Sabtu, 7 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Anak ‘ditawan’ dalam rumah

Posted: 06 Apr 2012 11:28 AM PDT

KAJANG: Seorang wanita yang pulang ke rumah selepas berniaga tidak menyedari anak perempuannya yang ditinggalkan seorang diri ditahan lelaki bertopeng bersenjatakan parang lebih sejam selepas memecah masuk rumah mangsa di Taman Semarak, di sini, kelmarin.

Mangsa mengetahui kejadian itu selepas perasan kelibat seorang lelaki berbadan besar melintas di belakangnya ketika mahu membuka langsir dan tingkap sebaik pulang ke rumah, jam 1.30 tengah hari.


Menurut mangsa, Norhayati Manap, 47, dia kemudian mengintai ke bahagian dapur untuk mencari anaknya dan tiba-tiba diacukan parang oleh seorang lelaki yang memberi arahan supaya tidak membuat bising.

"Saya ingatkan anak membawa kawan sebaliknya belum sempat bertanyakannya, lelaki bertopeng itu sudah mengacukan parang ke leher saya.


"Melihat tindakannya itu, saya cuba melawan dan mempertahankan diri menyebabkan kedua-dua tapak tangan saya ditetak," katanya ketika ditemui, semalam.


Beliau berkata, dia menyedari cedera sebaik melihat darah membasahi baju dan menitis di lantai dapur selain terasa pedih di tapak tangan.

"Melihatkan keadaan saya yang lemah, lelaki itu melarikan diri menaiki motosikal bersama wang hasil perniagaan dan barang kemas yang disimpan dalam beg berniaga dianggarkan RM8,000," katanya.


Katanya, sebaik lelaki terbabit melarikan diri, dia menggagahkan diri membuka pintu menggunakan siku sebelum menjerit meminta tolong jiran.

Sementara itu, anak ketiga mangsa, Mastura Mohd Fadilah, 18, berkata, dia tidak menyedari kehadiran lelaki terbabit kerana berada dalam bilik air selepas selesai membersihkan rumah.


"Sebaik keluar dari bilik air, seorang lelaki bertopeng mengacukan dua parang di kiri dan kanan leher saya serta mengarahkan diam," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian itu.




Pemilik restoran tak hirau tembakan penyamun

Posted: 06 Apr 2012 11:25 AM PDT

MELAKA: Bagaikan aksi dalam filem apabila seorang pemilik restoran menggadai nyawa mengejar tiga penyamun walaupun dua das tembakan dilepaskan suspek terbabit selepas menyamun restorannya di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, J Suthagar, 25, bernasib baik apabila tembakan itu tidak mengenainya.


Menurut Suthagar, kejadian berlaku selepas tiga lelaki berusia 30-an hingga 40-an itu menghampirinya ketika dia berada di dapur dan seorang daripada mereka meragut rantainya. "Seorang lagi penjenayah melepaskan tembakan menggunakan pistol sebagai amaran. Seorang lagi pergi ke kaunter dan merampas wang RM3,000.

"Kumpulan terbabit melarikan diri dengan sebuah Proton Inspira warna perak menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM)," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Melaka, Superintendan R Gunarajan mengesahkan mengenai kejadian terbabit.


Katanya, siasatan awal mendapati seorang suspek yang bersenjata api itu dipercayai menggunakan peluru kapur kerana tiada kelongsong serta peluru ditemui di tempat kejadian.

"Semakan nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek juga didapati palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan Seksyen 397 kanun sama kerana rompakan bersenjata," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan