Sabtu, 23 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


SAM gesa Putrajaya batal terus loji Lynas

Posted: 23 Apr 2011 12:50 AM PDT

KUALA LUMPUR, 23 April — Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa Putrajaya agar membatalkan terus projek loji nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan bagi mengelak nasib Bukit Merah, Ipoh dua dekad lalu berulang.

"Putrajaya sudah terbukti salah di Bukit Merah dan ia telah memberikan kesan besar kepada masyarakat di kawasan itu selain turut menghidapi penyakit ekoran terdedah kepada radiasi.

"Kami tidak mahu satu lagi insiden sama berlaku. Kami menggesa Putrajaya membatalkan projek Lynas Corporation di Gebeng," kata Presiden SAM, S. M. Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, masyarakat yang tinggal di Gebeng akan menerima kesan yang sama seperti di Bukit Merah ekoran terdedah kepada kadar radiasi yang boleh menjejaskan tahap keselamatan mereka.

"Mengikut pengalaman kami yang telah mengendalikan kes nadir bumi di Bukit Merah menunjukkan pakar-pakar yang diambil Putrajaya dan syarikat itu telah memastikan semua aspek keselamatan diambil kira.

"Bagaimanapun pakar-pakar yang dilantik masyarakat mendapati ia tidak selamat dan merekodkan bacaan sinaran radioaktif yang tinggi di kawasan itu.

"Justeru masyarakat di Gebeng yang sudah terdedah kepada radiasi akan berhadapan dengan risiko lebih besar sekiranya projek ini diteruskan," katanya.

Lynas Corporation, sebuah syarikat dari Australia dijangka memulakan operasi loji pembersihan nadir bumi di Gebeng ini - yang mana proses pembinaan loji memprosesan sedang dibina.

Tindakan Putrajaya mahu membina kilang nadir bumi di Gebeng mendapat tentangan banyak pihak.

Mengulas cadangan Putrajaya mahu mewujudkan satu panel bebas mengkaji tahap keselamatan projek nadir bumi (gambar) itu, Mohamed berkata ia hanya untuk mententeramkan kebimbangan masyarakat yang tinggal di kawasan itu.

Tambah Mohamed, hasil kajian itu perlu diumumkan secara terbuka kepada masyarakat setempat agar mereka boleh membuat penilaian berhubung status projek nadir bumi itu.

"Kami rasa kajian ini adalah satu lakonan untuk mengurangkan desakan rakyat. Kenapa tidak hentikan sahaja projek ini?

"Kenapa perlu adakan projek yang tidak selamat ini? Adakah pelaburan asing tidak mengambil kira aspek kesihatan rakyat dan penerimaan mereka?" kata beliau sambil menambah, "sudah tentu, aspek kesihatan dan keselamatan dan persekiran harus diambil kira termasuk dalam projek komersial."

Kata beliau, masyarakat sekitar Kuantan dan Gebeng mempunyai hak untuk mengetahui individu yang akan membuat kajian tersebut.

"Kami mahu menentukan objektif kajian itu dan apa impaknya dan hasil kajian juga harus diumumkan secara terus kepada masyarakat agar mereka boleh buat penilaian," katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

"Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dan lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai," katanya.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

9 pelajar UPM layak dibuang kolej, didakwa ‘dendam’ pemilihan kampus

Posted: 23 Apr 2011 12:37 AM PDT

KUALA LUMPUR, 23 April — Kepimpinan Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) mempersoalkan tindakan pengurusan pusat pengajian tinggi itu menyingkirkan sembilan mahasiswa dari Kolej Kedua walaupun memenuhi merit minumum untuk terus tinggal pada semester akan datang.

Menurut jurucakapnya Siti Zulaikha Rusmadi, kesemua mahasiswa yang disingkirkan dari kolej kediaman Kolej Kedua adalah seramai 40 orang termasuk sembilan mahasiswa yang dibuang tanpa sebab munasabah.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan penyingkiran itu dibuat ekoran keputusan pemilihan kampus Februari lalu.

"Mungkin juga ada kena mengena dengan pemilihan kampus sebab ada mahasiswa yang dibuang ini adalah ahli Pro-Mahasiswa dan mempunyai jawatan.

"Semua mahasiswa yang disingkirkan adalah 40 orang tapi apa yang kita persoalkan adalah sembilan orang yang disingkirkan tanpa diberikan sebab-sebab yang munasabah sedangkan mereka memenuhi merit minimum 60 mata untuk terus menghuni kolej kediaman.

"Seramai 31 mahasiswa memang tak cukup merit tapi yang sembilan lagi cukup. Atas sebab apa mereka disingkirkan daripada tinggal di kolej kediaman?" kata Siti Zulaikha.

Tambah Siti Zulaikha, daripada sembilan mahasiswa terdapat ahli Pro-Mahasiswa yang turut disingkirkan tanpa memberikan sebarang sebab walaupun mempunyai merit yang cukup untuk terus kekal di kediaman kolej itu.

"Ada ahli Pro-Mahasiswa yang disingkirkan walaupun mempunyai merit 142 mata dan ada yang mendapat 100 mata.

"Tapi apa yang mengejutkan pengurusan UPM ada menawarkan kediaman dalam universiti kepada ahli Pro-Aspirasi yang hanya mendapat 52 mata," katanya.

Tegas beliau, langkah UPM menyingkirkan sembilan mahasiswa itu tidak wajar kerana kediaman kolej itu masih boleh menampung jumlah penghuninya.

Justeru kata Siti Zulaikha, pihaknya menuntut penjelasan daripada pengurusan UPM supaya memberikan alasan berhubung tindakan yang dibuat itu.

"Kami mahukan penjelasan kenapa sembilan mahasiswa ini dibuang dari kolej kediaman... apa yang kita dapat, tiada sebab yang diberikan.

"Sebab itu kita tetap mahukan penjelasan itu," katanya.

Kesemua mahasiswa itu tidak dibenarkan menetap di kolej kediaman UPM bermula semester depan.

Pada pilihan raya kampus UPM, kumpulan Pro-Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro-Mahasiswa.

Pro-Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro-Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan