Selasa, 3 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Tiga tahun jadi PM menarik, mencabar

Posted: 03 Apr 2012 04:37 PM PDT

Nasional

NAJIB bersama pemimpin ASEAN bergambar ketika majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 di Phnom Penh, semalam.

NAJIB bersama pemimpin ASEAN bergambar ketika majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 di Phnom Penh, semalam.

Segala perancangan, dasar dapat sokongan rakyat

DATUK Seri Najib Razak semalam menyifatkan tempoh tiga tahun beliau menerajui pentadbiran negara sebagai menarik dan penuh mencabar susulan tsunami politik yang melanda sebelum itu. Sehubungan itu, Perdana Menteri melahirkan penghargaan kepada semua anggota Kabinet yang memberi sokongan padu terhadap semua perancangan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan sehingga ia kini mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.

"Kita melalui perjalanan panjang dalam tempoh tiga tahun lalu. Kita bermula dalam keadaan penuh mencabar, iaitu tsunami politik, ada banyak pandangan sinis dan skeptikal tetapi selepas tiga tahun, rakyat semakin percaya dan yakin terhadap kerajaan. Rakyat percaya kerana kita boleh dan sudah mengotakan apa dijanjikan.

"Tempoh tiga tahun lalu amat menarik dan mencabar. Saya berasa dihargai kerana semua anggota Kabinet memberi sokongan padu. Saya tidak mampu melakukan sendirian, kita mengotakan janji dibuat (kepada rakyat) dan ini penting.

"Bila berjanji, kita kotakan," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 di sini, semalam, ketika ditanya mengenai perasaan dan pencapaian beliau selepas tiga tahun menerajui pentadbiran negara.

Najib berkata, pelbagai usaha dan perancangan yang dilaksanakan kerajaan sepanjang tempoh itu sudah membuahkan hasil dengan perangkaan mikro kini dilihat begitu memberangsangkan menerusi pembabitan aktif sektor swasta.
Katanya, ini terbukti apabila pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan rekod tertinggi selepas 10 tahun, termasuk menerima pelaburan berjumlah RM120 bilion dalam tempoh setahun, manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Pendapatan Kasar Negara (PNI) mencapai paras tertinggi.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, dalam tempoh tiga tahun berkenaan juga, kerajaan berjaya menurunkan defisit fiskal.

"Semua ini menunjukkan kita berjaya mewujudkan momentum baru sepanjang tempoh berkenaan. Program Transformasi Kerajaan (GTP) mencapai kejayaan baik dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pula melepasi sasaran.

"Kita akan terus menghadapi cabaran mendatang kerana kita sudah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh tiga tahun lalu. Insya-Allah, bagi kita (kerajaan Barisan Nasional) tempoh lima tahun lagi, kita akan sampaikan lebih banyak (kepada rakyat)," tambahnya.

Mengulas suasana politik negara dalam tempoh sama, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, kerajaan menerima cabaran daripada pembangkang yang seboleh mungkin mengeksploitasi setiap isu yang timbul.

"Mereka (pembangkang) tidak membangkang secara membina dan mencari penyelesaian, tapi memanjangkan setiap isu sehingga pilihan raya akan datang... set minda mereka bukan nak cari penyelesaian, tapi mencipta serta memanjangkan setiap isu," katanya.

PAS dibidas isu jual tapak masjid

Posted: 03 Apr 2012 04:35 PM PDT

Nasional

Penjualan tanah emas Bayan Mutiara mengundang kemarahan rakyat

NIBONG TEBAL: UMNO Pulau Pinang membidas PAS negeri yang membisu berhubung penjualan tapak masjid dan sekolah di tanah emas Bayan Mutiara walaupun ia membabitkan kepentingan Islam dan rakyat. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata pemimpin PAS sepatutnya bersama UMNO bersatu memperjuangkan isu ini walaupun kedua-dua parti mempunyai fahaman politik yang berbeza.

"Selama ini, PAS mendakwa berjuang untuk agama Islam tetapi dalam hal penjualan tapak masjid, kenapa pemimpinnya tidak berani bersuara?

"Dalam hal politik, kita boleh berbeza pendapat tetapi apabila berurusan dengan isu agama dan bangsa, PAS patut menyokong UMNO menegakkan kebenaran dengan mempertahankannya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan Kementerian Pelajaran kepada tiga sekolah agama rakyat yang berjumlah RM65,000 di Simpang Tiga di sini, semalam.

Penjualan tanah emas Bayan Mutiara, Bayan Baru seluas 41.5 hektar yang mengandungi tapak masjid dan sekolah kepada pemaju swasta mengundang kemarahan rakyat. Tapak masjid dan sekolah itu sudah diluluskan kebenaran merancang oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 2006.

Berikutan penjualan tanah pada harga RM1.07 bilion, kawasan berkenaan akan dibangunkan sebagai 'Penang World City' yang mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM10 bilion.
Kini, pelbagai pihak mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang memulangkan balik tapak masjid dan sekolah, masing-masing kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Kementerian Pelajaran.

Zainal Abidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata, pemimpin PAS sepatutnya mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan Islam dan bangsa.

"Perpecahan dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu akan memudahkan pihak lain mengambil kesempatan ke atas agama dan bangsa kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan