Sabtu, 8 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Masalah rumah retak diatasi

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Tajul Urus Md. Zain (kiri) diiringi beberapa penduduk meninjau masalah keretakan dinding rumah akibat projek landasan berkembar di Taman Pahlawan, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 7 Jun - Masalah keretakan dinding dan pencemaran bunyi akibat projek pembinaan landasan kereta api berkembar yang menghantui penduduk di Taman Pahlawan dan Taman Wira di sini akan diatasi apabila kontraktor bersetuju membina tembok dalam masa terdekat.

Persetujuan tersebut dicapai oleh kontraktor terbabit, MMC Gamuda Joint Venture Sdn. Bhd. dan Pejabat Daerah Kuala Muda serta Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dalam satu lawatan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain baru-baru ini.

Tajul Urus berkata, kerajaan negeri mengambil berat tentang aduan penduduk berkenaan dan akan berusaha mengatasinya agar tidak menimbulkan kesulitan pada masa akan datang.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, hanya dua daripada 16 rumah mengalami kerosakan serius dan tindakan lanjut akan diambil.

"Kita akan atasi masalah ini secepat mungkin. Antara langkah yang dicadangkan adalah membina tembok selain jalan lorong belakang bertujuan memisahkan kawasan kediaman dan projek pembinaan landasan.

"Namun, kita meminta kerjasama penduduk agar mengosongkan kawasan belakang rumah mereka dengan tidak menanam pokok ataupun mendidikan struktur lain. MPSPK dan Pejabat Tanah akan mengeluarkan notis kepada mereka terlibat," katanya di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, pihak kontraktor akan membina tembok tinggi sebagai langkah mengurangkan kesan sampingan seperti pencemaran bunyi setelah landasan kereta api terbabit memulakan operasi.

"Bagaimanapun, kita mendapat makluman bahawa penduduk tidak bersetuju kerana ia mungkin menghalang tiupan angin dan digantikan dengan tembok yang tidak terlalu tinggi.

"Saya dimaklumkan bahawa kontraktor akur dengan cadangan itu dan melaksanakannya seperti yang dikehendaki penduduk," jelasnya.

Koperasi disaran fokus penghasilan produk

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

GOPENG 7 Jun - Pertubuhan koperasi di negeri ini disaran memberikan fokus sepenuhnya terhadap penghasilan produk yang berpotensi untuk dibangunkan agar boleh meningkatkan hasil ekonomi ahli-ahlinya pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria berkata, produk berasaskan pelancongan antara bidang yang boleh diketengahkan kerana sektor itu berkembang pesat saban tahun.

Oleh itu katanya, setiap koperasi perlu menitikberatkan hasil kerja dan perkhidmatan terbaik terhadap pelanggan dalam usaha memenangi hati mereka.

"Saya lihat produk berkaitan pelancongan, peruncitan dan industri kecil dan sederhana (IKS) mempunyai potensi besar untuk diceburi oleh pertubuhan koperasi di Perak.

"Saya yakin produk ini boleh diketengahkan sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, pada masa sama, perancangan daripada aspek modal dan strategi perniagaan perlu digerakkan bagi memastikan usaha itu membuahkan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat produk pelancongan diusahakan Koperasi Pelancongan Gopeng Berhad di Kampung Sungai Itek di sini baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan Koperasi Pelancongan Gopeng Berhad, Mohd. Nizar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja berkata, beliau berpuas hati dengan pengurusan koperasi terbabit yang mempunyai kira-kira 100 ahli berdaftar.

Katanya, koperasi tersebut mampu berkembang maju kerana mengetengahkan produk pelancongan berbentuk eko-pelancongan dengan menceburi bidang inap desa yang amat bersesuaian memandangkan Kampung Sungai Itek kini menjadi lokasi pelancongan.

"Mereka nampak produk pelancongan mampu menjana ekonomi ahlinya dan ternyata pilihan mereka tepat dan wajar dijadikan contoh oleh koperasi lain di Perak," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merupakan tulang belakang koperasi dan jabatan berkenaan menyediakan pelbagai bantuan kepada koperasi di seluruh negara untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Saya akan terus memberi sokongan kepada semua koperasi di Perak untuk menjayakan aktiviti yang dilaksanakan dan apa yang penting koperasi berkenaan perlu menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan daya saing," katanya.

Sahabat AIM Baling dapat tambahan dana RM7.7 juta

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Azmi Che Husain menyampaikan hadiah acara cabutan nombor bertuah kepada seorang Sahabat AIM pada majlis penutupan Ekspo Jualan Usahawan Niaga AIM di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Kupang, Kedah, kelmarin.

BALING 7 Jun - Sebanyak RM7.7 juta diperuntukkan kepada sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Baling tahun ini sebagai tambahan modal pinjaman kepada usahawan AIM.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husain berkata, AIM berjaya melahirkan ramai usahawan yang berjaya sehingga mereka mampu mengeluarkan diri dan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan dengan menjalankan pelbagai perniagaan termasuk pertanian dan perkilangan.

Katanya, mereka juga mampu menghasilkan produk-produk berkualiti untuk dijual di pasaran berdasarkan makanan dan minuman yang halal dan terjamin dari segi kebersihan.

"AIM cawangan Baling adalah antara yang berjaya di sini yang disokong oleh kerajaan dengan pertambahan dana daripada RM29 juta kepada RM33 juta tahun ini.

"Pertambahan dana ini adalah kerana sokongan baik yang telah diberikan oleh Sahabat AIM dalam urusan pinjaman dengan bayaran balik yang sempurna.

"Usaha yang lebih giat lagi perlu dijalankan untuk menguar-uarkan usaha niaga dan aktiviti perniagaan sahabat-sahabat AIM agar penduduk setempat dan juga orang ramai mengetahui dengan lebih lanjut mengenai AIM," katanya ketika menutup Ekspo Jualan Usahawan Niaga AIM di Sekolah Menengah Jerai, Kupang semalam.

Sementara itu, Pengurus Cawangan AIM, Halimaton Yaakob berkata, selama 24 tahun AIM beroperasi di sini, daftar keahlian sahabat AIM terkini ialah seramai 3,778 orang dengan pembahagian operasinya mengikut blok.

0 ulasan:

Catat Ulasan