Sabtu, 7 Januari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Pembangkang belum mampu

Posted:

Pembangkang belum mampu

Pembangkang belum mampu


PILIHAN Raya Umum-13 (PRU13) yang dijangka pada tahun ini dilihat sangat sengit kerana gelombang kebangkitan pembangkang dalam PRU12 pada 2008. Tetapi banyak pihak melihat gelombang itu bukan disebabkan kekuatan pembangkang tetapi faktor lain antaranya memprotes Barisan Nasional (BN).

Pada masa yang sama pakatan mempunyai masalah dalaman dan tidak sekukuh BN. Kerana itu sehingga kini pakatan pembangkang tidak mengumumkan barisan Kabinet Bayangan untuk membuktikan kepada rakyat kesungguhan mereka.

Selagi pakatan pembangkang tidak mampu mengumumkan Kabinet Bayangan, selama itulah rakyat tidak yakin apakah yang boleh dilakukan sekiranya mereka diberi mandat untuk menjadi kerajaan. Setakat ini hanya jawatan Perdana Menteri yang ditonjol-tonjolkan tetapi tidak Kabinet lain untuk rakyat melihat kewibawaan calon itu.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) PROFESOR DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN berkata, jika pembangkang serius, mereka mesti mengumumkan Kabinet Bayangan.

"Bolehkah mereka nyatakan dalam tempoh 10 saat siapa yang

layak menjadi Menteri Pertahanan sekiranya mereka menang," demikian tegas Shamsul ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID, Jumaat lalu.

MINGGUAN: Bagaimana Prof. melihat senario politik pada tahun ini? SHAMSUL: Ada dua perkara yang saya perhatikan. Pertama adalah demokrasi dalam pilihan raya dan kedua demokrasi dalam bentuk partisipasi. Ia adalah dua bentuk yang berbeza kerana bagi mereka yang mahukan partisipasi mahukan pilihan raya tetapi bagi mereka yang mahu pilihan raya belum tentu suka dengan partisipasi. Ini kerana mereka ingat hanya mereka yang mahu berkuasa dan telah dipilih. Ini memberi jurang serta implikasi yang besar kepada parti politik melalui cara berkempen, cara memilih calon, cara berhadapan dengan pilihan raya dan sebagainya. Pada saya dua perkara ini mampu memberi kesan dan saya perhatikan dalam konteks perubahan struktur susunan politik di negara ini. Ia bertukar daripada sistem pelbagai parti sebelum ini kepada sistem dua parti. Ini memberi peluang kepada rakyat untuk memilih antara A dan B.

Ini yang dipraktikkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia. Kita sedang menuju ke arah sistem dua parti tetapi belum lagi sampai ke matlamat itu. Ia bermula pada tahun 1990 apabila pembangkang melalui Semangat 46, Pas dan DAP cuba bekerjasama tetapi gagal. Cuma Barisan Nasional (BN) yang berjaya mengamalkan sistem pakatan melalui konsep perkongsian kuasa. Namun tidak ada mana-mana parti yang dominan, hanya melalui nombor (ahli) tetapi bukan kuasa. Ini kerana demokrasi bermaksud perkongsian kuasa. Pembangkang ketika itu baru mula berjinak-jinak dengan perkongsian kuasa melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Berbeza dengan BN yang telah kukuh sejak sekian lama.

Bila masanya sistem dua parti ini menjadi lebih berkesan?

SHAMSUL: Ia menjadi kuat sejak tahun 1999 di mana pembangkang mula bersatu secara serius selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun ketika itu ia masih belum jelas namun putik-putik ke arah itu sudah bermula. Namun keadaan berubah pada pilihan raya 2004 apabila BN menang besar dan pembangkang terpaksa menanggung kekalahan besar. Ini akibat dari pertukaran Perdana Menteri dan beberapa faktor lain. Namun kekalahan ini tidak menjadi barah pada pembangkang kerana mereka mengkaji faktor dan membuat perancangan yang teliti sebelum Pilihan Raya 2008 bermula. Namun yang jelas dalam Pilihan Raya 2008 mereka telah menemui formula untuk menang lebih banyak kerusi walaupun mereka tidak ada parti yang didaftar tetapi cuma berasas kepada hubungan bagi memastikan kepentingan masing-masing.

Saya bagi satu contoh di satu ADUN sebelum sistem dua parti ini berlaku. Terdapat tiga parti yang bertanding iaitu BN, Pas dan DAP. Pihak BN mendapat contohnya daripada 30,000 undi mendapat 12,000 undi. Manakala Pas dan DAP kedua-duanya mendapat 9,000 undi menjadikan jumlah 18,000 undi. di sini menunjukkan majoriti pengundi adalah bukan penyokong BN tetapi kerana tidak ada pakatan dan sistem dua parti mengakibatkan undi terpecah tiga. Yang mendapat keuntungan adalah pihak BN. Ini yang berlaku pada pilihan raya 2008 bilamana sistem dua parti mula mendapat tempat di kalangan pengundi mengakibatkan BN kalah di banyak kerusi yang sebelum ini mereka dominan. Ini yang saya katakan tadi antara demokrasi pilihan raya dan demokrasi partisipasi, bagaimana permainannya, gerak kerja serta kempen dan sebagainya.

Apakah masyarakat bersedia ke arah sistem ini?

SHAMSUL: Keadaan sekarang jelas ia ke arah demokrasi partisipasi dan tidak mustahil sistem dua parti ini akan menjadi dominan. Dalam sistem ini pemimpin dan ahli mungkin tidak kekal dan akan ada yang keluar masuk tetapi bukan parti. Satu perkara lagi, politik di negara ini mesti berlandaskan pakatan kerana tidak ada kaum yang dapat memerintah tanpa sokongan daripada kaum-kaum lain. Inilah formula yang telah digunapakai sejak 1949 lagi. Ini telah membuatkan pemimpin pembangkang perlu menubuhkan satu parti berasaskan satu nama dan ada parti-parti komponen di dalamnya seperti BN. Ini yang membolehkan sistem dua parti ini berlangsung secara rasmi. Sekarang ini sistem ini belum rasmi lagi. Namun yang menjadi permasalahan sekarang ini adalah masalah dalaman antara parti-parti pembangkang yang telah menyukarkan mereka bergabung. Ia tidak berlaku antara parti seperti PKR dengan DAP dan sebagainya walaupun terdapat serba serbi masalah antara mereka. Masalah utama adalah masalah dalaman parti.

Namun bagi kerajaan yang memerintah masalah mereka lagi teruk kerana ia tidak sahaja melibatkan antara parti tetapi jika agensi kerajaan misalnya membuat kesilapan orang melihat ia adalah masalah parti pemerintah walaupun ia tidak begitu. Sebagai contoh jika anggota polis melanggar pemandu kereta lain ia akan dilihat sebagai masalah pemerintah yang berlaku kejam walaupun ia langsung tidak melibatkan kerajaan pun. Pihak pembangkang boleh mengkritik atau menyalahkan pihak kerajaan kerana mereka adalah kerajaan yang memerintah. Perkara ini tidak boleh berlaku kepada pembangkang kerana mereka bukan kerajaan yang memerintah. Ini juga boleh berlaku kepada kerajaan negeri seperti Selangor yang diperintah pembangkang. Mereka telah dikritik dari pelbagai sudut baik dari segi agama, rasuah, jalan berlubang dan sebagainya. Namun kesannya tidaklah seperti yang dialami kerajaan pusat.

Tapi apakah parti pembangkang bersedia untuk sistem ini?

SHAMSUL: Bagi saya jika parti pembangkang serius mahu memerintah paling penting mereka perlu ada Kabinet Bayangan. Ini kerana jika tidak ia umpama pembangkang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu tetapi kemudian mereka membawa haluan masing-masing. Ini tidak boleh berlaku kerana ia melibatkan soal berkerajaan dan rakyat melihat ia sebagai sesuatu yang serius. Ini yang berlaku di negeri-negeri pembangkang yang apabila sampai ke kemuncak mereka tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Sebabnya mereka tidak bergabung kukuh sebagai satu parti. Saya ingin tahu jika pembangkang adalah satu pakatan yang kukuh, siapa yang bakal menjadi Menteri Kewangan jika mereka memerintah dan siapa pula menjadi Menteri Pertahanan. Bolehkah mereka nyatakan dalam tempoh 10 saat siapa yang layak menjadi Menteri Pertahanan. Ini penting dan rakyat mesti tahu kerana ini menunjukkan kredibiliti dan keupayaan pembangkang. Ini masalah utama dalam pembangkang mereka masih belum mengemukakan siapa yang benar-benar layak untuk menjadi barisan Kabinet. Ini belum lagi kita cerita masalah dalam parti masing-masing selain hubungan yang tidak jelas dalam pakatan pembangkang.

Andaikan pakatan menang dalam pilihan raya nanti, bagaimana keadaannya?

SHAMSUL: Saya juga mahu menyoal kembali bagaimana pembangkang mampu menang. Apakah mereka menang kerana orang ramai menyokong pembangkang atau pun kerana mereka membenci BN. Jadi kita perlu kenal pasti perkara sebenar yang berlaku. Saya berpandangan kemenangan pakatan itu tidak berasaskan semata-mata kerana rakyat mahu dan sukakan mereka. Mesti ada faktor kerana rakyat sudah membenci BN. Sebenarnya terdapat tiga golongan iaitu mereka yang membenci BN, menyokong BN dan ketiga benci kepada kedua-dua BN dan pembangkang. Saya melihat kuasa ketiga ini yang masih belum dapat dibaca pemikiran mereka oleh kedua-dua parti. Namun pada saya selagi sistem dua parti ini tidak benar-benar wujud, kuasa ketiga ini boleh menjadi alternatif. Ini yang berlaku apabila Parti Liberal Demokratik (LDP) mula mendapat sokongan besar masyarakat di Britain.

Apakah sistem dua parti ini boleh memberikan berkesan dalam sistem demokrasi negara?

SHAMSUL: Saya melihat hampir kesemua ahli politik di negara ini termasuk dari DAP terlatih dengan apa yang saya panggil Sekolah Politik Barisan Nasional. Mereka pernah menjadi orang BN, atau menyokong BN apatah lagi orang macam Anwar dan ramai lagi dalam PKR. Ini sebabnya saya lihat keadaan politik negara ini agak bermasalah kerana masih tetap meneruskan imej yang pernah atau masih dilakukan oleh BN. Oleh itu apabila rakyat mahu membuat keputusan dalam pilihan raya mereka akan melihat calon yang ada juga pernah terlibat dalam politik BN, cumanya kerana terlalu membenci BN mereka masih memberi sokongan kepada pembangkang. Ini yang berlaku pada 1999 di mana rakyat membuat keputusan sama ada mereka membenci Dr. Mahathir atau sayangkan Anwar atau sebaliknya.

Jadi akhirnya pilihan raya itu menunjukkan undi protes dan bukan kerana menyukai sesuatu parti. Saya melihat proses sistem dua parti ini akan hanya memainkan peranan sebenar apabila tidak lagi timbul sama ada rakyat mengundi kerana membenci tetapi kerana telah membuat penilaian siapa antara mereka yang menawarkan yang terbaik. Pada masa sekarang saya melihat pembangkang masih belum mampu mengambil alih kerana mereka masih belum tahu apa yang mahu dilakukan sebenarnya. Memang ramai yang suka sistem ini mampu berperanan sebagai semak dan imbang, namun apakah kita benar-benar yakin bahawa mereka sudah benar-benar bersedia untuk menjadi kerajaan. Bagi saya selagi mereka tidak boleh menyatakan satu bentuk Kabinet Bayangan yang meyakinkan, akan ada masalah untuk mereka untuk menarik sokongan rakyat. Mereka akan teraba-raba jika tidak serius dalam soal ini kerana rakyat kini sudah semakin cerdik. Rakyat akan mengundi parti mana yang jelas tentang apa yang mereka mahu lakukan untuk mereka dan negara.

Sehingga kini pun pembangkang masih tidak jelas apa yang mereka mahu lakukan jika memerintah kerana negeri-negeri yang mereka kuasai tidak melalui proses perubahan seperti yang mereka uar-uarkan dalam kempen pilihan raya lalu. Apa komen Datuk?

SHAMSUL: Ini yang menjadi masalah kepada pakatan kerana mereka masih tidak yakin dan mampu apa yang mereka boleh lakukan dan siapa yang boleh melakukannya. Sebab itu saya berpandangan kita kini sedang kearah sistem dua parti tetapi bukan bermaksud kita sudah melakukan sistem dua parti. Kita juga boleh melihat andai kata sesuatu berlaku kepada Anwar, siapa yang boleh menggantikannya. Yang ada sekarang hanya beliau sahaja yang paling layak memerintah dan tidak ada orang lain. Ini juga satu masalah yang berlaku pada mereka kerana tidak ada satu perancangan jangka masa panjang. Yang berlaku sekarang adalah pembangkang hanya tahu merancang bagaimana untuk ke puncak tetapi kerjasama yang jelas serta apa pengisian setelah berjaya ke atas langsung tidak jelas.

Adakah Prof. melihat perbezaan ketara akan berlaku sebelum pilihan raya akan datang?

SHAMSUL: Keadaan sekarang ini saya boleh katakan bahawa 30 peratus undi nanti akan pergi kepada BN dan 30 peratus lagi kepada pembangkang. Sejumlah 40 peratus lagi yang akan berada di tengah-tengah. Siapa mereka ini? Saya ambil contoh kampung saya di Jempul, Negeri Sembilan. Daripada 40 peratus ini, 30 peratus adalah mereka mereka yang menetap di bandar sama ada Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sebagainya. Mereka ini akan mendengar ceramah kedua-dua pihak dan apabila balik ke kampung untuk mengundi, mereka yang akan menentukan siapa calon yang akan menang dan siapa kalah. Mereka ini yang dipanggil sebagai pengundi ayun Jika kita tengok dalam pilihan raya lepas, jumlah majoriti tidak lebih daripada 1,000 atau 500 undi. Kalau dahulu jumlah majoriti mencecah 30,000, 10,000. Tetapi sekarang jumlah majoriti terlalu sedikit malah ada yang hanya mendapat majoriti dua undi sahaja. Kenapa ini berlaku? Ini menunjukkan undi mereka yang berada di tengah-tengah ini turun naik. Mereka boleh mengundi sesiapa sahaja yang mereka mahu.

Mereka ini bukanlah pengundi atas pagar tetapi apa yang kita panggil sebagai pengundi 'ideologikal' atau pengundi demokrasi yang partisipasi. Kita lupa bahawa mereka ini pernah menjadi penyokong tegar mana-mana parti tetapi kerana dipinggirkan atau tidak sehaluan lagi maka mereka memerhati. Itu sebabnya pada pilihan raya 1999, UMNO hanya mendapat undi satu perempat dari asal. Malah perkara ini sudah berlaku sejak 1987 apabila UMNO sendiri berpecah kepada dua pasukan dan kemudian tertubuh pula parti Semangat 46. Inilah keadaan yang berlaku kepada 40 peratus pengundi yang berada di tengah-tengah. Walaupun mereka ini tidak aktif dalam mana-mana parti namun mereka mahukan suara mereka didengari. Mereka menentang dengan jelas korupsi, rasuah, mahukan ketelusan dan sebagainya. Mereka jelas tentang hak-hak mereka dan sebagainya. Namun bagi saya politik pada tahun 2012 adalah tentang politik ketelusan. Kerajaan akan berhadapan situasi yang mencabar kerana mereka perlu memberi gambaran kepada umum tentang ketelusan yang dilakukan.

Apakah peranan NGO-NGO Melayu. Bolehkah mereka dilihat sebagai pengganti parti politik?

SHAMSUL: Saya perlu jelaskan dalam politik Malaysia tidak ada parti yang boleh menang tanpa kerjasama dengan kaum-kaum lain. Kita mengamalkan perkongsian kuasa dan ramai yang tidak faham kenapa ini diperlukan. Ramai yang bertanya kepada saya kenapa kita perlukan NGO seperti Perkasa? Sebenarnya bagi saya mereka wujud sudah agak lambat. Ini kerana Orang Cina sudah ada Siu Qiu dan India pula Hindraf. Orang Melayu pula baru nak teringat kena tubuh Perkasa. Namun bagi saya negara seperti Malaysia yang terdapat pelbagai kaum adalah sesuatu yang tidak mustahil kumpulan atau NGO mewakili kaum ditubuhkan.

Bagaimana dengan soal hubungan kaum yang dipolemikkan pihak tertentu?

SHAMSUL: Dalam soal ini selepas peristiwa 13 Mei 1969, masyarakat pelbagai kaum sudah mencapai tahap kematangan. Mereka sudah jelas bahawa tidak akan ada mana-mana kaum yang boleh dominan dan mereka sedar akan keperluan menjalin kerjasama antara satu sama lain. Kita perlu sedar bahawa negara ini adalah negara dengan majoriti kecil Mungkin dari segi pilihan raya, kaum Melayu boleh bergantung sendirian tanpa kaum lain tetapi apabila dalam hal ekonomi mereka kalah.

Namun dalam keadaan kekuatan politik orang Melayu semakin lemah kerana berpecah belah, saya ingin membuat teguran kerana ramai pihak menyerang Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah sesuatu yang teruk kerana kegagalan pelaksanaan, korup dan sebagainya. Namun apakah semua itu betul dan tidak ada satupun dari DEB ini berjaya membantu orang Melayu dan masyarakat. Saya nak tanyalah jika sebelum ini ada orang Melayu dapat kontrak RM20 juta, dia dapat untung RM2 juta melalui DEB. Orang pertikaikan kenapa dia dapat kontrak dan sebagainya. Kenapa tak orang pertikai siapa yang dapat selebihnya dari RM20 juta tadi, sudah tentu orang Cina. Tetapi mengapa tidak ada orang yang bercakap mengenainya. Apakah DEB itu hanya menguntungkan orang Melayu semata-mata sedangkan yang mengaut keuntungan besar adalah orang Cina. Kenapa orang lain perlu menjadikan hal 30 peratus penguasaan ekonomi orang Melayu sebagai isu besar sedangkan ramai di luar sana terutama kaum Cina mendapat sebahagian besar penguasaan ekonomi negara. Kita perlu jelas dan buat kajian tentang perkara ini supaya perkara fakta ini tidak lagi menjadi modal politik yang digunakan untuk memperbodohkan orang ramai.

Full content generated by Get Full RSS.

Jalan-jalan sukar bagi Syria-Iraq

Posted:

Jalan-jalan sukar bagi Syria-Iraq

Jalan-jalan sukar bagi Syria-Iraq

Oleh Zin Mahmud

JUMAAT lalu suatu serangan bom bunuh diri berlaku di Damsyik mengorbankan 25 dan mencederakan 45 orang awam.

Ia merupakan serangan kedua setelah berlaku pengeboman di tempat awam pada 25 Disember lalu. Sesiapapun yang bertanggungjawab, Damsyik dilihat sudah seperti Baghdad.

Di Baghdad pula, letupan terus berlaku dalam keadaan tentera Amerika Syarikat (AS) telah pulang.

Maka kini Iraq sudah mengamalkan demokrasi tetapi ia masih tidak aman, malah pertembungan antara Sunni dan Syiah semakin sengit.

Sementara Syria, yang turut mengalami pergolakan menuntut demokrasi yang dikenali sebagai Musim Bunga Arab, masih belum berubah rejim.

Mereka masih diperintah oleh Parti Baath. Sedangkan di Iraq, pendudukan AS ke atasnya telah menguburkan parti yang serupa.

Fahaman Baathisme yang diasaskan oleh seorang Kristian Syria, Michel Aflaq mempunyai ciri-ciri nasionalisme, fasisme dan sosialisme hanya dapat berkembang di Syria dan Iraq.

Tetapi dari segi fahaman besar, ia seiring dengan fahaman nasionalisme kiri yang turut dipegang oleh Gamal Nasser di Mesir, Muammar Gaddafi di Libya, Jaafar Numeiri di Sudan dan juga Yaman Selatan.

Pada zaman awal kemunculannya, ia popular di dunia Arab hingga mampu melahirkan gagasan penyatuan negara-negara Arab bernama Republik Arab Bersatu (UAR) berpusat di Kaherah.

Gagasan ini gagal kerana mereka yang walaupun sealiran fahaman politik tetapi telah berbalah sesama sendiri.

Malah dalam kalangan Parti Baath sendiri, antara Presiden Syria, pada masa itu, Hafez Assad dan Presiden Iraq, Saddam Hussein, perbalahan dahsyat berlaku hingga hampir tercetusnya peperangan antara keduanya.

Justeru apabila berlaku Perang Iran-Iraq, maka Damsyik, yang walaupun Arab dan sekular telah menyebelahi Teheran, yang Islamis. Dalam negaranya, rejim Baath itu menekan Ikhwanul Muslimin yang Sunni, dan Islamis secara keras dan berdarah.

Di pihak Iraq pula pada masa itu, banyak pihak Ikhwan dunia Arab menyebelahi Saddam kerana melihat Iran sebagai Syiah, walaupun Islamis. Sebaliknya Saddam ketika itu menyokong semua pembangkang Syria termasuk Ikhwan negara itu.

Banyak pihak menyangkakan, kerjasama Iran dengan Syria adalah kerana mazhab kerana Parti Baath Syria didominasi oleh penganut Syiah sementara Parti Baath Iraq adalah Sunni.

Tetapi Syiah Syria adalah dari kalangan Alawiah, yang berbeza daripada Syiah Imam Dua Belas.

Kedudukan Syiah di Syria dan Iraq adalah terbalik di antara satu sama lain. Di Syria, Syiah adalah minoriti sementara di Iraq, mereka adalah majoriti, walaupun perbezaan bilangan antara kedua-dua mazhab itu tidak besar.

Tetapi Syiah di Iraq dan Iran adalah sama aliran walaupun berbeza bangsa.

Apabila AS menyerang dan menduduki Iraq, mereka berusaha mewujudkan sistem demokrasi di situ. Maka apabila pilihan raya diadakan sudah tentu, pihak majoriti memegang kuasa.

Maka golongan Syiahlah yang mendominasi kerajaan. Mereka adalah dari kalangan Islamis pula, dan mempunyai hubungan baik dengan Iran.

Sungguhpun begitu, AS pada awal peperangan, seperti pihak yang mengajar berharap, demokrasi yang diwujudkan di Iraq akan berkembang dan merebak ke negara-negara lain terutama Syria.

Tetapi walaupun ia dapat mewujudkan demokrasi di Iraq, negara itu musnah dalam peperangan saudara yang masih belum habis malah hingga tentera AS pulang sekalipun.

Hingga akhirnya, AS tidak berharap demokrasi Iraq merebak ke negara-negara Arab lain dan hanya sibuk untuk mencari jalan pulang.

Tetapi tiba-tiba di penghujung tahun 2010, bermula di Tunisia, satu kebangkitan menuntut demokrasi merebak ke seluruh dunia Arab; suatu perkembangan yang tidak dijangka oleh AS.

Satu demi satu rejim nasionalis kiri tumbang. Dari Tunisia, ia merebak ke Mesir, Libya, Yaman dan juga Syria.

Jadi apa yang diharapkan oleh AS bahawa demokrasi bermula di Iraq yang akan berkembang ke Syria telah meleset. Tetapi sebaliknya tidak semena-mena ia bermula di Tunisia dan akhirnya sampai ke Syria.

Masalahnya bagi AS pula, apabila demokrasi diperkenalkan di negara-negara itu, parti-parti Islamis yang menang pilihan raya.

Strategik

Tetapi kini Syria menjadi perhatian utama bagi AS. Malah lebih daripada Mesir. Ini kerana kedudukannya adalah lebih strategik berbanding Mesir. Bukan saja wilayah Syria iaitu Bukit Golan masih diduduki Israel, tetapi peranannya di Lebanon juga besar.

Namun begitu, sepanjang sejarah silam Syria dan Iraq, mereka sememangnya memainkan peranan abadi dalam politik rantau itu.

Damsyik dan Baghdad adalah ibu-ibu kota kerajaan Umayah dan Abasiah yang mencorakkan peradaban Islam dan dunia.

Penubuhan Damsyik sebagai kota pemerintahan kerajaan Islam menggantikan Madinah melahirkan mazhab Syiah dan Sunni.

Atas dokongan Syiah, Umayah digulingkan dan warisnya lari ke Andalusia. Baghdad pada satu ketika menjadi kota Muktazilah yang bukan saja mesra Syiah, tetapi juga falsafah Yunani.

Damsyik mewarisi tamadun Rom dan Baghdad mewarisi peradaban Parsi. Ketika itu orang Yahudi turut bersama umat Islam, baik di Damsyik mahupun Baghdad, membina tamadun yang jauh lebih maju daripada Eropah pada zaman itu.AS pula belum wujud. Apatah lagi Israel.

Tetapi rantau yang kemudian dikenali sebagai Timur Tengah dan Asia Barat sudah wujud lama dengan pusat tamadunnya berada di sekitar Sungai Dajlah dan Sungai Furat di satu pihak, dan di Sungai Nil di pihak yang satu lagi, iaitu tamadun Firaun.

Di antara Sungai Dajlah dan Sungai Furat itulah timbul tamadun yang bernama Sumeria dan Babylon dengan wilayah itu dikenali sebagai Mesopotamia. Ia meliputi Iraq dan Syria pada hari ini.

Pergolakan politik beratus-ratus tahun yang juga melibatkan kuasa dari Parsi, Yunani, Palestin dan Rom memperlihatkan bahawa pada asasnya politik manusia tidak berubah walaupun bergantian teknologi dan budaya.

Jika membaca sejarah silam rantau ini, seperti dipaparkan dalam The History of the Near East oleh seorang penulis berketurunan Yahudi, Isaac Asimov yang lebih terkenal dengan fiksyen sains, akan dapat dikesan bahawa tingkah laku politik manusia sepanjang zaman itu tidak berubah. Ia kelihatan berubah dengan pergantian watak tetapi plot serta mesejnya adalah serupa.

Sirah Nabi menyebut wilayah berkenaan sebagai Syam di mana Rasulullah SAW pernah berniaga di situ, malah menemui seorang rahib Nasrani yang menyatakan keyakinannya terhadap kerasulan baginda.

Dalam ajaran Islam, disebut betapa dilihat runtuhan-runtuhan tamadun lalu. Rasulullah SAW melihat keruntuhan dalam perjalanannya ke Syam.

Sesungguhnya, apabila sampai masanya yang tertentu, tamadun paling gemilang akan akhirnya tumbang jua.

Kemunculan Islam telah meruntuhkan kuasa Rom dan Parsi di situ. Tetapi bila dilihat teliti, ia hanya mewarisi kerajaan-kerajaan terdahulu di samping menyerap bangsa-bangsa baru yang datang, umpamanya dari Mongol.

Buat masa ini rakyat Syria yang menentang rejim Assad menghadapi ancaman maut. Masa depan mereka tidak menentu. Tetapi pastinya fahaman Baathisme adalah sejarah. Ia pasti digantikan dengan fahaman baru.

AS dan Israel juga dilihat begitu gagah dan tidak tergugat. Tetapi ia pasti akan tumbang jua kerana itu sememangnya hukum alam.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan