Sabtu, 7 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Orang Asli maut tertembak diri sendiri ketika memburu ayam hutan

Posted: 07 Apr 2012 12:36 AM PDT

PEKAN: Seorang Orang Asli maut akibat tertembak diri sendiri di perkampungan Orang Asli Air Hitam dekat Paloh Hinai di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu, mangsa Awang A/L Seman, 29, mati serta merta di tempat kejadian akibat parah di mata dan kepala.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman berkata difahamkan mangsa bersama isterinya yang berumur sekitar 50-an keluar berburu ayam hutan di hutan berhampiran dengan membawa sepucuk senapang patah.

"Dipercayai mangsa secara tergesa-gesa dan bergegas mencapai senjata api yang diletakkan di bakul motosikalnya setelah ternampak seekor ayam hutan melintas.


"Pada masa yang sama, senapang patah itu meletup secara tiba-tiba lalu mengenai mata kanannya sebelum dia rebah ke tanah," katanya hari ini.


Yahaya berkata mangsa yang cedera teruk di mata dan muka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum isterinya membuat laporan polis.

Beliau berkata polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan dan mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

"Siasatan awal mendapati senapang patah terbabit milik bapanya dan mangsa tidak memiliki lesen senjata api yang sah. Kita juga sedang siasat bagaimana senjata api tersebut berada dengan mangsa," katanya. - BERNAMA




Lapan penumpang cedera selepas bas terbabas di Jalan Tun Sambanthan

Posted: 07 Apr 2012 12:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Lapan penumpang bas komersil cedera ringan setelah kenderaan yang mereka naiki itu hilang kawalan lalu terbabas berhampiran lampu isyarat di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini hari ini.

Bas Sri Indah yang dalam perjalanan dari Kajang ke Pasar Seni di sini dikatakan hilang kawalan dalam kejadian kira-kira 8.10 pagi sebelum melanggar tiang lampu isyarat dan konkrit jejambat berdekatan.

Impak kemalangan itu mengakibatkan bahagian hadapan bas berkenaan remuk dan lapan penumpang, lima wanita dan tiga lelaki cedera ringan.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi Bernama hari ini berkata polis dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada kira-kira 8.15 pagi dan segera berada di tempat kejadian bagi mengawal lalu lintas.


Katanya pemandu bas berkenaan yang berusia 54 tahun tidak mengalami kecederaan dan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 47 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Lapan penumpang yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan