Khamis, 5 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis Marin tumpas sindiket seludup diesel ke negara jiran

Posted: 05 Apr 2012 05:37 AM PDT

PELABUHAN KLANG: Polis Marin menumpaskan satu sindiket menyeludup diesel ke negara jiran dan merampas hampir 500,000 liter diesel bernilai RM1.4 juta dalam serbuan di Jeti Awal Idaman, Pulau Indah di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 3 petang semalam, sembilan lelaki terdiri daripada tujuh krew kapal rakyat Myanmar dan dua pemandu lori tempatan berusia antara 30 dan 40 tahun ditahan.

"Ketika serbuan, sembilan individu sedang memindahkan diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah kapal tangki yang berlabuh di jeti berkenaan melalui saluran paip," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan bersama pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor itu, pihak berkuasa mendapati 452,940 liter diesel dipindah ke dalam tangki kapal terbabit.


Sebanyak 13,650 liter diesel masih terkandung dalam lori tangki itu dan tidak sempat dipindahkan ke dalam kapal tangki berkenaan, katanya. - Bernama




Tiga rakyat Malaysia menang Anugerah Manga Antarabangsa

Posted: 05 Apr 2012 04:38 AM PDT

KUALA LUMPUR: Tiga kartunis Malaysia adalah antara pemenang Anugerah Manga Antarabangsa kali kelima -- satu anugerah untuk menghargai artis Manga yang mempromosi kartun di luar Jepun.

Duta Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura berkata Malaysia menghantar 21 penyertaan untuk anugerah itu tahun lepas. Sebanyak 145 penyertaan dari 30 negara diterima dan Malaysia merupakan negara kedua tertinggi yang menghantar penyertaan.

"Saya sangat gembira melihat ramai kartunis Malaysia mengambil bahagian dalam Anugerah Manga Antarabangsa ini," katanya pada majlis penyampaian hadiah itu di kediamannya di sini, hari ini.

Kesemua tiga kartunis itu menerima hadiah Anugerah Gangsa daripada Jawatankuasa Anugerah Manga Antarabangsa yang dipengerusikan Menteri Luar Jepun Koichiro Gemba.


Nakamura berharap anugerah itu akan menggalakkan pemenang untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa depan.


Sementara itu, Chong Chiew Choy yang memenangi anugerah itu berkata idea untuk melukis kartun bertajuk "A Letter to Father" adalah hasil imaginasinya yang diterjemahkan melalui lukisan.

"Saya mula berminat dengan Manga sejak berumur enam tahun. Saya terkejut apabila memenangi pertandingan ini, saya tidak mendapat galakan daripada sesiapa pun, semuanya datang dari hati saya sendiri," kata jurutera mekanikal yang berusia 37 tahun itu.

Bagi Chang Lee Ying, 26, yang memenangi anugerah itu untuk kali kedua, minat terhadap komik menjadikan beliau lebih serius menghasilkan komik bertajuk "Ice Cream Baby" dan menyertai pertandingan itu.

"Ini kali kedua saya menyertai pertandingan ini. Saya gembira kerana sekali lagi saya menang. Saya akan terus melukis," kata kartunis itu yang mula melukis selepas tamat sekolah menengah.

Seorang lagi pemenang ialah Tan Zien Yun dengan hasil karyanya bertajuk "X-Venture: Terror Raptor". - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan