Jumaat, 6 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Empat lelaki bertopeng larikan tiga dulang barang kemas

Posted: 06 Apr 2012 05:33 AM PDT

KUALA SELANGOR: Empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang melarikan tiga dulang barang kemas dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Bandar Baru Ijok, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Muhd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, dua daripada lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam kedai itu dan memecahkan cermin pameran sebelum melarikan dulang emas berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan lelaki berkenaan melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna merah ke arah Kuala Lumpur.

"Ketika kejadian hanya pemilik kedai dan dua pekerja berada dalam premis itu. Dua lelaki terbabit memasuki premis, seorang mengawal di hadapan premis manakala seorang lagi bersedia di dalam kereta untuk melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Muhd Taib berkata, polis akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) dan kerugian masih belum ditaksirkan.


Seorang saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Siti berkata, beliau yang bekerja di kedai berhampiran terdengar bunyi ketukan kuat disusuli bunyi alat penggera dari kedai emas berkenaan.

"Keadaan menjadi kecoh dan orang ramai terpinga-pinga melihat pemilik kedai itu keluar dari arah belakang kedai dan menjerit meminta tolong," katanya. - Bernama




Tahanan kes rompak lolos dari Mahkamah Jalan Duta

Posted: 06 Apr 2012 03:27 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang tahanan yang dibawa ke Mahkamah Sesyen berhubung tuduhan rompakan berkumpulan, meloloskan diri daripada lokap tahanan sementara di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Mohd Radzuan Abdul Rahman, 33, melarikan diri pada 8.45 pagi dengan berpakaian baju-T berwarna kuning dan berseluar pendek ketika itu sedang dibawa bersama 50 tahanan lain dari Penjara Sungai Buloh untuk diserahkan kepada anggota polis di mahkamah itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata, ketika kejadian, Mohd Radzuan, yang berasal dari Jalan Klang Lama sedang berbual dengan rakan-rakannya sebelum bertindak membuka gari dan melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah.

"Pengawal keselamatan yang berada di hadapan mahkamah itu tidak sempat mengejarnya," katanya ketika dihubungi.


Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur kecuaian oleh pihak polis yang mengawal lelaki itu yang ditahan reman sejak 30 Jan lepas. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan