Khamis, 5 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


BN serius, komited maju negara

Posted: 05 Apr 2012 05:09 PM PDT

Nasional

MUHYIDDIN berbual bersama wakil pertubuhan peniaga kecil dan pemandu teksi pada majlis perjumpaan di Padang Awam Taman Ria, Sungai Petani, semalam.

MUHYIDDIN berbual bersama wakil pertubuhan peniaga kecil dan pemandu teksi pada majlis perjumpaan di Padang Awam Taman Ria, Sungai Petani, semalam.

Muhyiddin mahu rakyat terus sokong kepemimpinan capai Wawasan 2020

SUNGAI PETANI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) serius dan komited menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan rakyat meningkat dua kali ganda kepada AS$19,000 atau hampir RM60,000 setahun pada 2020. Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat itu BN tidak akan membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan kos, sebaliknya memberi jaminan akan menunaikan janji yang dibuat.

"Kerajaan BN sentiasa memikirkan cara, usaha dan pelbagai bantuan bagi membantu rakyat, malahan Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak banyak menyentuh kepentingan rakyat. Dalam masa lapan tahun lagi, sasaran pendapatan mesti meningkat dua kali ganda," katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan peniaga kecil dan pemandu teksi di Kedah, di Padang Awam Taman Ria di sini, semalam.

Kira-kira 1,500 orang, termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah hadir.

Muhyiddin berkata, berbilion-bilion ringgit dikeluarkan sebagai pinjaman mudah kepada rakyat dan banyak lagi program sedang dirangka untuk membantu rakyat menjadi usahawan.

Beliau juga berkata, Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada lebih 40,000 pengusaha dan pemandu teksi seluruh negara dalam masa terdekat. Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan masing-masing RM120,000 kepada 12 persatuan pemandu teksi dan 12 persatuan peniaga kecil di Kedah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kewujudan Jawatankuasa Pemandu dan pelantikan semula dua bekas EXCO negeri yang sebelum ini menentang kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan memberi kesan buruk terhadap kelancaran pentadbiran negeri, terutama dalam aspek pembangunan dan ekonomi.

Katanya, krisis kepemimpinan dalam kerajaan PAS Kedah dijangka tidak akan berkesudahan, sebaliknya akan menjadi lebih rumit sehingga menyusahkan rakyat.

Beliau juga berkata, keputusan PAS Pusat mewujudkan Jawatankuasa Pemandu sebagai badan pemantau pentadbiran kerajaan negeri akan melambatkan proses pembangunan negeri apabila setiap keputusan dibuat Menteri Besar, termasuk apa yang dirasakan terbaik perlu dirujuk terlebih dulu sebelum diluluskan.

"Rakyat dan pelabur tidak akan percaya dengan pentadbiran begini kerana proses mendapat kelulusan akan lewat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di sini.

Dalam perjumpaan dengan lebih 10,000 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil di negeri ini, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah bercadang mahu menutup sekolah aliran berkenaan dan menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan.

Beliau juga mengumumkan bantuan RM14.4 juta untuk 89 SJKC dan 58 SJKT seluruh Kedah.

Ketika berucap dalam perjumpaan dengan nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Kedah, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menarik balik pembekuan lesen nelayan pesisir pantai (Zon A) yang dibuat lima tahun lalu bagi membolehkan nelayan tanpa lesen mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Katanya, mereka dibenarkan mendaftar perlu nelayan aktif dan mendapat pengesahan persatuan nelayan negeri di seluruh negara.

"Kita berharap dengan mengeluarkan semula lesen ini akan membantu nelayan meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

KR1M jimat belanja pelajar

Posted: 05 Apr 2012 05:07 PM PDT

Nasional

Penjualan produk bantu siswa UM rancang perbelanjaan secara bijak

KUALA LUMPUR: Penjualan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Pekan Siswa, Universiti Malaya (UM) berjaya membantu pelajar mengurangkan perbelanjaan harian terutama keperluan makanan dengan harga berpatutan. Selain itu, penjualan produk pertama beroperasi di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan dapat membantu pelajar merancang perbelanjaan secara bijak memandangkan kos sara diri meningkat di bandar raya.

Pelajar Fakulti Seni Persembahan, Ashari Sapar Mursalin, 24, berharap produk KR1M diperluaskan ke beberapa lokasi seperti di kolej kediaman penuntut memandangkan lokasi sekarang terletak jauh dari penempatan mereka.

"Saya mencadangkan KR1M ini turut ditempatkan di kolej kediaman pelajar kerana kami menetap di Kolej Tun Syed Zahiruddin (KK9) yang terletak di luar kampus induk.

"Jika kami ingin membeli produk ini, kami terpaksa menaiki motosikal atau menaiki bas. Secara tidak langsung, kami juga perlu mengeluarkan duit untuk kos pengangkutan," katanya yang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana.

Rakannya, Muhammad Gadaffie Sharani, 23, pula berkata, penjualan produk itu sememangnya membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah berjimat.
"Bagi pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN, perkhidmatan ini mampu mengurangkan perbelanjaan dan penjimatan ini dapat disalurkan ke perbelanjaan lain," katanya.

Bagi pelajar Indonesia, Rachmawati Muhammad Husni, 20, ini adalah salah satu usaha yang sangat memberangsangkan daripada kerajaan berbanding negaranya yang tidak menawarkan perkhidmatan sebegitu.

"Sebagai seorang perantauan, usaha ini sangat membantu saya untuk berbelanja secara berhemah kerana kos pengajian luar negara sememangnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Menarik mengenai penjualan produk ini, dengan hanya RM10, saya mampu membeli lima barangan yang berbeza. Ini sangat menjimatkan dan saya sangat menyokong KR1M ini," katanya yang sudah menetap selama dua tahun di Malaysia.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan