Rabu, 4 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Kerja amal IKM Alor Setar

Posted:

Kerja amal IKM Alor Setar

Kerja amal IKM Alor Setar

Oleh SAHBULAH DARWI
utusankedah@utusan.com.my


SEBAHAGIAN pelajar dan kakitangan IKM membaiki rumah golongan miskin sempena program Hati Emas Kemahiran Mara di Kampung Keda, Derang, Pokok Sena, baru-baru ini.


ALOR SETAR 3 April - Seramai 38 pelajar dan 12 kakitangan Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar 'turun padang' menabur bakti kepada masyarakat apabila membaik pulih tujuh rumah penduduk yang rosak dan daif di Kampung Keda, Derang, Pokok Sena dekat sini, baru-baru ini.

Pegawai Unit Media IKM Alor Setar, Saniaa Ahmat berkata, kerja-kerja membaik pulih itu adalah sempena program Hati Emas Kemahiran Mara yang diadakan selama enam hari bagi membantu meningkatkan tahap keselesaan penduduk terbabit.

"Program ini berjaya mencapai objektifnya untuk memberi pendedahan dan meningkatkan kemahiran pelajar melalui situasi sebenar, membantu membaik pulih rumah golongan miskin dan memupuk nilai kerjasama serta prihatin terhadap masyarakat," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, para pelajar juga dapat melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat selain melihat sendiri kesusahan masyarakat di peringkat akar umbi dan luar bandar.

"Ini adalah sumbangan para pelajar dalam bentuk kemahiran dengan bantuan tenaga pengajar agar para pelajar menjadi insan penyayang dan berbakti kepada masyarakat," jelasnya.

Beliau berkata, selain itu, program itu juga memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan pendidikan teknikal dan mempromosikan kursus-kursus kemahiran di IKM kepada golongan pelajar lepasan sekolah menengah di luar bandar bagi menghadapi saingan dalam pasaran pekerjaan.

Fotografi UUM tonjol kehebatan peserta

Posted:

Fotografi UUM tonjol kehebatan peserta

Fotografi UUM tonjol kehebatan peserta


SYAMSUL Anuar Ismail (tengah) mengambil gambar sambil disaksikan oleh kakitangan dan pelajar Pusat Kokurikulum UUM di Sintok, baru-baru ini.


KUBANG PASU 3 April - Seramai 40 pelajar dan kakitangan Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai pertandingan fotografi bertemakan Wajah-Wajah Sintok sempena Hari Kokurikulum Edisi Ke-5 pusat berkenaan di sini, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Syamsul Anuar Ismail berkata, sambutan yang amat menggalakkan itu menunjukkan para pelajar terlibat bukan sahaja mampu menggunakan ilmu yang diajar di kelas, tetapi juga mengaplikasikannya dengan menganjurkan pertandingan tersebut.

"Pengabadian gambar melalui lensa kamera mengikut kreativiti ternyata menjadi tarikan utama kerana menghasilkan gambar yang terbaik memerlukan kesabaran dan kreativiti," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Syamsul Anuar berkata, gambar-gambar yang dihasilkan para pelajar didapati amat menarik, kreatif, simbolik dan berjaya memaparkan wajah serta keindahan UUM dengan berkesan.

Sebagai universiti pengurusan, katanya, pertandingan tersebut juga berjaya memupuk minat dan kemahiran para pelajar menganjurkan pelbagai program seperti pertandingan, seminar, bengkel, forum dan lain-lain.

Pengerusi pertandingan, Muhammad Zaid Adha Wai berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada para penggemar fotografi di pusat tersebut manakala lokasi untuk gambar dihasilkan adalah di sekitar kampus berkenaan.

Menurutnya, sambutan dianggap menggalakkan kerana pihaknya hanya mensasarkan 30 penyertaan sahaja.

Katanya, pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM150 dan hamper; tempat kedua (RM100 dan hamper); tempat ketiga (RM50 dan hamper) dan tempat keempat hingga ke-27 menerima saguhati.

"Para pemenang akan diumumkan pada minggu depan apabila kelas bermula," katanya.

47 pelajar KKTM Balik Pulau catat rekod

Posted:

47 pelajar KKTM Balik Pulau catat rekod

47 pelajar KKTM Balik Pulau catat rekod


Para pelajar KKTM gembira setelah hasil kreativiti mereka mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records di Balik Pulau, baru-baru ini.


BALIK PULAU 3 April - Seramai 47 pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di sini berjaya mencipta logo terbesar menggunakan rantai kunci. Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka diiktiraf oleh Malaysia Book of Record (MBR).

Ketua projeknya, Syed Mohammad Saiful Syed Tajur Azinan berkata, dua kumpulan pelajar daripada Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Produk) dan Kejuruteraan Pembuatan (Acuan) telah berganding bahu merealisasikan impian itu.

"Proses yang paling sukar adalah sewaktu hendak menyiapkan lakaran logo besar yang memaparkan logo Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Bayangkan kami semua menghabiskan masa selama lebih 12 jam bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam untuk menyiapkannya kerana ia perlu dilakar dengan teliti," katanya selepas majlis pengiktirafan oleh MBR di kolej itu, baru-baru ini.

Syed Mohammad Saiful berkata, selain mahu mencabar keupayaan diri mereka, usaha tersebut juga membuktikan bahawa proses pengajaran yang diterima membolehkan mereka menterjemahkannya kepada idea kreatif.

"Kami turut mencipta sendiri rantai kunci yang digunakan untuk menyusun menjadi logo sepanjang 9.75 meter dan selebar 12.2 meter.

"Tempoh masa yang diperlukan untuk menyusun kesemua rantai kunci itu adalah selama tiga jam," ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Mara), Abdul Rahim Abdul Ghani dan Pengarah KKTM Balik Pulau, Rosminah Mohd. Hussin dan wakil MBR Leona Paul.

Sementara itu, Rosminah berkata, tiada sebarang peruntukkan khas diberikan pihak kolej untuk membuat logo gergasi tersebut sebaliknya mereka menggunakan bahan-bahan kitar semula yang diperoleh daripada proses pembelajaran.

"Selain itu, rantai kunci yang dicipta oleh pelajar ini juga mampu dijadikan sumber pendapatan apabila ia boleh dijual sebagai cenderahati dan diberi kepada tetamu yang berkunjung ke sini," katanya yang berbangga dengan usaha pelajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan