Khamis, 5 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


34 penghuni akur

Posted: 04 Apr 2012 01:06 PM PDT

KUALA LUMPUR: Selepas insiden bantahan 433 penduduk penghuni rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi kelmarin, akhirnya 34 penghuni yang masih tinggal di situ akur untuk berpindah.

Bagaimanapun, dalam majlis penyerahan kunci yang dilakukan Pengarah Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sukiman Surahman di dewan orang ramai Flat PKNS 17 tingkat (bersebelahan perumahan itu), hanya 21 pemilik dan wakil rumah hadir menerima kunci, manakala 13 lagi tidak hadir.


Menurut Sukiman, pemaju meminta semua 34 penghuni terbabit berpindah ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) selewat-lewatnya 10 April ini bagi melancarkan projek pembangunan berkenaan.

"Jika mereka masih enggan menerima tawaran itu, DBKL mengambil semula rumah PPR dan menyerahkannya kepada orang lain kerana kami masih mempunyai lebih 30,000 pemohon untuk tinggal di situ.


"Saya tidak melihat halangan untuk mereka berpindah ke rumah PPR kerana pengangkutan kemudahan berpindah seperti pekerja dan lori disediakan pemaju," katanya di sini, semalam.


Katanya, dakwaan segelintir penghuni yang mengatakan tidak mendapat kunci rumah PPR tidak benar kerana semua kunci rumah sudah diserahkan kepada pemaju sejak awal perpindahan dulu.

Penerima kunci, Mohamed Yusof Abd Rashid, 70, berkata keengganan penduduk berpindah disebabkan pampasan yang ditawarkan kurang berbanding nilai sebenar hartanah.


"Pada awalnya kami ditawarkan RM143,000, tetapi jumlah itu tidak setara nilai tanah yang sepatutnya diterima. Selepas bantahan dilakukan di mahkamah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), kami hanya mendapat RM73,000.

"Oleh itu, kami membuat rayuan di mahkamah tinggi kerana percaya jumlah yang sepatutnya diterima lebih tinggi daripada tawaran itu" katanya.


Sulaiman Bujang, 70, pula berkata, akan berpindah ke PPR Cempaka dalam beberapa hari lagi memandangkan kedua-dua anaknya yang tinggal bersamanya bekerja.


"Bagaimanapun, rumah yang ditawarkan di tingkat sembilan. Saya akan meminta untuk mendapat rumah di tingkat bawah atas faktor usia lanjut serta kesihatan," katanya.


Sementara itu, Pengarah Suez Domain Sdn Bhd, pemaju projek berkenaan, Yasran Hussain berkata, selain PPR Cempaka, 25 daripada mereka akan ditempatkan di PPR Muhibbah.


"Berhubung isu bantahan penduduk, 34 penghuni ini sudah menghantar Borang N ke PTGWP iaitu mereka bersetuju menerima pampasan dengan bantahan dan ia sudah dibuat kepada mahkamah tinggi," katanya.




Kunci kafe elak polis serbu

Posted: 04 Apr 2012 01:04 PM PDT

SUBANG: Tindakan seorang penjaga premis cuba mengunci kafe Internet di Jalan Dina, Seksyen U3, di sini, yang dipercayai turut menjalankan aktiviti perjudian bagi mengelak diserbu polis, gagal apabila dia dicekup dalam serbuan, petang kelmarin.

Lelaki tempatan berusia 38 tahun itu bertindak demikian selepas menyedari kehadiran polis, jam 4.30 petang.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan itu membabitkan sepasukan dua pegawai dan 11 anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Menurutnya, pihaknya melakukan penyamaran sebagai pelanggan dan cuba memasuki kafe berkenaan, namun gagal disebabkan penjaga yang meneliti wajah pelanggan menerusi litar tertutup (CCTV) enggan membuka pintu.


Katanya, serbuan dilaksanakan pihaknya apabila mendapati premis yang sudah lima kali diserbu itu masih menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang. "Kami memecahkan pintu hadapan untuk masuk kerana pintu belakang premis dikunci dari dalam," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan