Ahad, 8 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


4,423 kes HFMD di Sarawak

Posted: 08 Apr 2012 04:16 AM PDT

KUCHING: Kes-kes baru penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Sarawak mencatatkan trend menurun dalam tempoh seminggu lepas dengan 29 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 4,423 setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zulkifli Jantan dalam laporan hariannya berkata, 13 daripada kes baru berlaku di Kuching; Miri dan Samarahan (masing-masing empat), Bintulu (tiga), Sri Aman (dua), Kapit, Limbang dan Sibu (masing-masing satu), dengan tiada kes baru di Sarikei, Mukah dan Betong.

Lima kemasukan baru dicatatkan dalam masa 24 jam, masing-masing dua di Bintulu dan Sibu dan satu di Kuching.

Keseluruhannya, Kuching mencatatkan 1,634 kes, Bintulu (522), Samarahan (494), Miri (335), Limbang (302), Sarikei (256), Betong (227), Sri Aman (184), Sibu (179), Kapit (148) dan Mukah (142).


Sejumlah 11 institusi penjagaan dan pembelajaran kanak-kanak di seluruh negeri ini masih ditutup atas arahan Jabatan Kesihatan bagi menyekat merebaknya penyakit itu. - BERNAMA




Nelayan ditemui lemas di Kuala Perlis

Posted: 08 Apr 2012 04:12 AM PDT

KANGAR: Mayat seorang nelayan, Herwan Che Din, 29, yang jatuh ke dalam laut ketika keluar mengkap ikan awal pagi semalam ditemui hari ini tidak jauh daripada pantai Kuala Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya kira-kira pukul 1 pagi semalam dan polis yang menerima laporan kejadian itu pukul 11 pagi semalam melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Katanya mayat mangsa ditemui kira-kira 0.3 batu nautika dari pantai kira-kira pukul 1.30 petang tadi dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Abdul Rahman berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.


Abang mangsa, Shahimi Che Din, 41, berkata dia dan mangsa keluar menangkap ikan menggunakan bot secara berasingan pukul 5 petang Jumaat lalu berhampiran Pulau Brasmana.


Katanya selepas beberapa jam berada di perairan berhampiran pulau itu, beliau dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dari botnya.

Gerakan mencari dilakukan oleh kumpulan nelayan yang sama-sama beroperasi di kawasan itu sebelum membuat laporan polis.

Shahimi berkata mayat adiknya ditemui terapung tidak jauh dari pantai dan dibawa pulang ke jeti Kastam Kuala Perlis di sini sebelum dihantar ke HTF. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan