Selasa, 3 April 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Peniaga tanggung derita

Posted:

Peniaga tanggung derita

Peniaga tanggung derita

Oleh NUR NAZLINA NADZAR
kota@utusan.com.my


Shim Kok Choong (kiri) bersama Kiran Bormo membuang sampah sarap yang berada di tengah jalan yang tidak dikutip oleh MPS di Taman Industri Boltan Batu Caves, Selayang, baru-baru ini.


BATU CAVES 2 April - Kotor dan meloyakan. Itulah gambaran yang dapat diberikan mengenai keadaan sampah tidak terurus berhampiran Kompleks Muhibbah, Taman Industri Bolton di sini sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan peniaga di kawasan berkenaaan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan terbabit mendapati terdapat lebih dari tiga longgokan sampah sepanjang Jalan TIB 3/5 dengan keadaan sampah sarap yang bukan sahaja bertaburan di atas jalan tetapi juga mengeluarkan bau busuk dan menyesakkan mata memandang.

Pelbagai jenis sampah dapat dilihat daripada sisa makanan sehinggalah sampah pukal seperti perabot lama, kayu serta sisa konkrit daripada binaan.

Difahamkan, masalah longgokan sampah di situ sudah tiga tahun berlaku namun semakin kritikal sejak akhir-akhir ini menyebabkan peniaga semakin diburu keresahan.

Mereka mendakwa telah mengemukakan aduan beberapa kali kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), tetapi sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil.

Seorang peniaga, Tan Yok Lan, 60,berkata keadaan itu benar-benar memberi tekanan kepada mereka kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

Katanya, masalah ini bermula apabila sebuah rumah sampah di Kompleks Muhibbah di robohkan dan orang ramai tidak mempunyai tempat lain untuk membuang sampah mereka.

"Rumah sampah itu sebenarnya untuk penjaja kedai makan yang berniaga di situ dahulu. Tetapi apabila kedai makan itu ditutup kerana tidak mendapat sambutan, rumah sampah itu pun turut dirobohkan.

"Orang ramai sudah pun biasa membuang sampah di situ, jadi apabila tiada rumah sampah mereka hanya membuang di sini sahaja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, sampah dipercayai dibuang pada waktu malam oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana apabila pagi ia akan bertambah.

Sementara itu, seorang jurujual, Shim Kok Choong, 42, berkata pihak bertanggungjawab perlu lebih serius menangani masalah timbunan sampah di situ.

Katanya, selain menyediakan tong sampah besar, tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati di situ juga perlu diambil.

"MPS mahupun kontraktor dilantik harus melaksanakan kerja-kerja pengutipan dan pembersihan sampah di sini dengan cekap dan mengikut jadual.

"Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran tetapi juga menjejaskan perniagaan kami di sini," katanya.

MPS:Sampah akan dikutip minggu ini

Posted:

MPS:Sampah akan dikutip minggu ini

MPS:Sampah akan dikutip minggu ini

KUALA LUMPUR 2 April - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan membersihkan sampah haram di Jalan TIB 3/5, Taman Industri Boltan, Batu Caves selewat-lewatnya hujung minggu ini.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain A.Hamid berkata, ia merupakan sebagai tindakan jangka pendek bagi mengatasi masalah yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun itu.

Menurutnya, sebelum ini majlis telah melaksanakan kerja-kerja pengutipan dan pembersihan di kawasan terlibat tetapi masalah tetap berulang.

"Pelbagai cara telah dilakukan MPS bagi mengatasi aktiviti pembuangan sampah di situ.

"Ini termasuklah meletakkan pita kuning dan papan tanda larangan membuang sampah, namun tidak berkesan," katanya mengulas mengenai longgokan sampah berhampiran Kompleks Muhibbah, di Jalan TIB 3/5, di sini hari ini.

Katanya, selain pemilik kilang, pihak majlis turut dimaklumkan kemungkinan penduduk dan peniaga pasar malam berhampiran turut menjadikan kawasan itu sebagai lokasi membuang sampah.

Sementara itu, bagi tindakan jangka panjang, pihak MPS akan menyiasat dan membuat intipan bagi menangkap mereka yang menjalankan aktiviti pembuangan sampah di situ.

"Bagi masalah sampah ini, kita harus menunggu seseorang itu membuang sampah dahulu barulah tindakan boleh di ambil terhadapnya.

"Tindakan boleh diambil tetapi tidak meninggalkan apa-apa kesan sekiranya sikap suka membuang sampah ini tidak diubah," katanya.

Tambah Mohamad Zain lagi cadangan menyediakan tong sampah di situ juga akan disemak semula bagi memastikan kewajarannya atau sebaliknya.

Bantah guna laluan utama

Posted:

Bantah guna laluan utama

Bantah guna laluan utama

Oleh Muhamad Aimy Ahmad
kota@utusan.com.my


Penduduk Taman Sunway Semenyih dan Taman Desa Mewah, Semenyih mengadakan bantahan terhadap tindakan pemaju membenarkan kenderaan berat melalui jalan utama ke taman perumahan mereka di Semenyih, semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED


KAJANG 2 April - Kira-kira 100 penduduk Taman Desa Mewah dan Bandar Sunway Semenyih mengadakan bantahan aman kira-kira sejam di Jalan Sunway Semenyih berdekatan simpang masuk ke kediaman mereka.

Ini berikutan tindakan pemaju, Pusat Perniagaan Kiara yang didakwa langsung tidak menghiraukan keselamatan dan keselesaan penduduk di situ.

Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Bersama kedua-dua perumahan itu, Ahmad Asmadi Adnan berkata, pihaknya kesal dengan sikap pemaju yang tidak mengendahkan aduan dan rayuan penduduk agar tidak membenarkan kenderaan berat milik pemaju menggunakan laluan utama masuk ke kediaman mereka.

Menurutnya, lebih mengecewakan sikap berdiam diri Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memburukkan lagi keadaan apabila kenderaan berat itu dilihat bebas keluar masuk dari tapak projek berhampiran setiap hari.

"Keadaan trafik amat teruk terutamanya pada waktu puncak.

"Ini disebabkan pemandu kenderaan berat milik pemaju sering melakukan pusingan 'U' di simpang tiga menuju ke Taman Desa Mewah dan simpang ke Bandar Sunway Semenyih," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai bantahan aman di sini, Ahad lalu.

Menurutnya, penduduk tidak menolak pembangunan tetapi pihak bertanggungjawab perlu memikirkan tekanan yang terpaksa dihadapi akibat kesesakan luar biasa setiap hari di kawasan itu.

Sehubungan itu katanya, pada Rabu lalu pihaknya menyerahkan surat rayuan kepada Yang Dipertua MPKj, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman berhubung perkara itu dan memberi tempoh selama 21 hari untuk bertindak.

Katanya, penduduk sendiri secara peribadi, secara maya dan atas nama persatuan pernah mengutus surat, namun tiada tindakan diambil.

"Sekiranya masih tiada maklum balas kami tidak akan teragak-agak membawa perkara ini ke mahkamah.

"Kami bukan hanya beli rumah tetapi turut membeli fasiliti di sekitar ini termasuk jalan ke rumah kami yang saya kira ia adalah infrastruktur terpenting kepada sesiapa sahaja," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan