Isnin, 9 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


50 penduduk tagih janji baik pulih rumah rosak

Posted: 08 Apr 2012 11:09 AM PDT

SHAH ALAM: Lebih 50 penduduk Pangsapuri Teratai di Seksyen U16, Taman Bukit Subang, di sini, berkumpul sambil memegang sepanduk bagi mendesak kerajaan Selangor menunaikan janji membaik pulih kerosakan bumbung dan rumah akibat ribut Februari lalu.

Dalam perhimpunan aman jam 11 pagi itu, 30 keluarga berkenaan berkumpul untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap kerja membaik pulih kerosakan bumbung dan siling rumah mereka yang dilaksana syarikat kontraktor dilantik kerajaan negeri.


Penduduk mendakwa kerja membaik pulih kerosakan bumbung, siling dan bahagian dalaman rumah mereka dilakukan sambil lewa kerana masih terdapat kebocoran apabila hujan.

Selain itu, penduduk mendakwa hanya empat pangsapuri Teratai di blok dua yang dibaik pulih syarikat kontraktor manakala selebihnya blok satu belum dibaik pulih sepenuhnya.


Pada masa sama, penduduk mempersoalkan saluran dana bantuan RM480,000 diperuntukkan kerajaan Selangor seperti diumumkan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad pada 10 Februari lalu.


Menurut Penasihat pangsapuri Teratai blok satu dan dua, Ahmad Kortubi Masduki, kerja membaik pulih bumbung blok satu dan dua pangsapuri Teratai tidak memuaskan.

"Walaupun mereka kata sudah siap, tapi hanya beberapa rumah yang dibaiki selain rumah yang sudah dibaiki pula tidak sempurna.


"Ini menyedihkan sebab peruntukan banyak, kalau setakat RM40 atau RM400 mungkin munasabah dengan apa yang mereka buat. Oleh kerana peruntukan besar RM480,000, maka tidak munasabah apa yang mereka lakukan," katanya. Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Pejabat Daerah di Klang berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai masalah terbabit dan memberi jaminan segera menyemak dakwaan penduduk itu.

"Kalau betul ini berlaku, kontraktor yang buat kerja pembaikan ini perlu bertanggungjawab sebab bumbung baru diganti dan tidak sepatutnya rosak. "Pada kebiasaannya, kontraktor perlu bertanggungjawab dalam tempoh tertentu terhadap kerja dilakukan," katanya.




Koma tak bayar RM50,000

Posted: 08 Apr 2012 11:04 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga alat ganti kenderaan parah dan kini koma dipercayai dibelasah kumpulan along yang menculiknya Jumaat lalu, sebelum menelefon keluarga mangsa menuntut bayaran hutang RM50,000.

Lelaki berusia 54 tahun itu dilaporkan kritikal dipercayai kerana kecederaan dalaman akibat dibelasah dan dia kini dirawat di Unit Rawatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas keluarganya gagal membayar wang dituntut.


Mangsa yang menetap di Sungai Long, Kajang dan dikenali sebagai Lee tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja Jumaat lalu dan keluarga mangsa mendakwa ada individu yang menghubungi mereka meminta wang bagi bayaran hutang.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali ketika ditemui di PPUM berkata, mereka tidak mengetahui mangsa meminjam wang dengan mana-mana kumpulan along sehingga dihubungi individu tidak dikenali yang mengatakan mangsa kini dalam tahanan mereka kerana gagal membayar hutang.


"Pada hari kejadian, mangsa keluar bekerja jam 9 pagi, namun tidak pulang ke rumah seperti biasa pada waktu petang dan kami terkejut selepas menerima panggilan telefon jam 9 malam daripada seorang individu yang mengatakan mangsa mempunyai hutang RM50,000.


"Individu terbabit meminta kami membayar hutang mangsa, tetapi kami ragu kerana mangsa tidak memberitahu meminjam dengan along dan membuat laporan polis di Kajang," katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian mereka menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang wanita yang tidak dikenali memaklumkan mangsa dibelasah teruk dan sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.


Katanya, mangsa mempunyai tujuh anak perempuan dan semua ahli keluarga dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan