Rabu, 4 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis tumpaskan sindiket curi kereta di Pulau Pinang

Posted: 04 Apr 2012 03:08 AM PDT

BUKIT MERTAJAM: Kumpulan "Pak Ya Bertam" yang aktif mencuri dan menjual kereta curi berjaya ditumpaskan apabila polis menahan lima anggota sindiket berkenaan secara berperingkat sejak 23 Mac lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob berkata lima lelaki terbabit yang berusia antara 23 dan 34 tahun itu ditahan di sekitar Pulau Pinang selepas polis Selangor menahan lima rakan mereka di negeri itu.

"Polis menahan lelaki pertama berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan pada 23 Mac di Tasek Gelugor dan merampas dua buah kereta curi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan seorang penuntut lelaki sebuah pusat pengajian tinggi awam berusia 23 tahun dan seorang pemilik bengkel berusia 33 tahun di Bertam pada hari yang sama dan merampas empat kereta curi dari bengkel itu.


Hasil siasatan, polis menahan dua lagi lelaki iaitu seorang agen insurans di Merbok, Kedah yang berumur 34 tahun dan seorang mekanik berusia 25 tahun di Bayan Lepas.


Ayub berkata siasatan awal mendapati sindiket yang dianggotai 10 hingga 15 orang itu aktif menerima dan menjual kereta curi sejak dua tahun lepas.

"Bengkel milik seorang yang ditahan di Bandar Putra, Bertam dekat sini dijadikan tempat pengumpulan semua kenderaan yang dicuri dari Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebelum dijual kepada pelangan," katanya.

Beliau berkata semua kenderaan curi itu akan dijual kepada orang tertentu dengan harga RM7,000 hingga RM40,0000.

Ayub berkata hasil penahan lima lelaki terbabit polis merampas 23 kereta bernilai RM1 juta, 13 daripadanya dikenalpasti kereta yang dilapor hilang baru-baru ini.

"Polis kini sedang mengesan empat lagi anggota sindiket itu yang telah dikenalpasti bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya. - BERNAMA




Polis selesai kes tembak di Rantau Panjang

Posted: 04 Apr 2012 01:21 AM PDT

KOTA BHARU: Polis menahan tiga beradik serta empat yang lain berhubung kejadian tembak yang menyebabkan kematian seorang pemuda di Rantau Panjang, Pasir Mas semalam.

Bagaimanapun dua suspek utama rakyat negara jiran yang dipercayai melakukan tembakan itu masih diburu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata tiga beradik itu mempunyai pertalian keluarga terdekat dengan mangsa, ditahan dalam serbuan yang berbeza lokasi antara pukul 3 petang dan tengah malam semalam.

"Susulan daripada kejadian itu, Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan dan Pasir Mas telah menangkap enam lelaki dan seorang perempuan berumur antara 22 hingga 40 tahun dan mereka semua adalah rakyat tempatan yang tinggal di Rantau Panjang, Pasir Mas.


"Kita juga masih mengesan dua lagi suspek utama rakyat negara jiran yang dipercayai melakukan tembakan itu mengikut saksi-saksi yang kita telah tangkap," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.


Dalam kejadian itu, mangsa Mohamad Nazuri Mohd Zain, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Lemal mati manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki di Rantau Panjang kira-kira 11.15 pagi.

Jalaluddin berkata siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca dari rasa tidak puas hati dalam soal perniagaan keluarga.

"Perniagaan ini melibatkan pekerja asing di antara dalam negeri dengan negara jiran. Mungkin nak permudahkan pekerja asing keluar masuk daripada Malaysia ke negara jiran sama ada melalui laluan sah atau tidak. Kita akan siasat latar belakang keluarga ini.

"Sehubungan itu juga, kita mengklasifikasikan kes ini sebagai telah selesai dan tidak ada kena-mengena dengan tujuh kes tembakan yang berlaku sebelum ini," katanya.

Jalaluddin berkata pihaknya turut merampas sebilah parang, satu botol dipercayai mengandungi dadah, alat renjatan elektrik dan telefon bimbit.

Polis percaya salah sebuah telefon bimbit berkenaan digunakan untuk berkomunikasi bagi mengeluarkan arahan berhubung kejadian tersebut.

Kesemua mereka ditahan reman bermula hari ini sehingga 10 April dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan