Ahad, 31 Julai 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Pembangkang mula sisih Anwar

Posted:

Pembangkang mula sisih Anwar

Pembangkang mula sisih Anwar

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar bersama Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan lain-lain pemimpin pembangkang mengenai pilihan raya kecil Kota Seputeh selepas mesyuarat khas Pakatan Rakyat di Parlimen pada 2009.


PADA 25 Julai lalu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chandra Muzaffar berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah liabiliti kepada pembangkang.

Pelbagai masalah moral yang melumuri Penasihat PKR itu telah menyebabkan dua rakan sekutu parti tersebut iaitu Pas dan DAP pening kepala. Mereka memerlukan Anwar tetapi Anwar sendiri banyak masalah.

Justeru bukanlah satu yang menghairankan apabila wujudnya dakwaan bahawa pembangkang kini terutamanya Pas berusaha memancing Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai pembangkang bagi menggantikan Anwar.

Pelawaan itu didakwa dilakukan memandangkan majoriti pemimpin-pemimpin pembangkang mungkin semakin yakin bahawa Anwar tidak akan terlepas dalam kes liwat melibatkan pembantu peribadinya Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Oleh itu pembangkang perlu mencari alternatif bagi memastikan pakatan mereka tidak kehilangan nakhoda.

Tengku Razaleigh dipilih mungkin kerana berdasarkan rekod bahawa beliau pernah menyatukan pembangkang suatu ketika dulu melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif.

APU melibatkan kerjasama antara Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan beliau dengan Pas, manakala Barisan Alternatif pula melibatkan S46 dengan DAP.

Dua kerjasama berkenaan diwujudkan kerana pada masa itu, Pas dan DAP tidak boleh berada sekapal berbanding sekarang yang sudah boleh tidur satu katil, satu bantal, satu selimut biar pun mimpi berbeza.

Bagaimanapun penulis tidak berhasrat untuk menghuraikan soal kedudukan atau pendirian Tengku Razaleigh, apa yang hendak ditegaskan ialah bagaimana sokongan terhadap Anwar semakin luntur dalam pakatan pembangkang sendiri.

Sememangnya sentimen tidak mahukan Anwar bukanlah baru malahan ia sudah lama wujud terutamanya di kalangan penyokong-penyokong Pas. Mereka merasakan masalah moral Anwar banyak menjejaskan kredibiliti pakatan pembangkang dari semasa ke semasa.

Menurut pengikut Pas mereka sudah letih apabila perlu berhujah setiap masa bagi mempertahankan Anwar dan ini termasuklah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanan itu yang terpaksa 'bersilat' bagi membela Anwar dalam isu melibatkan moral ketua pembangkang berkenaan.

Malahan kadang kala dalam tindakan itu, imej Pas sebagai sebuah parti Islam terjejas. Ia termasuklah apabila Abdul Hadi membuat kenyataan bahawa rakaman video tidak boleh menjadi saksi kerana ia adalah 'besi'.

Kenyataan itu biar pun menggembirakan Anwar dan penyokongnya tetapi menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat. Pas dilihat benar-benar tersepit kerana terpaksa berhujah apa sahaja untuk mempertahankan Penasihat PKR tersebut demi kepentingan politik bersama.

Pas juga semakin tersepit apabila dilihat terlalu bergantung kepada Anwar demi meraih kuasa sehingga sanggup mengenepikan yang benar itu benar dan yang batil itu batil.

Parti itu berbuat demikian bukan kerana merasakan tidak bersalah tetapi terpaksa melakukan sandiwara politik demi kepentingan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun akhirnya, Pas mungkin mula menyedari bahawa Anwar tidak selamanya perlu dibela. Alternatif perlu dicari bagi memastikan tidak berlaku kekosongan jika Anwar terpaksa kembali ke penjara Sungai Buloh.

Oleh itu, mahu tidak mahu demi survival politik pembangkang terutamanya dalam mencapai impian ke Putrajaya, pengganti Anwar perlu dicari.

Pas tidak mahu memilih di kalangan pemimpin DAP untuk menjadi ketua begitu juga DAP mereka sudah pasti sampai kiamat pun tidak akan membenarkan mana-mana pemimpin Pas menjadi ketua pembangkang selagi mereka ada kekuatan. Justeru alternatif di luar pakatan dicari dan Tengku Razaleigh dilihat pemimpin paling layak.

Anwar sudah pastilah kecewa dengan perkembangan ini kerana tidak menyangka bahawa Pas akan mengamalkan politik tikam belakang.

Di hadapan umum, mungkin Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain akan menafikan apa yang sedang berlaku tetapi secara tersirat Anwar sememangnya sudah tidak diperlukan lagi oleh pembangkang.

Tambahan pula, satu kajian baru-baru ini menunjukkan sokongan rakyat termasuklah di kalangan kaum India dan Cina terhadap Anwar semakin merudum di seluruh negara.

Ia ditambah pula dengan jumlah kehadiran ke majlis-majlis ceramah Anwar yang dikatakan merosot teruk. Sokongan yang semakin merosot kepada Anwar juga turut menyeret parti pembangkang yang lain terutamanya Pas.

Semua ini memberikan petunjuk kepada pemimpin-pemimpin pembangkang lain terutamanya Pas bahawa Anwar bukanlah harapan baru mereka, sebaliknya Anwar adalah bebanan yang harus dilepaskan jika pembangkang berhasrat meraih sokongan rakyat.

Apatah lagi berbanding dengan pemimpin-pemimpin pembangkang lain sama ada daripada DAP mahupun Pas tidak pernah berlaku di kalangan mereka yang berhadapan dengan dakwaan masalah moral yang begitu buruk seperti mana dihadapi oleh Anwar.

Semua ini sudah tentulah telah lama berada dalam kotak pemikiran pemimpin-pemimpin pembangkang yang pada mulanya melihat Anwar 'anugerah Tuhan' untuk mereka.

Apa pun sudah jelaslah kini bahawa Anwar tidak lagi pemimpin kebal atau ulung dalam pembangkang. Beliau kini perlu bersedia untuk disingkirkan bila-bila masa.

Anwar mungkin akan berusaha untuk menghalang apa yang dirancang itu menjadi kenyataan tetapi ia sekurang-kurangnya memberi isyarat kepada beliau bahawa sudah ada gerakan untuk menyingkirkan beliau daripada menerajui pembangkang.

Hasrat menyingkirkan Anwar itu juga menunjukkan selama ini Pas dan DAP amat memahami sejauh mana kekuatan PKR.

Jika PKR kuat sudah pastilah tidak akan wujud usaha untuk menggantikan Anwar sebagai pemimpin utama pakatan pembangkang tetapi PKR tidak ada apa-apa kekuatan.

Selama ini PKR wujud atas ehsan Pas dan DAP, jika kedua-dua parti itu tidak memberi bantuan sewajarnya, PKR tidak akan ke mana.

Ia termasuklah bersikap baik hati seperti mana ditunjukkan oleh Pas yang sanggup mengorbankan kerusi selamat mereka kepada PKR demi kerakusan ingin berkongsi kuasa, kesudahan Pas pula yang dilihat bagaikan 'melukut di tepi gantang' – satu status yang sepatutnya disandang oleh PKR jika dikaji dari segi sejarah parti masing-masing.

Apa pun Anwar kini semakin memahami betapa bahayanya politik tikam belakang - satu amalan politik yang tidak asing lagi bagi beliau sama ada semasa dalam pembangkang atau kerajaan suatu ketika dulu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Bukan sekadar angka

Posted:

Bukan sekadar angka

Bukan sekadar angka

Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my


Halim Shafie
Pengerusi TM


SIAPA kata penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak menghargai teknologi maklumat? Hakikatnya mereka lebih menghargainya dan memerlukannya. Mereka menganggap kemudahan itu sebagai satu rahmat yang besar.

Melihat kepada riak wajah dan keterujaan pelajar-pelajar sekolah serta penduduk di kawasan terpencil yang bertepuk tangan dan bersorak gembira setiap kali Telekom Malaysia Berhad (TM), syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di negara ini membantu kerajaan melancarkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkenaan, ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga.

Bagi Pengerusinya, Datuk Dr. Halim Shafie, menyaksikan sendiri kegirangan masyarakat pedalaman tersebut dengan sambutan mesra yang diberikan, membuatkan beliau merasa gembira sekali gus terharu.

''Kemudahan ini bukan sekadar angka, tetapi lebih daripada itu. Anda akan merasakan kepuasan dengan melihat reaksi mereka, perjalanan yang jauh dan kepayahan kami untuk sampai ke kawasan-kawasan pedalaman yang terlibat dirasakan amat berbaloi," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Jelas Halim, ia bukan hanya misi untuk meluaskan kemudahan berkenaan ke kawasan terpencil, tetapi yang lebih utama memberikan perkhidmatan itu kepada masyarakat luar bandar dan pelajar-pelajar sekolah yang memiliki pelbagai potensi yang boleh dikembangkan menerusi kebaikan ICT.

Betapa tidak, melalui kemudahan ICT mereka boleh menimba pelbagai ilmu, tidak hanya bergantung kepada buku teks selain meluaskan jaringan komunikasi mereka yang terhad. Bagi penduduk lainnya pula, mereka boleh berhubung dengan anak-anak, saudara-mara, rakan-taulan yang jauhnya beratus-ratus kilometer dari kawasan yang mereka diami.

Melalui projek e-Bario, iaitu projek perintis Internet luar bandar yang dimulakan pada 1999 dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), ia sebenarnya adalah cabaran yang amat besar kepada TM, kerana bukan mudah untuk mengadakan kemudahan berkenaan di kawasan tanah tinggi pedalaman di utara negeri itu yang hanya boleh sampai dengan pengangkutan udara.

Projek e-Bario yang pernah memenangi Anugerah e-Asia di Taipei pada 2004 itu membolehkan penduduk di kawasan berkenaan yang rata-ratanya masyarakat Kelabit berhubung dengan dunia luar.

''Dengan kemudahan ini, ada masyarakat Kelabit di sana ada yang singgah dulu ke pusat Internet ini untuk berhubung dengan sanak saudara dan rakan-rakan di luar, sebelum mencari rezeki," kata Halim yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 2006 hingga 2009 itu.

Dalam merapatkan lagi jurang digital antara bandar dan luar bandar, TM juga memainkan peranannya membantu kerajaan menjayakan Program Internet Desa (PID) yang mula dilaksanakan dalam tahun 2000 dengan 14 lokasi perintis di seluruh negara bersama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) ketika itu dan Pos Malaysia Berhad.

''PID menyediakan infrastruktur ICT termasuk peralatan komputer dan talian Internet, serta penyediaan latihan berterusan yang percuma kepada masyarakat luar bandar.

''Setiap PID diuruskan oleh seorang penyelia dan penolong penyelia yang mempunyai ijazah dan diploma yang dilantik oleh kementerian untuk menyenggara PID," jelas beliau.

Kemudahan yang disediakan di setiap PID melibatkan antara lima hingga sembilan unit komputer, dua unit pencetak, masing-masing satu unit untuk pencetak warna, pengimbas, kamera digital dan talian Internet jalur lebar.

Tambah beliau, TM juga terlibat dalam Rangkaian Penyelidikan dan Pengajaran Kebangsaan (Myren) yang menyediakan jalur lebar khusus berkapasiti tinggi yang menghubungkan 28 institusi pengajian tinggi, masing-masing 20 buah politeknik dan kolej komuniti, institut penyelidikan dan makmal saintifik untuk menjalankan penyelidikan dan pendidikan yang dilancarkan pada 2003.

Rangkaian itu berhubung terus dengan komuniti penyelidik dan pendidik yang berada di Asia Pasifik, Australasia, Eropah dan Amerika Utara melalui Trans Eurasian Information Network 3 (TEIN 3).

''Bermula 2004 pula, TM terlibat dalam projek SchoolNet yang ideanya dicetuskan oleh KTAK dan Kementerian Pelajaran. Ia melibatkan penyediaan capaian Internet jalur lebar untuk 10,000 buah sekolah di seluruh negara," jelas beliau.

Dengan SchoolNet, pelajar-pelajar di seluruh negara sama ada di sekolah rendah dan sekolah menengah mendapat faedah daripada akses jalur lebar dan aplikasi-aplikasi Internet.

SchoolNet mewujudkan satu persekitaran pembelajaran lebih dinamik yang memberikan akses pantas kepada maklumat pendidikan online serta komunikasi interaktif. Para pelajar juga boleh bertukar-tukar data dan maklumat dengan pengguna lain menerusi rangkaian tersebut.

Bagi memastikan SchoolNet dimanfaatkan sepenuhnya, pada Januari 2008, satu program sekolah angkat yang dikenali sebagai GITN TechnoGogy Learning in Schools (GTL Schools) dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Program GTL ini melibatkan sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negara. Sekolah-sekolah ini dipilih berdasarkan kadar penggunaan SchoolNet yang rendah.

TM juga, kata Halim, terlibat dalam program Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility atau PINTAR yang dicetuskan oleh Kementerian Kewangan bersama-sama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Program itu yang bermula pada Januari 2007, menyaksikan TM mengambil dua buah sekolah di Pulau Pinang sebagai sekolah angkatnya iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda (SKBIM) dan Sekolah Kebangsaan Seri Penanti (SKSP) di Bukit Mertajam.

TM memperuntukkan RM400,000 untuk tempoh 3 tahun bagi kedua-dua sekolah tersebut mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah latihan dan bengkel peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bengkel Bahasa Inggeris, bengkel pengurusan dan penyelenggaraan komputer, kursus-kursus motivasi dan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur.

Melalui projek itu, TM melengkapkan sekolah-sekolah berkenaan dengan komputer – komputer yang dilengkapi dengan sambungan jalur lebar untuk akses Internet yang lebih baik. Kelas-kelas Aplikasi Internet dan Penyelenggaraan Komputer serta kursus motivasi turut disediakan untuk manfaat para pelajarnya

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan jurang informasi antara sekolah-sekolah di kawasan bandar dan luar bandar dalam mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan bagi membawa negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan