Isnin, 2 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Atasi segera masalah bekalan air

Posted:

Atasi segera masalah bekalan air

Atasi segera masalah bekalan air

Oleh ABD RAZAK OSMAN
utusanutara@utusan.com.my


TAJUL Urus (kanan) melihat penduduk melakukan kerja membasuh dan mandi di paip air bomba di Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu, Sungai Petani, kelmarin.


SUNGAI PETANI 1 April - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu Fasa 2 di sini mendesak pihak kerajaan negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd segera menyelesaikan masalah bekalan air yang sering terputus di kawasan mereka sejak 10 Mac lalu.

Penduduk mendakwa, masalah tersebut menyebabkan pelbagai kesulitan dalam menguruskan kehidupan harian selain memaksa mereka bertindak membuka paip bomba di kawasan perumahan itu bagi mendapatkan bekalan air.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Hamid, 72, berkata, masalah bekalan air itu sering berlaku walaupun kerja-kerja membaiki telah dilakukan beberapa kali.

"Betapa susahnya penduduk bila berdepan dengan kes seperti ini, saya sendiri terpaksa menunggu hingga pukul 4.00 pagi hanya untuk mendapat air bagi keperluan rumah sendiri.

"Penduduk di Blok 18 hingga 22 di kawasan perumahan tersebut mengalami masalah paling teruk," katanya.

Penduduk lain Hisham Awang Bakar, 42, berkata, pihak terbabit terutama SADA seharusnya sering membuat pemantauan di kawasan itu.

"Sepatutnya pihak berkenaan ambil perhatian serius kerana bila tidak air di rumah, hendak mandi pun susah, apa lagi hendak basuh pakaian sekolah anak-anak," katanya.

K. Subramanian, 54, pula berkata, dia sedih bila melihat ada wanita yang berusia lebih 50 tahun terpaksa mengangkut air hingga berulang kali untuk kegunaan rumah sendiri.

"Kalau kes yang timbul ini dibaiki segera, penduduk tidak perlu lagi mengangkut air dari bawah kemudian bawa naik ke rumah masing-masing," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rozekna Hashim, 46, berkata, dia sendiri rasa hairan, kenapa pihak berkenaan enggan membaiki kerosakan pada bebola bahagian tangki yang selalu dilaporkan kerap hilang itu.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika membuat tinjauan ke situ hari ini berkata, pihaknya akan mendesak pihak berkenaan agar mempercepat kerja-kerja membaiki masalah dihadapi penduduk itu.

"Saya juga sedang bincang bagi pastikan pengurusan SADA segera hantar air ke rumah penduduk dengan menggunakan lori khas sebelum kes itu diselesaikan," katanya.

Tebatan banjir RM1 bilion bawa kesan besar

Posted:

Tebatan banjir RM1 bilion bawa kesan besar

Tebatan banjir RM1 bilion bawa kesan besar

KEPALA BATAS 1 April - Sikapnya yang peramah dan mudah mesra menjadikan Datuk Roslan Saidin, 48, mudah didampingi penduduk tidak kira muda atau tua.

Sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal pada 2004, pelbagai projek pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Menurut Roslan, antara projek yang memberi kesan besar di Pinang Tunggal adalah Rancangan Tebatan Banjir bernilai hampir RM1 bilion.

"Projek fasa pertama berjaya mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan Pinang Tunggal terutama di Kampung Tanjung Rambai membabitkan 200 penduduk.

"Projek ini memberi impak dalam mengatasi masalah tanaman ditenggelami banjir akibat limpahan air Sungai Muda," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Permatang Langsat di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, fasa kedua projek itu sedang dilaksanakan di Pantai Kamloon membabitkan Kampung Lahar Tiang, Pinang Tunggal Tepi Sungai, Permatang Saga, Bukit Sementol, Lembah Raja dan Ekor Kucing.

Bendahari UMNO Bahagian Kepala Batas itu ketika ditanya mengenai tohmahan pembangkang bahawa beliau mencuri wang rakyat menjelaskan, apa yang dinikmatinya sekarang adalah hasil usahanya dalam bidang perniagaan sebelum menjadi wakil rakyat.

"Saya ada perniagaan sendiri dan semua tohmahan itu adalah fitnah pembangkang," katanya.

Roslan berkata, sebagai wakil rakyat dia tidak mengabaikan keperluan rakyat berbanding Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Jelasnya, pembangunan yang dinikmati rakyat sekarang adalah hasil perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan semua itu tidak boleh dinafikan.

"Rakyat perlu sedar pakatan pembangkang tidak mampu mentadbir dengan baik kerana tidak mempunyai pengalaman berbanding BN yang terbukti merupakan pemerintah yang berkesan," ujarnya.

Selain itu, kemudahan keagamaan turut diberi perhatian dengan projek pembinaan Masjid Abdullah Fahim di Bertam Perdana bernilai RM25 juta dijangka siap tidak lama lagi dan akan memberi faedah kepada 7,000 penduduk.

"Tiga lagi masjid dalam proses untuk dibaik pulih membabitkan peruntukan RM3 juta di Permatang Setar, Paya Keladi dan Bumbung Lima yang sedang menunggu kelulusan Jabatan Perdana Menteri," kata Roslan.

Beliau berkata, bagi kemudahan sukan, kerajaan Persekutuan membina sebuah kompleks komuniti bernilai RM5 juta yang mempunyai kemudahan gelanggang futsal, badminton, sepaktakraw dan untuk kegiatan-kegiatan lain.

Bagi bidang pendidikan, antara kemudahan yang ada adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus cawangan Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kolej komuniti, sekolah menengah sains serta 22 sekolah rendah dan menengah.

Dari segi keselamatan, selain adanya Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, dua balai polis komuniti diwujudkan di Taman Bertam Perdana dan Bertam Putra.

Sebuah lagi balai polis baru Pinang Tunggal akan dibina tidak lama lagi di mana pengambilan tanah sudah dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagi memastikan keperluan perumahan rakyat, sebanyak 6,000 rumah dibina tidak termasuk 200 rumah mesra rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Untuk membantu rakyat terutama ibu tunggal, pihaknya menggalakkan penduduk memajukan industri kecil seperti perusahaan membuat kerepek pisang, memproses ayam, ternakan ikan keli, tilapia, kambing, lembu dan menyediakan Pusat Pengumpulan Ladang milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kampung Selamat.

"Projek industri kampung itu banyak membantu rakyat menambah pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Bagi projek kemudahan kesihatan, sebuah lagi Klinik 1Malaysia akan diwujudkan di Taman Bertam Putra tidak lama lagi manakala sebuah pusat kesihatan dibuka di Kampung Selamat.

Golongan muda diminta bantu perangi dadah

Posted:

Golongan muda diminta bantu perangi dadah

Golongan muda diminta bantu perangi dadah

ARAU 1 April - Kerajaan negeri meminta golongan muda supaya bersama-sama menggerakkan gelombang sukarelawan untuk memerangi dadah dari peringkat awal lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Md. Isa Sabu berkata, gerakan sukarelawan boleh dimulakan bagi aktiviti pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan terutama dari aspek mengesan penagih dadah.

"Menerusi gerakan ini kita akan dapat mengesan mereka yang ingin menjalani program rawatan dan pemulihan secara sukarela," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Yazid Mat pada pelancarkan Sambutan Peringatan Anti Dadah Kebangsaan 2010 di Dewan 1Malaysia, Simpang Empat di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis, Mashayani Md. Arif.

Md. Isa berkata, operasi pula boleh diselenggarakan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Imigresen, Bahagian Kawalan Filem, Jabatan Penjara dan jabatan-jabatan lain yang terlibat.

"Skuad 1Malaysia juga akan membantu usaha dan gerak kerja, pendidikan dan pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan AADK atau menjadi sukarelawan anti dadah berdasar kepakaran masing-masing," katanya.

Katanya, khidmat sukarelawan adalah aktiviti murni yang dijayakan oleh masyarakat di seluruh dunia.

"Ia melepasi sempadan budaya, agama dan status sosial serta konsepnya adalah kesedaran untuk membantu orang lain supaya kehidupan segenap lapisan masyarakat menjadi lebih sejahtera," katanya.

Jelas Md. Isa, semangat itu perlu diterapkan kepada masyarakat sama ada di bandar atau desa bagi mencapai misi negara bebas dadah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan