ini.

Menurut Najib, Tan Sri Ong Ka Ting yang dilantik Duta Khas beliau di China akan membincangkan perihal pembangunan taman perindustrian itu bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob.

Beliau turut melahirkan rasa bangganya kerana projek QIP Malaysia-China telah diangkat oleh Jiabao sebagai projek nasional yang diberi pelbagai insentif oleh kerajaan negara itu.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pecah tanah QIP di sini, Perdana Menteri mengajak pihak industri dan perniagaan di republik ini menyertai pembangunan taman perindustrian di Malaysia sebagaimana di China.

Katanya, model kerjasama dua hala QIP adalah yang pertama seumpamanya antara Malaysia-China, justeru kedua-dua negara komited memainkan peranan menyokong dan memudahkan penyertaan syarikat-syarikat ke dalam projek tersebut.

Katanya, taman perindustrian seluas 55 kilometer persegi akan dibangunkan menerusi tiga fasa dengan yang pertama seluas 7.8 kilometer bagi projek perumahan, perkilangan, perindustrian, pejabat dan komersial dijangka menarik pelaburan sebanyak AS$300 juta.

"Dari perspektif serantau, Qinzhou terletak di lokasi strategik di pertengahan Zon Ekonomi Teluk Beibu Guangxhi menghadap Asia Tenggara mengukuhkan lagi usaha kita untuk mempromosi integrasi serantau," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menekankan perihal hubungan Malaysia-China yang disifatkan pada paras paling kukuh berbanding sebelum ini.

Katanya, ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat di kedua-dua negara telah terbukti, malah hubungan politik yang sedia kukuh semakin erat dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Wen Jiabao dalam ucapan alu-aluannya, memuji kesungguhan Najib untuk menyaksikan satu lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Beliau turut mengimbau jalinan hubungan diplomatik Malaysia-China yang dicetuskan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kira-kira 38 tahun lalu dan kini diteruskan oleh Najib.

"Sikap saling mempercayai membolehkan kedua-dua negara menjalin hubungan untuk tempoh yang lama walaupun diuji dengan pelbagai krisis termasuk krisis kewangan yang hakikatnya telah mengeratkan lagi kerjasama untuk manfaat rakyat," katanya.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor diiringi delegasi Malaysia antara lain Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed serta Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting berada di sini untuk lawatan kerja sehari .

Mengenai pelawaan kepada pihak industri dan perniagaan untuk menjayakan projek seumpama itu di Malaysia, Najib berkata, ia membantu syarikat-syarikat dari China menyerlahkan pembabitan secara besar-besaran di Asia Tenggara dan membuka peluang kepada para usahawan dari kedua-dua negara mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, projek QIP Malaysia-China dicadangkan sendiri oleh rakan sejawatnya, Jiabao ketika berkunjung ke Kuala Lumpur April tahun lepas. – Utusan

Larangan eksport sarang burung dari Malaysia ditarik balik

Posted:

Larangan eksport sarang burung dari Malaysia ditarik balik

Larangan eksport sarang burung dari Malaysia ditarik balik

NANNING, China 1 April - Larangan eksport sarang burung dari Malaysia ke China ditarik balik dengan syarat kandungan nitrat produk tersebut mesti mematuhi piawaian tempatan iaitu tidak melebihi 30 bahagian per juta (ppm).

Kebenaran eksport sarang burung itu dinyatakan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan kerja sehari ke sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, surat pengesahan kebenaran eksport produk tersebut telah diperoleh dan pihak yang terlibat sedang mengusahakan protokol untuk pelaksanaan dasar baru itu.

''Perkara ini akan dimaklumkan kepada pengusaha-pengusaha dan sudah tentu ini dapat memberi hasil yang besar kepada pengusaha sarang burung di Malaysia,'' katanya.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Kerajaan China sebelum ini melarang eksport sarang burung dari Malaysia yang tidak memenuhi piawaian tempatan iaitu kandungan nitrat sifar ppm.

Pada sidang akhbar itu juga, Najib memberitahu, persetujuan kerajaan China untuk menimbangkan pemberian lesen operasi kepada AirAsia bagi menambah laluan ke Nanning.

Katanya, dalam pertemuan dengan Jiabao itu, beliau telah memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah memberi kelulusan kepada syarikat penerbangan itu untuk memulakan penerbangan ke Beijing dan Shanghai.

''Justeru, dengan pertimbangan dari pihak kerajaan China, maka AirAsia juga boleh menambah laluan ke Nanning,'' katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, adalah menjadi hasrat Jiabao untuk melihat hubungan pemimpin belia di antara kedua-dua negara dipereratkan.

''Dalam hal ini, saya telah maklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan mengetuai rombongan 100 pemimpin belia ke Beijing dua minggu lagi.

''Malaysia juga sedia menerima lawatan pemimpin belia dari China,'' katanya. - Utusan

Peruntukan RM3j buka ladang gaharu

Posted:

Peruntukan RM3j buka ladang gaharu

Peruntukan RM3j buka ladang gaharu

GUA MUSANG 1 April - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membuka ladang kayu gaharu di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang dalam masa terdekat ini, kata Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata, peruntukan permulaan itu diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengunjungi Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya Ahad lalu.

''Saya menemui Perdana Menteri sebelum saya datang ke majlis ini supaya apa yang saya cadangkan untuk membuka ladang kayu gaharu menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas majlis Penutup Kembara Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 2012, di Padang Awam Pos Brooke dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Mohd. Sani Mistam, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof dan Pegawai Pembangunan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhamad Shukri Ab. Aziz.

Tengku Razaleigh juga Ketua UMNO bahagian itu berkata, peruntukan berkenaan sebagai permulaan projek dan menyerahkan perkara itu kepada JAKOA untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi berkaitan.

Beliau menambah, JAKOA juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan tanah untuk tujuan itu. - BERNAMA

Tambahnya, ladang kayu gaharu belum dapat ditentukan keluasannya kerana masih dalam kajian bersama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Risda bagi menentukan lokasi terbaik berhampiran penempatan Orang Asli.

''Kita berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus hidup terpinggir disebabkan hilang punca pendapatan selepas hasil hutan pupus dengan kegiatan pembalakan dan pembukaan peladangan,'' katanya.

Beliau yakin apabila ladang itu menjadi kenyataan, ia mampu memberi pulangan hasil lumayan kepada setiap Orang Asli yang menjadi ahli koperasi yang akan ditubuhkan nanti dengan setiap orang diberi pemilikan satu saham.

"Kita sudah membuat penelitian mengenai perkara itu dan beberapa syarikat luar negara sudah menunjukkan minat untuk membeli kayu gaharu dengan tawaran harga yang tinggi," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan