Rabu, 27 Julai 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


‘Habiskan! Habiskan!’

Posted:

'Habiskan! Habiskan!'

'Habiskan! Habiskan!'

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 27 Julai – Pada petang 29 Ogos tahun lalu, bekas peguam N. Pathmanabhan dikatakan telah membuat perancangan untuk membunuh seseorang dengan memberi arahan kepada pekerja-pekerja ladangnya untuk 'ajar' atau 'habiskan' dua orang yang akan datang ke Ladang Gadong keesokan harinya.

Kira-kira pukul 7 petang, 30 Ogos 2010, peguam terbabit dikatakan telah tiba di ladang terbabit dengan sebuah kereta BMW X5 yang turut dinaiki seorang wanita Melayu dan pemandunya yang juga seorang Melayu diikuti oleh dua lelaki Melayu menaiki BMW Salon.

Apabila semuanya turun dari kenderaan, Pathmanabhan dikatakan telah mengatakan 'habiskan' yang bermaksud ajar dan bunuh berulang kali dalam bahasa Tamil dan ekoran daripada 'arahan' tersebut, pekerja bekas peguam itu yang bernama Ravi telah memegang pemandu BMW X5, T. Thilaiyalagan memegang wanita tersebut manakala K. Sarawanan dan U. Suresh (gambar) memegang dua lagi lelaki.

Dan apabila wanita Melayu tersebut enggan menelefon keluarganya, tertuduh pertama itu dikatakan telah menyuruh Suresh dan rakan-rakannya untuk menakut-nakutkan wanita itu dengan memukul pemandu kereta mewah terbabit.

Melihat pemandu tersebut yang dikatakan telah dipukul dengan kayu di paha dan tangan, wanita itu dan dua lagi lelaki mula menelefon keluarga masing-masing akibat ketakutan.

'Insiden' ngeri tersebut merupakan antara cadangan-cadangan yang diberikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Saiful Edris Zainuddin sewaktu menyoal balas saksi mereka sendiri, Suresh, 27.

Suresh yang kini sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka bagaimanapun menafikan kesemua perkara itu termasuk cadangan bahawa dia mengenali Pathmanabhan yang dikatakan majikannya.

Penafian demi penafian yang dibuat oleh saksi pendakwa ke-29 itu telah menyebabkan, Ishak mengemukakan permohonan untuk mencabar kebolehpercayaan keterangan Suresh.

Sepanjang membuat penafian ini, lelaki itu tidak langsung mengangkat mukanya untuk melihat ke arah pendakwaan malah ketika diminta mengecam kayu kriket, Suresh hanya memandang bahan itu untuk seketika dan tidak langsung menyentuhnya walaupun telah diminta berbuat demikian oleh Ishak.

Dia bagaimanapun, dalam keadaan duduk dengan sebelah tangan diletakkan di atas penyandar belakang kerusi saksi dilihat sempat 'main mata' dan tersenyum ke arah rakan-rakannya terutama R. Matan yang berada di kandang tertuduh sewaktu mahkamah berhenti rehat seketika.

Suresh dipenjara selepas Mahkamah Tinggi di sini meminda hukuman tujuh tahun yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Majistret Telok Datuk dekat sini selepas mengaku bersalah membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; dan tiga rakannya.

Hakim Datuk Akhtar Tahir sebelum itu membenarkan Suresh disoal balas oleh pihak pendakwaan setelah berpendapat bahawa walaupun Suresh tidak boleh dianggap berpaling tadah tetapi dia tidak membantu pihak pendakwaan.

Dalam keterangannya, Suresh terus menafikan, tidak bersetuju atau tidak ingat terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Saiful Edris antaranya, telah diarahkan oleh Pathmanabhan agar meletakkan kenderaan BMW X5 di tempat jauh, buang kuncinya dan jangan tinggal sebarang cap jari.

Dia juga menafikan bahawa Thilaiyalagan dan Matan ada menyuruhnya menyerahkan baju yang dipakai pada malam kejadian sebelum membuang pakaian itu ke tempat pembakaran selepas pulang dari meninggalkan kereta mewah terbabit serta memintanya mandi air kunyit.

Bagi 'insiden' yang dikatakan berlaku pada pagi 31 Ogos 2010, Suresh tidak bersetuju ada melihat Thilaiyalagan dan Matan sedang mengutip abu dan memasukkan ke dalam satu tong berwarna biru sebelum menaikkan tong itu ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

Sebelum membuang abu tersebut ke dalam Sungai Panchau dekat sini, Thilaiyalagan dan Matan dikatakan ada memberitahu Suresh bahawa di dalam tong biru tersebut ada abu mayat seorang perempuan dan tiga lelaki yang mana cadangan ini juga turut dinafikan oleh saksi itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

23 percanggahan dalam keterangan Suresh

Posted:

23 percanggahan dalam keterangan Suresh

23 percanggahan dalam keterangan Suresh

SHAH ALAM 27 Julai - Pekerja ladang, U. Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi hari ini memberi 23 keterangan yang bercanggah di Mahkamah Tinggi di sini dengan kenyataan kepada pihak polis pada 26 Oktober tahun lalu.

Berikutan itu, Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd, Yusoff untuk mencabar kebolehpercayaan saksi pendakwaan ke-29 itu selepas mendapati percanggahan tersebut adalah penting serta material.

''Terdapat 23 percanggahan. Saya telah mendengar keterangan saksi dan melihat kenyataan saksi. Saya dapati 22 daripada percanggahan itu adalah material.

''Jadi permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi dibenarkan. Pihak pendakwaan boleh memulakan prosiding (mencabar kebolehpercayaan saksi),'' kata beliau.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Suresh semasa prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan lelaki itu sebagai saksi pendakwaan, mengaku menurunkan tandatangan serta mengenal pasti rakaman percakapan yang diambil oleh Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong bertarikh 26 Oktober 2010.

Dia bagaimanapun tidak mengaku isi kandungan kenyataan tersebut diberikan olehnya dan mendakwa ia diambil secara paksa selain turut dipukul.

Berikutan penafian itu, Hakim Akhtar membenarkan pihak pendakwaan memulakan prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi menentukan sama ada rakaman percakapan Suresh boleh diterima sebagai bahan bukti atau sebaliknya sebelum keputusan tentang kebolehpercayaan saksi dibuat.

Dalam prosiding TWT tersebut, Seng Keong sebagai pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi memberitahu, rakaman video turut dibuat semasa kenyataan Suresh diambil bagi mengelakkan sebarang tohmahan.

Beliau yang merupakan saksi pertama TWT berkata, rakaman video itu dilakukan oleh Detektif Sarjan Abdul Hadi Ismail semasa kenyataan Suresh dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah di Penjara Sungai Udang, Melaka antara pukul 7 dan 11.30 malam, 26 Oktober 2010.

''Rakaman percakapan divideokan bagi mengelakkan sebarang tohmahan bahawa percakapan ini dibuat secara paksa.

''Selepas mengajukan soalan peribadi seperti tarikh lahir, alamat, saya terangkan kedudukan Seksyen 112 dan ia dijelaskan dalam bahasa Tamil yang mudah oleh jurubahasa, Detektif Koperal Kamarudin,'' jelasnya.

Dalam prosiding itu, Suresh yang memakai pakaian banduan dibenarkan berada di dalam mahkamah untuk mendengar keterangan saksi dengan ditemani seorang pegawai penjara.

Menurut Seng Keong, Suresh yang menganggukkan kepala dan memberitahu dia faham tentang amaran yang dibacakan telah menjawab setiap soalan yang ditanya manakala beliau menaip terus jawapan tersebut.

Beliau, Suresh dan jurubahasa kemudian menurunkan tandatangan masing-masing pada rakaman percakapan setebal 24 muka surat itu sebelum ia diserahkan kepada pengawai penyiasat, ASP Ishak Yaakob.

Semasa menjawab soalan peguam yang mewakili Suresh, A.S. Dhaliwal, Seng Keong memberitahu, dia tidak bertanya sama ada Suresh dipukul atau mengadu diancam sebelum rakaman percakapan dibuat.

Beliau juga tidak mengetahui tentang urusan keluar masuk serta rakaman percakapan daripada Suresh dengan pihak penjara kerana ia diuruskan oleh pegawai penyiasat kes.

Perbicaraan yang masuk hari ke-12 bersambung Jumaat ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan