Jumaat, 6 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rahsia bil rendah

Posted: 05 Apr 2012 12:57 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tindakan pemilik sebuah bangunan perniagaan di Jalan Loke Yew, di sini, membuat penyambungan air haram sejak setahun lalu untuk menikmati bayaran bil rendah terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.

Serbuan mengejut itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) jam 2.30 petang.


Kegiatan haram itu menyebabkan Syabas menanggung kerugian RM376,898 sejak bangunan lima tingkat yang terdiri daripada pusat hiburan dan restoran menikmati bayaran bil air bulanan RM200 hingga RM300, Februari tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, pihaknya menyerbu premis terbabit hasil siasatan selepas menerima aduan orang awam berhubung penyambungan haram itu.


"Hasil siasatan mendapati terdapat penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis Poly berukuran 50 milimeter yang dibuat secara terus dari paip utama ke meter milik premis terbabit.


"Selain itu, pemeriksaan mendapati sumber air dari penyambungan itu disalurkan ke tangki simpanan air dalam premis terbabit," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama hasil ujian klorin mendapati bekalan air yang diambil secara haram adalah air terawat daripada Syabas dan tindakan pemotongan pada sambungan dilakukan dalam operasi terbabit.


"Syabas sudah mengeluarkan notis bagi menuntut rugi berjumlah RM378,898 yang termasuk kos operasi RM2,000 kepada pemilik akaun bekalan air bangunan terbabit yang didaftarkan di bawah sebuah syarikat," katanya.

Menurutnya, bacaan meter bangunan terbabit menurun mendadak bermula 26 Februari tahun lalu dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan masalah tekanan air rendah sehingga ada beberapa premis mengalami gangguan bekalan.


"Jika didapati bersalah, individu bertanggungjawab boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dengan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya.




Pemilik lapor kereta dicuri langgar peronda polis

Posted: 05 Apr 2012 12:55 PM PDT

KLANG: Polis sudah menerima laporan kecurian sebuah Proton Perdana berwarna perak yang terbabit melanggar kereta peronda polis selain cuba mengancam nyawa anggota polis berkenaan dalam kejadian di Lorong Raja Nala 6B, Kapar, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, pemilik kereta itu tampil membuat laporan jam 8 pagi semalam berhubung kenderaannya itu dicuri berhampiran Klang Sentral pada hari kejadian. Bagaimanapun, beliau berkata, identiti lelaki yang memiliki Proton Perdana itu belum boleh didedahkan untuk tidak mengganggu siasatan.


"Setakat ini, pemilik kereta berkenaan sudah dikenal pasti selepas dia tampil membuat laporan pagi tadi (semalam).

"Siasatan kini menjurus kepada mencari suspek iaitu seorang lelaki yang dipercayai terbabit mencuri kereta itu, malah cuba melanggar anggota kami.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki disyaki penjenayah bertindak nekad melanggar kereta peronda polis sebanyak tiga kali dalam cubaan melepaskan diri selepas dikejar dalam kejadian di Lorong Raja Nala 6B, Kapar, di sini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan