Khamis, 6 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Dong Zong melampau - Kok Seong

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir pada Bicara Eksekutif Budaya 2013 Kesantunan Bahasa Melayu Dalam Komunikasi Dan Penulisan Mutakhir di Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan, semalam.

KUANTAN 6 Jun - Masyarakat Cina khususnya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu sedar tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai 'Cina' kecuali di Malaysia.

Sehubungan itu, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong mahu pertubuhan itu berhenti membuat tuntutan melampau sebaliknya menggunakan pendekatan mengambil kira resam 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.

Menurut beliau, realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dengan orang Melayu merupakan pemilik kuasa dominan perlu diakui semua pihak termasuk masyarakat Cina.

Sehubungan itu, tambahnya, pelantikan menteri tidak fasih berbahasa Mandarin yang dibangkitkan Dong Zong baru-baru ini bukan isu besar.

"Perkara ini melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat orang Cina hidup di Malaysia ini.

"Kalau pergi Indonesia, orang Cina kena tukar nama dan sekolah Cina tidak ada, Thailand pun sama. Di Malaysia kita boleh jadi orang Cina, pergi ke sekolah Cina dan merayakan apa-apa sahaja perayaan," katanya.

Beliau berucap dalam Program Bicara Eksekutif Budaya 2013 bertajuk Kesantunan Bahasa Melayu Dalam Komunikasi dan Penulisan Mutakhir di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini hari ini.

Sementara itu, Kok Seong berkata, pelantikan dua anggota Kabinet, Senator Datuk Paul Low dan Datuk Mary Yap Kain Ching hanya kerana tidak fasih bahasa Mandarin tidak wajar dipertikai kerana bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

"Masyarakat Cina cakap mereka ini tidak layak jadi pemimpin mereka, sampai tahap itu sekali. Malah, masyarakat Cina walaupun setelah 55 tahun merdeka, ada yang tidak boleh memahami bahasa Melayu.

"Apakah ceramah perlu disampaikan dalam bahasa Cina (Mandarin). Kita ada bahasa sendiri (kebangsaan). Sepatutnya perkara ini tidak timbul kerana pemimpin tidak perlu fasih dalam bahasa Cina hanya kerana hendak berkomunikasi dengan mereka," katanya.

Sementara itu, katanya, penyatuan nasional yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bertepatan dengan keadaan masa kini.

Tambah beliau, kaedah terbaik menyelesaikan masalah perpaduan itu ialah dengan mewujudkan Sekolah Wawasan.

"Sistem persekolahan sekarang telah memecah-belahkan anak-anak bangsa pada usia muda. Jadi kita kena fikirkan cara selesaikan masalah ini.

"Saya rasa Sekolah Wawasan adalah jalan terbaik. Kita bina sekolah tiga aliran ini sebelah menyebelah supaya akhirnya akan mempertingkat integrasi antara pelajar," katanya.

AGM DAP diadakan tanpa notis?

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Jun - Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan (gambar) mencabar pemimpin tertinggi DAP meletak jawatan dengan serta merta sekiranya benar parti itu telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tanpa pemberitahuan notis kepada beberapa cawangannya.

Menurutnya, cabaran tersebut 'wajib' disahut bagi membuktikan kepimpinan tertinggi parti itu tidak menyembunyikan sebarang agenda atau mempermainkan ahli-ahli untuk kepentingan tertentu.

"Saya cabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Penasihat parti, Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke tampil membuktikan perkara itu adalah tidak benar.

"Saya tidak akan bersuara jika tidak ada bukti dan oleh itu, saya cabar mereka berundur daripada parti jika saya berjaya membuktikan bahawa AGM telah diadakan tanpa pemberian notis kepada beberapa cawangan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan DAP mungkin berdepan dengan satu lagi kemelut dalam kalangan ahlinya sendiri berikutan keputusan 'tergesa-gesa' kepemimpinan tertinggi untuk mengadakan AGM setiap cawangan parti itu sejak dua minggu lalu.

Seorang pemimpin kanan DAP yang enggan namanya disiarkan mendakwa, AGM itu dipercayai bagi 'mencantas' cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lalu.

Jelasnya, setiap Pengerusi Negeri telah diberi arahan untuk segera mengadakan AGM di negeri masing-masing dengan segera namun yang menjadi persoalan ialah ramai ketua cawangan masih samar-samar dengan keputusan itu.

Ramanan berkata, ketiga-tiga pemimpin itu harus menyahut cabaran seandainya parti itu benar-benar telus dan demokratik.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan pemimpin tertinggi parti yang dikatakan sering menyebarkan fitnah khususnya kepada generasi muda untuk mencapai agenda politik mereka.

Ramanan berkata, DAP tidak perlu mengelirukan umum dengan memanipulasi perkara sebenar.

"Kit Siang dalam blognya menulis Utusan dan UMNO cuba menjatuhkan DAP dengan pembohongan. Saya hendak tahu adakah AGM yang sedang dijalankan ketika ini sudah dimaklumkan kepada setiap cawangan ? Mengapa terus menyerang Utusan dan UMNO?.

"Parti itu dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah, jika DAP dan Kit Siang benar-benar telus, mereka tidak seharusnya cuba memanipulasi isu sebenar tetapi sekurang-kurangnya menyiasat pendedahan itu. Jangan hanya demokratik pada nama sahaja, hakikatnya lebih bersifat kuku besi," katanya.

Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin parti tersebut yang setiap kali suka menuduh pihak lain bagi kesalahan dalaman parti berkenaan.

Jelasnya, setiap kali apabila wujud isu berkaitan parti itu seperti kesilapan pemilihan CEC dan salah taip kos projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, mereka dilihat hanya menyalahkan pihak lain.

"Jangan sekali-kali cuba memutar belit kebenaran, belajarlah untuk memikul tanggungjawab dengan tidak menuduh pihak lain atas kesalahan sendiri," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan