Rabu, 27 Julai 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Biometrik: 1.3 juta belum daftar

Posted:

Biometrik: 1.3 juta belum daftar

Biometrik: 1.3 juta belum daftar


HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kanan) disambut meriah sebahagian pekerja warga asing di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN


PUTRAJAYA 26 Julai – Ke manakah mereka? Tinggal lima hari lagi Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah berakhir tetapi lebih 1.3 juta pekerja asing yang sepatutnya mengambil peluang pendaftaran itu belum berbuat demikian.

Sehingga semalam, hanya 390,404 daripada 1.75 juta pekerja asing mendaftar sejak program bermula 13 Julai lalu, sedangkan Kementerian Dalam Negeri menegaskan tempoh akhir Ahad ini tidak akan dilanjutkan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk memberikan 'keistimewaan' kepada majikan dan pekerja asing yang mendaftar awal dalam program berkenaan.

"Saya sedang mempertimbangkan bila masa program pemutihan nanti, kita beri keutamaan kepada majikan yang memerlukan pekerja asing kepada majikan yang mendaftar awal.

"Lagi lambat (majikan mendaftar), lagi susah dia nak dapat pekerja asing. Jangan salahkan saya kerana bila kita suruh mereka buat (daftar), mereka liat nak pergi tetapi bila nak pekerja asing, macam-macam alasan diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan operasi pendaftaran pekerja asing sah di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, program yang dilaksanakan kerajaan itu bukan bertujuan untuk berseronok atau menyusahkan orang ramai sebaliknya, ia mempunyai agenda yang lebih besar terutamanya dalam menjamin keselamatan negara.

Katanya, program transformasi besar-besaran Jabatan Imigresen itu juga dapat menangani pelbagai masalah dan cabaran, antaranya mengatasi situasi kemungkinan pekerja sah lari meninggalkan majikan asal untuk menyertai Program Pemutihan, membendung isu pemerdagangan manusia dan sebagainya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga dapat mengetahui jumlah sebenar pekerja asing di negara ini, yang kemudiannya akan disalurkan ke sektor-sektor tertentu mengikut jumlah keperluan mereka.

"Bagi pekerja asing yang masih mempunyai permit yang sah dan lari daripada majikan, kita akan senaraihitamkan mereka dan tidak akan dibenarkan menyertai Proram Pemutihan," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan terhadap program yang dilaksanakan kerajaan itu untuk mengaut keuntungan kerana ia boleh menjejaskan nama negara.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, walaupun jumlah yang mendaftar masih kurang, beliau percaya angka itu akan meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi kerana mengikut rekod Jabatan Imigresen, terdapat 1.75 juta pekerja asing sah yang bekerja di negara ini.

Katanya, setakat ini beliau berpuas hati dengan operasi pendaftaran itu di kesemua 37 pejabat imigresen seluruh negara kerana purata tempoh yang diambil bagi mendaftar seseorang pekerja asing hanya mengambil masa dua minit sahaja.

"Secara umumnya saya berpuas hati dengan operasi pelaksanaan pendaftaran yang dilaksanakan di semua pejabat Imigresen seluruh negara khususnya komitmen tinggi yang ditunjukkan setiap petugas Jabatan Imigresen yang sanggup bekerja sehingga lewat malam termasuk beroperasi 24 jam," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

TPM lancar Sekolah Dalam Hospital

Posted:

TPM lancar Sekolah Dalam Hospital

TPM lancar Sekolah Dalam Hospital

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


Guru Sekolah Dalam Hospital, Muhammad Sufyan Bujang berbincang dengan anak-anak muridnya sewaktu majlis pelancaran Sekolah Dalam Hospital di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program perintis Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang melibatkan tiga buah hospital di Lembah Klang.

Tiga hospital terbabit ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Penubuhan SDH di tiga sekolah berkenaan yang juga dikenali dengan Projek Hati Nurani adalah hasil kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin di dalam ucapan pelancarannya di Institut Pediatrik, HKL di sini berkata, objektif utama SDH adalah untuk memastikan semua kanak-kanak serta remaja termasuk mereka yang mendapat rawatan di hospital berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

''Adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak kira di mana pun mereka berada,'' katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga penaung projek, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam ucapannya Muhyiddin turut mengucapkan penghargaan kepada isterinya kerana mengingatkan beliau supaya tidak mengabaikan masa depan pelajar-pelajar yang menerima rawatan di hospital.

''Oleh itu, apabila isteri saya menyatakan hasrat untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada golongan ini, saya bukan sekadar menyokong 100 peratus malah lebih daripada 200 peratus.

''Ini bukan disebabkan cadangan ini datang daripada isteri saya tetapi sememangnya ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita semua demi kelangsungan masa depan kanak-kanak ini,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, SDH merupakan satu program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang berbeza daripada sekolah biasa.

Ujarnya, di sekolah tersebut para pelajar akan menimba ilmu melalui pendekatan belajar secara menyeronokkan dan santai.

''Persekitaran pembelajaran yang tenang, menarik dan berwarna warni merupakan terapi semulajadi bagi pelajar dan kanak-kanak di hospital.

''Sekurang-kurangnya sesi pelajaran yang menarik dan diselang-selikan dengan permainan akan dapat membantu menghilangkan rasa bosan mereka apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital,'' katanya lagi.

Seperkara lagi beliau berkata, kewujudan SDH juga mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa apabila terhadap pelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital.

''Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.,'' katanya lagi.

Sementara itu pada sidang akhbarnya Muhyiddin berkata, sekolah itu telah memulakan sesinya di tiga hospital terlibat sejak dua minggu lalu.

''Pihak kementerian telah menyediakan 16 guru terpilih untuk memastikan projek SDH dapat dijalankan dengan baik. Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka kerana sanggup menyahut cabaran kerajaan merealisasikan usaha murni ini.

''Kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan korporat kami mengalu-alukan sekiranya mereka sedia membantu kami memperluaskan projek ini di hospital-hospital terutama di hospital besar di setiap negeri,'' katanya lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

8 veteran Pasukan Pengaman British terima anugerah

Posted:

8 veteran Pasukan Pengaman British terima anugerah

8 veteran Pasukan Pengaman British terima anugerah


Ahmad Zahid Hamidi dan Zulkifeli Mohd. Zin bergambar bersama para penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada majlis di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. Lapan veteran yang menerima anugerah itu pernah berkhidmat bersama tentera British ketika Perang Dunia Kedua,


KUALA LUMPUR 26 Julai - Pengorbanan bekas anggota Pasukan Pengaman British ketika mempertahan negara ini semasa zaman darurat, terus mendapat penghargaan daripada kerajaan Malaysia.

Terbaru lapan veteran pasukan itu, Paul Dorairaj; Philip Geoffrey Ford; Stanley Quinn; Christoper Syer; Nicholas Waterhouse; Raymond Wells; Mejar (B) Richard Lowe dan Villanueva Adrian diberi anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis ringkas di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, semua lapan veteran tentera tersebut pernah berkhidmat di negara ini dari 31 Ogos 1957 hingga 12 Ogos 1966.

"Pengurniaan anugerah ini adalah lanjutan daripada komitmen kerajaan Malaysia terhadap pengorbanan para veteran tentera dalam mempertahankan negara semasa zaman darurat," kata kementerian itu.

Dalam pada itu, salah seorang penerima anugerah tersebut, Adrian, ketika ditemui pemberita memberitahu, dia berbangga kerana dapat menyumbang keringat buat Malaysia.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu dan kini memilih untuk menetap di Singapura berkata, rakyat Malaysia sekarang bertuah kerana menikmati kehidupan dalam suasana aman dan damai.

"Saya berbangga kerana pernah menyumbang kepada keamanan negara ini. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghargai jasa kami semua," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan