Rabu, 11 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pertabalan Seri Paduka catat sejarah

Posted: 11 Apr 2012 04:40 PM PDT

Nasional

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah titah rakyat agar tingkat usaha majukan negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah rakyat Malaysia perlu menjadi warga yang perkasa dan dinamik bagi memastikan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Bukan saja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya," titah baginda pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, semalam. Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka Baginda kerana ini kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain adalah Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta di sini.

Tuanku Abdul Halim ditabal Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 ketika berusia 42 tahun dan kini, empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Seri Paduka bertitah: "Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai-nilai yang positif diketepikan oleh penghuninya."

Titah baginda, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan rakyat.
"Maka jadilah insan yang mulia sebagai mana dituntut agama, iaitu insan yang berilmu dan berpekerti mulia serta sedar dan patuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, rakyat negara bukan saja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada 2020 tetapi terus menjadikan negara ini kekal maju dan dihormati dunia.

"Persaingan global yang perlu dihadapi hari ini begitu kompetitif dan serba mencabar. Justeru, setiap dari rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati," titah baginda.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan negara maju, aman dan harmoni.

"Perkukuhkan diri dan pikullah tanggungjawab kita sebagai warga yang benar-benar cintakan tanah air. Sesungguhnya Malaysia adalah hak, lambang maruah dan kedaulatan bersama. Untuk itu, masa depan negara kita haruslah dicorak dan diadun oleh kita semua.

"Kemajuan dari segi kebendaan saja belum cukup untuk menjadikan kita satu bangsa yang kuat. Kita perlu menjaga dan mengamalkan ciri-ciri hidup masyarakat yang berbudi bahasa.

"Kemajuan fizikal yang diimbangi dengan nilai hidup berbudi bahasa akan mengangkat tamadun bangsa, menjulang agama dan negara. Beta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjaga tatasusila dan ciri-ciri hidup ketimuran yang sekian lama telah diamalkan," titah baginda.

Baginda bertitah: "Sesungguhnya, setelah lebih empat dekad berlalu seperti dipertentukan oleh Yang Maha Kuasa, dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan beta pada kali dulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat daripada dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.

"Pertamanya semasa zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Kini pula pada kala tampuk kerajaan di bawah pimpinan anakandanya, yakni Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga bersyukur kerana dapat menyaksikan kemajuan negara ini dan menyedarkan baginda betapa bertuahnya Malaysia dan rakyatnya yang sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan. – BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

sham

Daulat Tuanku....saya taat pd ALLAH yg satu & saya sokong Raja Melayu....

FbR

Daulat Tuanku..! Bangga jadi rakyat Kedah dan juga Malaysia. Bumi bertuah yang aman damai.

hazmi

Dilimpahi rahmat dan kejayaan untuk agama bangsa dan negara kita dibawah naungan Tuanku, Dirgahayu..Daulat Tuanku...!!!

aar

"Neraka itu diharamkan kepada orang yang lemah-lembut, mudah dalam pergaulan, menyenangkan dan bersemangat kekeluargaan."(HR at-termizi).


27 negara keluar amaran tsunami

Posted: 11 Apr 2012 03:50 PM PDT

Nasional

PENGHUNI Flet Sri Sarawak, Basrah Abdullah, 56, (tiga dari kanan) menceritakan detik gegaran yang dirasai ketika berada di rumahnya kepada jirannya yang turut merasai gegaran sebelum bergegas turun dari rumah pangsa 15 tingkat di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur, semalam.

PENGHUNI Flet Sri Sarawak, Basrah Abdullah, 56, (tiga dari kanan) menceritakan detik gegaran yang dirasai ketika berada di rumahnya kepada jirannya yang turut merasai gegaran sebelum bergegas turun dari rumah pangsa 15 tingkat di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur, semalam.

Penduduk segera ke tempat tinggi cari perlindungan

BANDA ACEH: Gempa bumi magnitud 8.7 skala Richter diikuti tiga gegaran susulan melanda Aceh semalam menyebabkan penduduknya segera ke tempat lebih tinggi selain menyebabkan bangunan bergoyang di beberapa negara, manakala amaran tsunami dikeluarkan kepada 27 negara.

Gempa pertama melanda pada 4.38 petang diikuti gegaran magnitud 8.2 dua jam selepas itu dan dua lagi gegaran susulan melanda tidak lama kemudian. Gegaran turut dirasai di beberapa negara sehingga di selatan India apabila ramai yang segera keluar dari bangunan pejabat kerana gusar bencana akan menimpa seperti pada 2004.

Pusat gempa dikesan 500 kilometer ke barat daya Banda Aceh, di utara Sumatera, lapor Biro Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Gegaran pertama berlaku pada kedalaman 33 kilometer menyebabskan bekalan elektrik terputus dan ramai penduduk berkejar ke tempat lebih tinggi dengan laungan siren memberi amaran kedengaran.

"Bekalan elektrik terputus, kesesakan berlaku ketika ramai pergi ke tempat lebih tinggi. Siren dan bacaan ayat suci al-Quran turut diperdengarkan," kata jurucakap agensi menangani bencana, Sutopo.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berkata belum ada kematian atau kerosakan dilaporkan di Aceh.

"Keadaan di Aceh terkawal, ada juga yang panik tetapi sudah ramai yang pergi ke tempat lebih tinggi," kata Susilo.

Televisyen Indonesia menunjukkan penduduk berhimpun dekat beberapa masjid di Banda Aceh manakala orang lain berlegar di jalan raya sambil mendukung anak yang menangis.

Di Kota Medan, sebuah hospital memindahkan pesakit menggunakan kerusi roda.
Pihak berkuasa Indonesia mengakui ada laporan mengatakan paras air laut meningkat dekat perairan Aceh tetapi kurang satu meter.

"Tidak ada ancaman daripada tsunami tetapi kami tetap berjaga-jaga," kata Susilo pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyatakan kesediaan membantu jika perlu.

Pihak berkuasa di wilayah Phuket pula menutup lapangan terbang sebagai langkah berjaga-jaga selain membunyikan siren amaran. Pusat pelancongan itu turut dilanda tsunami pada 2004.

Gempa terbaru dirasai sehingga ibu negara Thailand, Bangkok dan selatan India dengan ratusan pekerja pejabat di Bangalore keluar dari bangunan, manakala pelabuhan Chennai ditutup kerana kebimbangan dilanda tsunami.

Kekuatan gempa hampir dengan apa yang berlaku pada 2004 pada kedalaman 30 kilometer di sepanjang garis gempa di bawah Lautan Hindi dari barat Indonesia hingga ke Teluk Benggala.

Gegaran juga dirasai di Sri Lanka apabila ramai pekerja di pejabat di ibu negara Colombo, lari keluar pejabat masing-masing.

Menteri Pengurusan Bencana Sri Lanka, Mahinda Amaraweera, menggesa penduduk bertenang dan menasihatkan mereka berada di pantai ke tempat tinggi. – Reuters

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

chiti

ya btl dkt psis juga kami rasa gegaran tu....:)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan