Isnin, 2 April 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Malaysia, China buka era baru

Posted: 01 Apr 2012 06:00 PM PDT

MukaDepan

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan rakan sejawatnya dari China
Wen Jiabao ketika mengadakan perbincangan dua hala antara Malaysia dan China, semalam.

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan rakan sejawatnya dari China Wen Jiabao ketika mengadakan perbincangan dua hala antara Malaysia dan China, semalam.

Pelancaran projek Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) lambang hubungan baik, beri manfaat jangka panjang

MALAYSIA dan China semalam membuka era baru kerjasama ekonomi kedua-dua negara dengan pelancaran projek Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) sebagai permulaan kepada lebih banyak kerjasama seumpamanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata projek yang menggabungkan sektor swasta dan awam kedua-dua negara itu bukan saja lambang hubungan baik malah akan memberi banyak manfaat dalam jangka panjang.

Kerajaan China iktiraf projek ini berstatus nasional, yang mana memperoleh pelbagai insentif yang biasa diberi pada projek bersifat nasional. - Najib Razak, Perdana Menteri

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia akan memberi keutamaan kepada projek ini dan memastikan syarikat yang mengendalikannya, iaitu Rimbunan Hijau dan SP Setia melaksanakannya bersungguh-sungguh supaya projek ini mencapai kejayaan sepenuhnya.

"Kerajaan China mengiktiraf projek ini berstatus nasional, yang mana memperoleh pelbagai insentif yang biasa diberikan kepada projek bersifat nasional.

"Mereka juga memberi komitmen tinggi apabila projek ini dilaksana dalam tempoh begitu singkat. Kita lihat perubahan besar berlaku di kawasan ini dan ini meyakinkan saya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

QIP membabitkan kawasan seluas 1.5 kilometer (km) persegi dengan pembangunan keseluruhan tiga fasa dan dijangka dikembangkan kepada 55km persegi yang mana mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan. Fasa pertama projek ini dijangka mampu menarik pelaburan AS$300 juta.
Katanya, model kerjasama pertama kedua-dua negara itu bukan saja membuka peluang kepada Malaysia-China, malah negara ASEAN untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti di kawasan perindustrian terbabit.

Kedudukan QIP China-Malaysia amat strategik kerana bersebelahan dengan Pelabuhan Bebas Qinzhou, yang mampu melengkapkan aktiviti perindustrian dan ekonominya.

Terdahulu ketika berucap selepas bersama-sama rakan sejawatannya Wen Jiabao melakukan upacara meletakkan batu asas sebelum menanam sebatang pokok sebagai tanda persahabatan yang semakin akrab di Qinzhou, kira-kira 150 kilometer dari sini, Najib berkata, projek ini kali pertama dicadangkan oleh Perdana Menteri China itu ketika melawat Kuala Lumpur April tahun lalu.

Beliau berkata, pepatah China ada mengatakan 'satu generasi menanam pokok, generasi lain mendapat tempat berteduh dan beliau yakin pembukaan QIP China-Malaysia membuka era kerjasama baru ekonomi antara kedua-dua negara yang mana generasi kemudian akan turut menikmati manfaatnya.

Najib berkata, hubungan Malaysia dan China juga semakin kukuh yang mana boleh dilihat menerusi ikatan kekeluargaan dan persahabatan komuniti China antara kedua-dua negara.

"Politik kami juga kukuh dan terus kukuh setiap hari. Dan secara ekonomiknya, kita sedang membina satu signifikasi peningkatan yang lebih luas dengan penambahan lima lingkungan perdagangan dua hala dalam jangka masa 10 tahun lalu dan China adalah rakan niaga Malaysia yang terbesar," katanya.

100 rakyat kita terkandas di Hatyai

Posted: 01 Apr 2012 11:30 AM PDT

MukaDepan

KACA bertaburan akibat letupan di hotel Lee Gardens Plaza, Hatyai.

KACA bertaburan akibat letupan di hotel Lee Gardens Plaza, Hatyai.

HATYAI (Thailand): Lebih 100 rakyat Malaysia terkandas di pekan pelancongan ini berikutan barangan peribadi yang masih berada di Hotel Plaza Lee Garden, yang menjadi sasaran bom kelmarin, selain kenderaan mereka 'ditahan' pihak berkuasa Thailand.

Difahamkan selain barangan berharga termasuk dokumen ditinggalkan di bilik hotel, ratusan kenderaan di tempat letak kereta aras bawah premis 33 tingkat itu turut ditahan pihak berkuasa atas alasan keselamatan. Keadaan itu menyebabkan ramai pelanggan termasuk rakyat Malaysia terpaksa terus berada di negara ini, yang dianggap menyukarkan terutama apabila kebanyakan mereka terpaksa kembali bekerja hari ini.

Sebaik pulang pada sebelah petang, kami dihalang daripada memasuki kawasan terbabit sehingga terpaksa berpindah ke hotel lain. Namun, barangan kami masih di sana. Justeru, saya harap pihak berkuasa Thailand dapat berbuat sesuatu untuk mengelak kami terutama rakyat Malaysia daripada terus menunggu. - Mustakim Omar, Usahawan dari Shah Alam

Pihak berkuasa Thai ketika ditemui berkata selain khuatir dengan struktur bangunan yang mungkin sudah terjejas akibat letupan, tindakan tidak membenarkan orang awam memasuki bangunan turut dibuat atas faktor keselamatan terutama bimbang berlaku letupan kali kedua.

"Kalau boleh kita mahu benarkan semua orang masuk ke hotel dan ambil barang masing-masing yang ditinggalkan ketika letupan.

"Kita sedar ratusan kenderaan ditinggalkan di ruang letak kereta bawah hotel, namun kita tidak dapat benarkan mereka masuk atas alasan keselamatan," katanya.

Seorang usahawan dari Shah Alam, Mustakim Omar, 55, ketika ditemui berkata pelbagai barangan peribadi miliknya dan keluarga gagal dituntut, walaupun selepas lebih 24 jam letupan berlaku.
"Saya menginap di tingkat 27 hotel terbabit dan ketika letupan, kami sekeluarga tiada di hotel kerana keluar atas urusan kerja.

"Sebaik pulang pada sebelah petang, kami dihalang daripada memasuki kawasan terbabit sehingga terpaksa berpindah ke hotel lain. Namun, barangan kami masih di sana.

"Justeru, saya harap pihak berkuasa Thailand dapat berbuat sesuatu untuk mengelak kami terutama rakyat Malaysia daripada terus menunggu.

"Saya adalah antara lebih 100 rakyat Malaysia yang menunggu di hadapan hotel bermula jam 8 pagi untuk menuntut barangan peribadi yang ditinggalkan," katanya.

Namun, sehingga jam 3 petang semalam, majoriti mereka masih hampa menyebabkan ramai terpaksa terus bermalam di pekan ini kerana bukan saja dokumen peribadi seperti pasport yang ditinggalkan di hotel, malah kenderaan milik mereka juga turut terkandas.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Songkhla ketika dihubungi, berkata pihaknya akan berusaha mempermudahkan urusan terbabit.

Lagi berita berserta gambar kejadian letupan bom di Hatyai, dapatkah akhbar Berita Harian hari ini

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Aliah Ali

Home sweet home, Malaysia negara ku yang aman damai dan makmur,Alhamdulillah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan