Ahad, 31 Julai 2011

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Lelaki terbakar

Posted: 30 Jul 2011 10:08 AM PDT

ALOR GAJAH: "Saya nampak pemandu Proton Wira itu bergerak lemah sebelum kenderaannya terbakar," kata seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terbabit kemalangan di jalan Kampung Paya Rumput-Lubok China, di sini, pagi semalam.

Pelajar itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd Fadhli, 19, berkata dia tidak sempat membantu pemandu kereta itu kerana api marak dengan cepat.


"Saya dan beberapa pelajar lain segera berlari ke belakang bas kerana bimbang kereta dan bas meletup.

"Pemandu bas segera menghubungi talian kecemasan dan bomba tiba dalam masa beberapa minit untuk memadam kebakaran," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Khairul Fazli Suli, 33, maut dan badannya melecur hampir 40 peratus selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas UiTM kampus Lendu.


Bagaimanapun, 24 pelajar dan dua pensyarah serta pemandu dan pembantunya di dalam bas itu tidak cedera.

Metro Ahad difahamkan, Khairul Fazli dari Port Dickson, Negeri Sembilan yang bekerja di stesen penapisan minyak sebuah syarikat di Sungai Udang datang dari arah Lubok China menuju ke Masjid Tanah sebelum kereta dipandunya dikatakan hilang kawalan.


Menceritakan kejadian itu, Mohd Fadhli berkata, dia dan beberapa penumpang lain terkejut selepas pemandu bas menekan brek kecemasan.

Katanya, pemandu bas mengelak ke kanan namun bertembung dengan kereta berkenaan.


"Sebaik berlaku kemalangan, pemandu bas segera turun dan membuka pintu kecemasan lalu mengarahkan semua penumpang turun kerana bimbang bas terbakar.


"Kami sepatutnya menghadiri satu program di Eagle Ranch, Pasir Panjang namun terkandas di tengah jalan kerana kejadian ini," katanya.


Sementara itu, pemandu bas, Mohamad Amin, 46, berkata ketika di tempat kejadian, sebuah kereta dilihat hilang kawalan lalu merempuh bahagian depan bas dipandunya.


"Saya cuba tekan brek sejauh 50 meter namun disebabkan jalan licin, bas terus bergerak dan pada masa sama saya cuba mengelak ke kiri jalan.


"Bagaimanapun, bas dipandu tetap terbabit kemalangan dengan kereta itu. Sebaik berlaku kemalangan, saya segera turun dan mengarahkan penumpang turun melalui pintu kecemasan," katanya yang bertolak dari UiTM Lendu jam 8.10 pagi menuju ke Pasir Panjang, Negeri Sembilan.


Menurutnya, dia bersyukur semua penumpang bas tidak cedera, namun terkilan kerana tidak dapat membantu Khairul Fazli yang melecur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Ibu serah wang pada peguam

Posted: 30 Jul 2011 09:05 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Sepatutnya Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, yang ditolak permohonannya untuk menukar nama di dalam MyKad kepada Aleesha Farhana mengemukakan rayuan hari ini dan dia juga menyerahkan wang RM6,000 kepada peguamnya Horley Isaacs, namun hasratnya tidak kesampaian apabila meninggal dunia semalam.

Horley ketika dihubungi mengakui terkilan dan sedih dengan kematian anak guamnya sambil memberitahu, wang berkenaan dihantar ibu Mohd Ashraf yang hanya dikenali sebagai Mak Yah, 50, sewaktu mengunjungi pejabatnya di sini, Khamis lalu, untuk mengemukakan rayuan di mahkamah hari ini.


Menurutnya, Mohd Ashraf juga menemuinya Isnin lalu untuk berbincang mengenai permohonan rayuan itu dan Allahyarham dilihat dalam keadaan sangat tertekan serta murung.

Katanya, hari ini hari ke-14 iaitu tarikh terakhir untuk dia membuat rayuan, malangnya ia tidak sempat ditunaikan kerana anak guamnya meninggal dunia.


"Ketika mengunjungi pejabat saya untuk berbincang mengenai keadaan dan permohonannya, dia kelihatan sangat tertekan dan saya menasihatkannya bersabar kerana akan mengemukakan rayuan di mahkamah.


"Dia berkata kepada saya, tujuannya menukar nama hanya kerana mahukan sebuah kehidupan, bukan untuk melakukan perbuatan haram," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menghubungi sebuah firma guaman di Kuala Lumpur yang berminat mengendalikan kes Mohd Ashraf bagi mengemukakan permohonan rayuan itu.


"Firma guaman itu hanya meminta Mohd Ashraf menampung perbelanjaan proses rayuan dan menawarkan khidmat guaman percuma kerana simpati dengan nasibnya, tetapi semuanya sudah terlewat," katanya yang tidak lagi mahu mengendalikan kes seperti apa dilakukannya untuk Mohd Ashraf selepas ini kerana kecewa dan sedih.

Dalam pada itu, Horley berkata, dia kecewa kerana sehingga kini Parlimen tidak mewujudkan undang-undang khusus untuk mengendalikan kes seperti itu, menyebabkan ramai golongan senasib dengan Mohd Ashraf tidak dapat menjalani hidup sempurna dan disisihkan masyarakat.


"Ada satu kes di mana Hakim V T Singgam menolak permohonan seperti ini pada 2004 dan beliau menyatakan Parlimen perlu mewujudkan satu undang-undang untuk golongan seperti Mohd Ashraf, tetapi selepas tujuh tahun, tiada undang-undang berkaitan dirangka.


"Ini menimbulkan masalah besar kepada golongan seperti Mohd Ashraf kerana apabila kita bawa kes ke mahkamah, mahkamah kata tiada bidang kuasa mengenainya, apabila bawa ke pejabat agama, mereka kata tidak ada bidang kuasa juga, jadi ke mana mereka ini mahu pergi (rujuk).


"Jadi saya rasa, dengan apa yang berlaku pada Mohd Ashraf, kerajaan dapat membuka mata dan segera mewujudkan undang-undang berkaitan. Seperti apa yang berlaku pada Mohd Ashraf, dia tidak minta jadi begitu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

0 ulasan:

Catat Komen