Ahad, 8 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


PM pangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Posted:

PM pangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

PM pangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

TEMERLOH 7 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat buat sementara waktu berikutan berakhirnya tempoh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa esok.

Menurut Perdana Menteri, beliau bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas segala sumbangan yang diberikan Shahrizat yang mana pada masa sama beliau akan meneruskan segala program pembangunan untuk wanita seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

''Shahrizat juga berjanji kepada saya bahawa beliau akan bekerja kuat sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO untuk menjamin kemenangan besar Barisan Nasional (BN).

''Justeru, Wanita mesti kekal bersatu, mesti bekerja kuat untuk menjamin kemenangan besar kita, insya-Allah," katanya ketika berucap merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) 1Azam Peringkat Negeri Pahang di Dataran Tok Gajah di sini hari ini.

Shahrizat sebelum ini mengumumkan pengunduran daripada jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebaik sahaja tempoh penggal perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara berakhir 8 April ini iaitu esok.

Sementara itu, Shahrizat ketika ditemui Mingguan Malaysia menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai penghargaan yang amat besar kepada bukan hanya pegawai dan kakitangan kementerian tetapi turut meliputi kumpulan sasar kementerian.

''Saya nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri yang akan mengambil alih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

''Saya sangat gembira kerana doa saya supaya Perdana menteri sendiri ambil alih kementerian ini dimakbulkan Allah," jelasnya.

TPM: Gabung sekolah vernakular kurang murid

Posted:

TPM: Gabung sekolah vernakular kurang murid

TPM: Gabung sekolah vernakular kurang murid

PAGOH 7 April - Sekolah vernakular yang kurang murid boleh bergabung dengan mana-mana sekolah sealiran bagi mengatasi masalah tersebut tetapi keputusan itu perlu mendapat persetujuan masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut adalah untuk kepentingan pendidikan selain manfaat bagi murid dan guru di sekolah jenis itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu bukan bermakna kerajaan mahu menutup sekolah aliran tersebut tetapi memberi pilihan kepada mereka untuk kebaikan bersama.

"Untuk kepentingan pendidikan lebih baik ada persetujuan (gabung sekolah), ini kena cakap baik (terang), nanti ada kata kerajaan nak tutup sekolah (vernakular).

"Kalau ada persetujuan, bolehlah berpindah ke sekolah lain, jadi boleh bersatu, itu kita boleh setujukan tetapi terserah kepada PIBG dan masyarakat di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Jalinan Mesra Warga Pendidikan dan Perasmian Dewan-dewan Sekolah di Parlimen Pagoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor, dekat sini hari ini.

Muhyiddin memberitahu, terdapat 1,800 sekolah vernakular iaitu 1,200 adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) manakala selebihnya Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT).

Jelasnya, 45 peratus daripadanya dikategorikan sekolah kurang murid tetapi kerajaan tidak pernah menutupnya kerana telah ada persetujuan sebelum ini untuk tidak berbuat demikian.

Menurutnya, nisbah bagi sekolah vernakular yang kurang murid ialah untuk 10 murid disediakan tujuh guru tetapi pendekatan itu dilihat kurang berkesan untuk meningkatkan prestasi.

"Prestasi pun tak berapa baik kerana ada guru terpaksa mengajar dalam beberapa kelas yang pelbagai. Kemudian tiada peluang bergaul, tiada peluang belajar secara berkumpulan kerana (bilangan murid) kecil sangat, kesannya (sekolah kurang murid) tidak berapa baik," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan majlis pecah tanah SJKT Ladang Temiang di Renchong, dekat sini, untuk pembinaan sekolah baru yang bernilai kira-kira RM11 juta.

Muhyiddin berkata, kerja-kerja pembinaan SJKT tersebut akan dimulakan dalam masa dua atau tiga bulan lagi dan mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.

Nobat Diraja Kedah serikan istiadat

Posted:

Nobat Diraja Kedah serikan istiadat

Nobat Diraja Kedah serikan istiadat

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my


Anggota kumpulan Nobat Diraja Kedah pada sesi raptai menjelang istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April ini. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 7 April - Alunan muzik daripada alat kesenian nobat bakal menjadi satu daripada komponen penting pada upacara istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April ini.

Nobat yang merupakan alat kesenian tradisional dari Kedah itu dipilih memandangkan Yang di-Pertuan Agong ke-14 iaitu Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah merupakan raja dari negeri Jelapang Padi tersebut.

Menurut Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini, walaupun istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong adalah majlis rasmi yang diadakan setiap lima tahun sekali namun ia mempunyai sedikit perbezaaan setiap kali diadakan.

"Memandangkan kali ini melibatkan giliran Yang di-Pertuan Agong dari Kedah, jadi ada unsur-unsur atau ciri-ciri negeri itu yang turut diambil kira pada majlis pertabalan.

"Bagi istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda ini, pihak istana telah menjemput pasukan nobat diraja negeri Kedah yang akan memainkan alunan muzik nobat dan lagu-lagu yang signifikan dengan adat istiadat pertabalan," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Azuan Effendy, alunan muzik nobat adalah sesuatu yang unik dan eksklusif serta tidak dimainkan pada setiap majlis.

Sebaliknya kata beliau, alunan muzik itu hanya dimainkan pada majlis tertentu yang mempunyai ketinggian darjah seperti istiadat pertabalan.

Tambahnya, istiadat pertabalan juga masih mengekalkan tradisi dari segi perjalanan aturan dan protokol meskipun di sebalik peredaran masa dan zaman yang lebih moden hari ini.

"Alat kebesaran yang dibawa pada istiadat pertabalan itu juga sama dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama.

"Antara alat kebesaran yang akan dibawa oleh Datuk Maharaja Lela dan panglima-panglima itu adalah Cogan Alam dan Cogan Agama iaitu tongkat-tongkat perak yang merupakan sebahagian daripada alat kebesaran diraja serta menjadi lambang kebesaran kerajaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan