Isnin, 4 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Polemik tanah NCR

Posted:

Polemik tanah NCR

Polemik tanah NCR

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my

DIPERCAYAI salah satu isu yang akan dimuatkan dalam Manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ialah penjelasan dan komitmen parti pemerintah itu dalam menyelesaikan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Manifesto ringkas dan padat yang bakal dilancarkan sehari dua ini akan memberi input serba sedikit tentang inisiatif kerajaan negeri membabitkan tanah yang wujud berdasarkan adat pelbagai etnik itu. Selebihnya bergantung kepada bagaimana calon-calon BN mampu menjelaskannya kepada rakyat.

Tanah NCR diteroka masyarakat Bumiputera sejak kedatangan Rajah Brooke lagi. Ia diusahakan masyarakat Bumiputera untuk tujuan penempatan dan pertanian sejak penguasaan British di negeri itu.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sajeli Kipli, masalah timbul apabila ada penduduk mendakwa tanah di kawasan lain yang hakikatnya tidak diterokai untuk tujuan penempatan dan pertanian serta tidak diselenggara adalah Tanah NCR milik mereka.

Tanah yang dikategorikan milik kerajaan negeri didakwa sebagai tanah NCR milik mereka dan menuduh kerajaan negeri merampasnya apabila dimajukan.

Ini meliputi sama ada untuk pembinaan perumahan atau diserahkan kepada syarikat swasta bagi pelbagai tujuan termasuk pembangunan.

Justeru, untuk mengelakkan pertelingkahan di antara suku kaum, setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan status tanah NCR, maka Jabatan Tanah dan Survei negeri akan membuat kerja ukur atau menyukat.

"Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf tanah NCR tetapi ada orang kata kita tidak berbuat demikian. Namun, orang yang mahukan status itu harus membuktikan dia membuka kawasan pertanian atau penempatan dan menjaga penyelenggaraan kawasan itu," kata Sajeli.

Setakat ini kerajaan BN Sarawak mengeluarkan 195,986 geran tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak dan 2,557 lot telah diwartakan sebagai tanah untuk kegunaan bersama bagi pelbagai tujuan di bawah Seksyen 6.

Hakikatnya, BN komited untuk melaksanakan pendaftaran 1.5 juta hektar tanah tersebut ke dalam sisten pendaftaran tanah. Dikatakan pengukuran keliling Tanah NCR akan terus dijalankan dalam membendung seterusnya mengatasi kekhuatiran pemilik tanah adat terhadap tanah masing-masing.

Di bawah konsep baru pembangunan Tanah NCR, hampir 500,000 hektar tanah di seluruh kawasan diluluskan setakat ini dengan pesertanya melangkaui 16,000 orang (pemilik tanah).

Sejumlah lebih 20,000 hektar tanah juga berjaya disukat meliputi seluas 28 kawasan manakala sejumlah 234,142 hektar lagi melibatkan 107 kawasan akan disukat tahun ini. Malah penyukatan lebih banyak tanah NCR akan dilakukan di bawah inisiatif baru nanti.

Kerana itu, Sajeli meminta rakyat Sarawak sentiasa berwaspada dengan dakyah yang cuba dilemparkan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri kononnya telah merampas tanah. Ini lebih-lebih lagi apabila diuar-uarkan bahawa terdapat lebih 200 kes tanah adat yang sudah dikemukakan di mahkamah, namun masih tertangguh sehingga hari ini.

Apatah lagi isu Tanah NCR ini paling mudah 'digula-gulakan' di kawasan pedalaman Sarawak dengan banyak kerusi di kawasan tersebut mewakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kesemuanya.

Dalam hubungan ini, Sajeli menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh mengambil Tanah NCR begitu sahaja. Tanah NCR terpaksa diambil hanya untuk melaksanakan projek kerajaan seperti hospital, sekolah, jambatan dan seumpamanya untuk kegunaaan masyarakat awam.

Jika disahkan itu tanah NCR, maka kerajaan wajib membayar ganti rugi yang berpatutan berdasarkan nilai semasa pasaran tanah. Perkara ini terkandung dalam Seksyen 13 Perlembagaan.

Dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, Tanah NCR yang diambil untuk tujuan itu dilakukan mengikut Seksyen 47. Bagaimanapun, daripada 569,004 hektar Tanah NCR yang ada geran, cuma 0.84 peratus yang diambil kerajaan negeri di bawah Seksyen 47. Ia tidak sampai satu peratus pun.

Bukan sahaja kerajaan negeri Sarawak komited untuk menyelesaikan isu Tanah NCR ini, malah Kerajaan Pusat diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyediakan peruntukan khusus untuk perkara ini mengikut Inisiatif Baru Tanah NCR.

Pada tahun lepas, sebanyak RM20 juta diberikan Kerajaan Pusat dan untuk tahun ini pula sebanyak RM30 juta lagi.

Ironinya dalam soal tanah, bukan sahaja Tanah NCR dijamin haknya oleh kerajaan negeri malah jika diamati tanah Sarawak yang berkeluasan 12.4 juta hektar masih dilitupi hutan dan 14 peratus lagi dilitupi hutan sekunder. Selebihnya pula digunakan untuk pertanian, penempatan dan sungai.

Itu tidak termasuk komitmen kerajaan negeri menawarkan kadar pembaharuan surat hak milik tanah kediaman dan premis perniagaan lebih rendah untuk tempoh 60 tahun.

Sedangkan di Selangor dan Pulau Pinang, pengiraan premium adalah berdasarkan kepada tanah yang mempunyai tempoh berbaki setahun.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pendidikan diiktiraf dunia

Posted:

Pendidikan diiktiraf dunia

Pendidikan diiktiraf dunia

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BANYAK kejayaan telah dicatatkan dalam sistem pendidikan negara sejak 50 tahun lalu dengan kadar celik huruf di kalangan dewasa kini mencecah 92 peratus.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga melaporkan antara 2006 hingga 2008, Malaysia berada di tangga keenam dan telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi peratusan kemasukan murid prasekolah.

Bagaimanapun, perbandingan dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan penurunan hasil pendidikan pelajar Malaysia. Sekitar 20 peratus daripada mereka gagal mencapai garis minimum Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) pada 2007 berbanding hanya lima peratus pada 2003.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama sekali bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil pendidikan yang melibatkan masa depan generasi muda dan pewaris negara.

Antara inisiatif yang diambil di bawah NKRA ini adalah menyediakan bantuan yuran berjumlah RM10.3 juta untuk 24,179 murid prasekolah dari keluarga berpendapatan rendah yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih.

Bantuan itu untuk yuran di bawah RM150 sebulan di 611 prasekolah swasta sementara kelas prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) disediakan secara percuma.

Saringan Celik Huruf dan Nombor (LINUS) tiga peringkat turut dijalankan ke atas 450,000 murid darjah satu seluruh negara sementara 15,500 guru LINUS turut dilatih untuk kelas pemulihan kanak-kanak yang ketingglan.

Aplikasi LINUS yang bermula pada 2010 ini disasarkan untuk melonjakkan kadar celik huruf dan nombor murid darjah satu kepada 100 peratus menjelang 2012.

Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (HPS) turut dilaksanakan dengan 20 sekolah dipilih untuk 2010 dengan sasaran 100 HPS menjelang 2012 (30 sekolah 2011 dan 50 sekolah 2012).

Inisiatif anugerah Tawaran Baru juga digerakkan untuk dua peratus Pengetua dan Guru Besar sekolah terbaik dengan insentif tunai RM7,500 sementara lima peratus guru terbaik sekolah sama menerima RM1,800 dan bakinya RM900 setiap seorang.

Selain itu, Program Kemajuan Sekolah (SIP) dilaksanakan untuk menjadikan setiap sekolah dalam sistem pendidikan negara sebagai institusi pendidikan cemerlang dengan mencabar, mendorong dan menyokong antara satu sama lain terutamanya untuk sekolah di luar bandar.

Akhir sekali, inisiatif Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir iaitu sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di bawah Khazanah Nasional Berhad dilancarkan melalui gabungan usahasama sektor swasta dan awam.

Sekolah Amanah mengekalkan status awamnya dan menerima peruntukan dari kerajaan tetapi pengurusan sekolah akan diletakkan di bawah rakan swasta yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 untuk NKRA ini mengingatkan pihak kementerian agar tidak terikat kepada 'pendidikan mengikut peperiksaan'.

Peringatan itu demi mengelakkan pendidikan di sekolah bertumpu kepada menghafal semata-mata dan mungkin akan menggagalkan sasaran memupuk bakat pelajar berkualiti tinggi yang kreatif dan analitis.

Tokoh pendidikan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut menyokong peringatan itu kerana bimbang tumpuan masih kepada peperiksaan dan perangkaan untuk mengukur prestasi dan potensi pelajar.

"Kita tidak mahu pelajar hanya mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang tetapi akhirnya gagal menyesuaikan diri dan menyumbang kepada kerjaya, masyarakat dan negara.

"Masalah pekerja kerap melompat tempat kerja kerana mahu kerja senang juga bermula di sekolah. Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada belum cukup memuaskan selagi tidak membantu murid menjadi manusia sempurna selepas dewasa kelak," katanya.

Beliau turut mencadangkan beberapa ciri positif sistem pendidikan lama sekitar 1960-an wajar dinilai semula untuk diserap kembali ke dalam sistem pendidikan terkini.

Selain itu, NKRA ini turut menerima pujian ahli jawatankuasa tersebut yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman yang percaya usaha dan inisiatif yang diambil wajar menerima pengiktirafan antarabangsa.

Beliau turut mencadangkan pertubuhan pendidikan antarabangsa dijemput ke negara ini untuk menilai dan membuat ulasan perkembangan semasa NKRA ini.

"Walaupun banyak amalan terbaik yang boleh saya kongsikan, saya lebih suka melihat Malaysia meneruskan pendekatan di luar kelaziman ini. Jika berjaya, maka pihak lain pasti akan mengikut jejak anda," jelasya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan