Isnin, 9 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Sokongan kaum Cina kepada BN meningkat

Posted: 09 Apr 2012 10:42 PM PDT

Nasional

NAJIB ketika  ditemuramah secara langsung pada program bual bicara berbahasa Mandarin ‘Chat Time With... Najib’ di NTV7, malam tadi.

NAJIB ketika ditemuramah secara langsung pada program bual bicara berbahasa Mandarin 'Chat Time With... Najib' di NTV7, malam tadi.

Kerajaan terus usaha dekati golongan atas pagar: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, meskipun sokongan yang diterima Barisan Nasional (BN) daripada masyarakat Cina masih rendah, ia tetap menunjukkan peningkatan yang memuaskan.

Perdana Menteri berkata, menerusi pelbagai usaha mendekati masyarakat yang dilaksanakan, sejak tiga tahun lalu, kepercayaan masyarakat Cina terhadap BN sebenarnya semakin meningkat dan bertambah baik. "Namun secara realiti masih ada kelompok yang agak ramai yang selalu disebut sebagai golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan (untuk memilih BN) dan sebab itu kita perlu melihat bagaimana kecenderungan mereka ketika pilihan raya.

"Walaupun ia masih rendah, tetapi aliran adalah ke arah peningkatan, saya percaya jika proses 'engagement' dijalankan berterusan dan pelaksanaan program kita dapat dirasai oleh sebahagian besar masyarakat, peratus itu boleh terus meningkat," katanya ketika ditemuramah secara langsung pada program bual bicara berbahasa Mandarin 'Chat Time With... Najib' di NTV7, malam tadi.

Program bual bicara selama satu setengah jam yang dikendalikan dua pengacara, Owen Yap dan Lee Siad Huey antara lain turut mengulas perkembangan dan pencapaian Najib selama tiga tahun memimpin negara khususnya dalam isu membabitkan masyarakat Cina di negara ini.

Najib berkata, dalam pada itu kerajaan juga terus berusaha memastikan perkembangan sistem pendidikan vernakular khususnya membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina terus diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan termasuk mengatasi kekurangan guru di sekolah itu dan isu mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh sekolah persendirian Cina.
Katanya, dalam konteks menerima kelayakan UEC itu, ada dua perkara pokok yang perlu dibincangkan terlebih dulu, iaitu mengenai kandungan kurikulum yang ada dalam peperiksaan berkenaan dan adakah melaluinya akan menjadikan pelajar lebih berjiwa Malaysia khususnya dalam konteks mahir dan fasih berbahasa Melayu.

Menjawab soalan mengenai dua parti komponen BN, iaitu MCA dan GERAKAN yang kini dilihat kurang menyerlah, Perdana Menteri berkata, perkara itu sebenarnya tidak ada kerana semua parti komponen memainkan peranan masing-masing.

Beliau berkata, persepsi itu berlaku disebabkan kurangnya bilangan kerusi yang diwakili parti berkenaan dalam kerajaan berbanding sebelum ini.

Najib turut mengulas beberapa isu lain yang menjadi persoalan orang ramai antaranya projek kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan; perkembangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) termasuk 22 usul Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya yang diterima Parlimen serta tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) mengadakan bantahan aman kali ketiga.

Caj masuk bandar atasi sesak

Posted: 09 Apr 2012 10:41 PM PDT

Nasional

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dijangka beban pengguna

GEORGETOWN: Warga Pulau Pinang terutama pemilik kenderaan dijangka dibebani pelbagai bayaran jika draf Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu, diluluskan.

Draf kajian yang akan dipamerkan dua minggu mulai 16 hingga 27 April ini, antara lain mencadangkan bayaran letak kereta sehingga RM5 sejam serta menaikkan bayaran tol dan tambang feri kepada RM15. Draf itu akan dipamerkan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

Orang ramai juga mungkin dikenakan bayaran masuk pusat bandar sehingga RM10, manakala kawasan lain RM5 serta bayaran mengikut jarak dilalui antara 25 hingga 50 sen sekilometer.

Cadangan kajian oleh Juru Perunding AJC Planning Consultant Sdn Bhd, David Turner, yang dilantik kerajaan DAP Pulau Pinang, dimaklumkan ketika pembentangan pelan induk itu pada Forum Perundingan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang di sini, semalam.

Turner berkata, cadangan itu antara opsyen dasar campur tangan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan.
Beliau mengakui langkah memperkenalkan bayaran kepada pengguna jalan raya adalah pendekatan tidak popular bagi ahli politik dan orang ramai.

"Jika pendekatan bayaran hendak diamalkan, bayaran untuk akses ke pusat bandar lebih berkesan dan dapat diterima daripada mengenakan bayaran ikut jarak.

"Ia juga boleh digunakan untuk menampung kos infrastruktur dan mengurangkan masalah yang dihadapi orang ramai," katanya.

Pelan induk itu turut mencadangkan opsyen pelaburan lebuh raya dan pelaburan pengangkutan awam sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan.

Antara cadangan opsyen pelaburan lebuh raya ialah membina Jalan Pintas Pulau Pinang, laluan menghubungkan Lebuh Raya Utara-Selatan serta membina laluan lintasan ketiga yang akan menghubungkan bahagian pulau dengan Seberang Prai.

Cadangan mengikut opsyen pelaburan pengangkutan awam pula ialah menambah bas, memperbaiki perkhidmatan teksi, menyediakan perkhidmatan trem, transit aliran ringan (LRT) dan rel komuter serta menaik taraf perkhidmatan feri.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan