Selasa, 3 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pengguna laman sosial diingat dapatkan pengesahan sebelum sebar maklumat jenayah

Posted: 03 Apr 2012 05:01 AM PDT

JOHOR BAHARU: Polis hari ini mengingatkan pengguna laman sosial supaya mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu kejadian jenayah sebelum berkongsi maklumat itu di laman berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata maklumat yang tidak tepat mengenai kejadian jenayah bukan sahaja memberi kesan kepada pihak berkuasa bahkan masyarakat.

"Orang awam perlu maklum, kita (polis) mempunyai akaun Facebook dan Twitter di mana maklumat yang tepat mengenai kejadian jenayah boleh diperolehi di situ.

"Adalah lebih baik jika pengguna laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang menerima maklumat jenayah mendapatkan pengesahan polis terlebih dahulu melalui laman sosial rasmi polis sebelum menyebarkan perkara berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.


Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pengguna laman sosial menyebarkan maklumat berhubung kejadian jenayah menerusi Facebook dan Twitter termasuk memberi gambaran berhubung aktiviti jenayah di sesuatu kawasan sehingga menimbulkan rasa panik pada kalangan masyarakat.


Beliau berkata polis sentiasa memantau perbuatan menyebarkan maklumat palsu pada laman sosial dan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan terhadap individu yang terlibat.

Katanya polis juga sentiasa bekerjasama dengan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam mengesan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.

"Jadi, saya minta pengguna laman sosial jangan buat perkara tidak menguntungkan. Jangan kita berasa seronok dengan perkara yang tidak betul, kita dedah kepada umum," katanya yang sebelum itu melakukan tinjauan di Terminal Larkin Sentral, di sini. - Bernama




Penunggang motosikal, murid perempuan maut kemalangan

Posted: 03 Apr 2012 12:11 AM PDT

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal dan seorang murid perempuan, maut dalam dua kemalangan berasingan di Pahang awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim berkata kejadian pertama berlaku di Km126 Lebuhraya Pantai Timur yang membabitkan pelanggaran dua buah kereta dari arah yang sama.

"Dalam kejadian 4.15 pagi Isnin itu mangsa, Nurul Asyiqin Zulkipli, 11, penumpang belakang sebuah kereta Proton Iswara bersama pemandu dan seorang lagi penumpang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

"Kereta yang dinaiki mangsa telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dari arah yang sama menyebabkan mangsa yang cedera parah di badan dan kepala, mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan pula seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang di Km8.5 Jalan Jerantut-Temerloh pada 6.45 pagi.


Fauzi berkata mangsa, Syed Omar Syed Sulaiman, 65, dalam perjalanan dari Kampung Teming, Jerantut menghala ke Temerloh.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian mangsa dirempuh oleh sebuah kereta dari arah yang sama selepas dipercayai mangsa mengubah laluan dari kiri ke tengah laluan berkenaan.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jerantut bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan