Isnin, 2 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Mayat anak kapal bot tunda yang karam ditemui

Posted: 02 Apr 2012 05:44 AM PDT

JOHOR BAHARU: Mayat anak kapal bot tunda yang karam di barat laut Tanjung Kapal, Pengerang dekat Kota Tinggi dua hari lepas, ditemui hari ini.

Mayat Syed Mohd Yazid, 20, ditemui oleh seorang nelayan kira-kira 0.5 batu nautika dari Tanjung Ayam, Pengerang kira-kira 1 petang tadi.

"Penemuan mayat oleh nelayan dari Sungai Rengit itu dimaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat sebelum diserahkan kepada APMM dan pasukan Bomba dan Penyelamat untuk dibawa ke Sungai Kapal," kata Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat disahkan keluarganya sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi.


Bot Marine 24 yang dinaiki Syed Mohd Yazid bersama keptennya yang dikenali

sebagai Zainal Abidin, 30-an dilaporkan karam selepas mengalami kebocoran, namun kaptennya dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai. - Bernama




Seorang lagi rakyat Malaysia disahkan maut dalam pengeboman di Hat Yai

Posted: 02 Apr 2012 05:42 AM PDT

HAT YAI: Seorang lagi rakyat Malaysia disahkan menjadi mangsa yang maut dalam kes pengeboman di sini menjadikan dua rakyat Malaysia maut dalam kejadian Sabtu lalu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata mangsa kedua maut dikenali sebagai Tan Peng Chan, 39, dari Kuala Kedah, yang sebelum ini merupakan mangsa gagal dikenal pasti mayatnya.

"Walaupun ujian DNA yang dijalankan untuk mengesahkan sama ada mayat yang tidak dapat dikenal pasti itu adalah mayat Tan hanya akan dikeluarkan petang esok atau Rabu, keluarga mangsa mengesahkan mayat itu adalah Tan.

"Ini adalah berdasarkan kepada cincin dan tatu pada mayat itu," katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.


Seorang lagi mangsa yang sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat kejadian pengeboman di sebuah hotel itu, dipercayai akibat letupan bom kereta, adalah Low Thian Hock, 46, yang berasal dari Kulim, Kedah.


Seramai lima lagi rakyat Malaysia masih menerima rawatan di tiga hospital. Di Hospital Songkhla Nagarind, mangsa berkenaan adalah Lew Kim Lai, 39, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Lim Hock Bee, 37, dan Wong Sze Ee, 32, dan Fook Hock Chuan, 33, manakala seorang lagi Choo Kok Boon, 46, menerima rawatan di Hospital Rajyindee. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan