Selasa, 10 April 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Humban dua anak hiperaktif

Posted: 09 Apr 2012 12:32 PM PDT

ULU TIRAM: Akibat tertekan dengan dua anaknya yang hiperaktif, seorang lelaki didakwa melepaskan geram dengan menghumban kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun itu umpama bola ke dinding sejak setahun lalu sebagai alasan mahu mendisiplinkan mereka.

Lebih mengecewakan, selepas dua kanak-kanak itu dihantar ke pusat perlindungan bermula pertengahan Januari lalu, lelaki berkenaan terus bertindak kejam dengan memukul isterinya dalam lebih 10 kejadian berasingan kerana melahirkan anak hiperaktif.

Mangsa keganasan rumah tangga, Vani, 32, berkata dia tidak sangka suaminya yang juga pemandu van dan bersikap penyayang sejak mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu, bertukar agresif dipercayai akibat ketagihan minuman keras.

Menurutnya, sejak setahun lalu, dua anaknya termasuk anak perempuan sulung, Anita, 9, dan anak lelaki, Jaya, 7, menjadi mangsa suaminya yang kerap menghukum mereka dengan memukul dan membaling mereka ke dinding.


Katanya, lebih membimbangkan, akibat perbuatan itu, kedua-dua anaknya cedera di beberapa anggota badan termasuk di wajah sehingga Anita menerima jahitan di bawah dagu pada awal Januari lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Dua beradik dicekup

Posted: 09 Apr 2012 12:22 PM PDT

KUCHING: Dua beradik yang menjadi buruan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota polis dibelasah ketika perlawanan Liga Super antara Sarawak menentang Kelantan di Stadium Negeri, Sabtu lalu, ditangkap di rumah mereka di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang berkata, suspek berusia 28 dan 30 tahun itu ditahan di rumah mereka pada jam 5 petang, selepas usaha mengesan mereka sebaik tamat perlawanan tidak berhasil.


Katanya, suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan bertindak ganas dengan memukul Lans Koperal Amzari Othman, 33, dari Balai Polis Sungai Maong, selepas diminta polis bersurai dari stadium.

"Suspek ditahan reman sehingga siasatan selesai dan baju yang dipakai ketika kejadian turut disimpan untuk dijadikan bahan bukti.


"Saya meminta penyokong Sarawak atau pelawat datang ke stadium menyaksikan perlawanan supaya tidak terlalu emosi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak diingini," katanya pada sidang media di Balai Polis Kota Sentosa, di sini, semalam.


Beliau berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 353, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam yang bertugas.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Dalam kejadian Sabtu lalu, dua anggota Polis Anti Rusuhan (Poru) yang cuba meleraikan kekecohan antara penyokong Sarawak dan Kelantan itu diserang dua penyokong yang bertindak ganas dengan menumbuk seorang daripada anggota polis terbabit sehingga pengsan.

Kekecohan bermula apabila sekumpulan penyokong kedua-dua pasukan bola sepak Sarawak dan Kelantan itu, saling mencemuh sebelum pergaduhan tercetus.


Mangsa dikejarkan dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut, sebelum dibenarkan pulang.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan